`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, November 30, 2013

Anwar, Wan Azizah dan …

Mungkin tiada peluang untuk Anwar Ibrahim menjadi PM tetapi masih ada harapan untuk Malaysia.
COMMENT
“Hakikatnya, dulu Anwar dilihat sebagai bakal Perdana Menteri. Namun, kini semuanya sudah hilang dalam sekelip mata!” – Cerita Kak Wan (2013)
Sewaktu Datuk Seri Anwar Ibrahim memangku jawatan Perdana Menteri selama dua bulan pada pertengahan tahun 1997, saya terasa bimbang memikirkan masa depan kaum-kaum “Bukan Melayu” di negara ini.
Hal ini adalah kerana Anwar yang saya “kenali” – bukan secara peribadi tetapi menerusi media dan tulisan serta ucapan politik – adalah seorang individu yang ada darah India tetapi bertungkus-lumus menonjolkan diri sebagai pejuang Melayu.
Apatah lagi, dialah juga yang pada saat-saat terakhir menjadi Menteri Pendidikan (1986-1990), sempat pula menghapuskan – buat sementara waktu – penggunaan istilah “Bahasa Malaysia”, khususnya di sekolah-sekolah.
Demikianlah kuatnya semangat Umno dalam diri Anwar pada waktu itu. Khususnya sebagai Timbalan Perdana Menteri (1992-1998). Rahsia yang diketahui umum adalah bahawa politikus dalam Barisan Nasional (BN) seolah-olah wajib memanipulasi hal-hal perkauman demi memastikan kelangsungan hidup dalam politik.
Walau apa-apa pun, saya tidak juga meloncat-loncat kegembiraan apabila Anwar dilucutkan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 2 September 1998. Secara kebetulan pula, saya pada waktu itu berada di suatu majlis pembacaan puisi di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.
Tiba-tiba saya terasa sayu. Bukan kerana memikirkan kandungan buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM tulisan Khalid Jefri yang rancak diedarkan semasa Perhimpunan Agung Umno pada 1996.
Sebaliknya saya terasa sayu memikirkan bahawa Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak akan menjadi “isteri Perdana Menteri”. Saya tidak memikirkan frasa “Wanita Pertama” (First Lady) kerana gelaran itu hanya sah bagi Raja Permaisuri Agung – sebelum dirampas oleh wanita anggun, Datin Seri Rosmah Mansor selepas Datuk Seri Najib Razak menjadi PM pada 2009.
Saya tidak pernah berpeluang bertemu Wan Azizah; apatah lagi sepanjang beliau masih menjadi orang penting dalam Umno dan sudah 99 peratus pasti menjadi wanita terpenting dalam BN sebaik sahaja Anwar menjadi PM, Presiden Umno dan Pengerusi BN dahulu.
Berakhirnya karier politik Anwar
Walaupun “gerun” memikirkan nasib dan masa depan penduduk “Bukan Melayu” jika Anwar menjadi PM pada waktu itu, berita pelucutan jawatannya tetap membuatkan saya terkedu.
Pada 26 Februari 1994, saya terlibat dalam kemalangan di lebuh raya. Motosikal saya dilanggar sebuah kereta Alfa Romeo warna merah dengan nombor pendaftaran negeri Sabah yang terbabas kerana dipandu laju.
Selepas kes di mahkamah berlarutan selama lima tahun, hakim Mahkamah Rayuan memutuskan pada 1999 bahawa tidak ada bukti menunjukkan kemalangan itu – yang antara lain menyebabkan kecacatan kekal pada tangan kiri saya – berlaku.
Maka, apabila Anwar dibawa ke mahkamah atas tuduhan liwat dan salah laku seks, saya sudah tahu bahawa mahkamah di Malaysia tidak semestinya menjadi tempat menegakkan kebenaran.
Sebaliknya seolah-olah tempat fakta dan kebenaran dimanipulasi mengikut kepentingan peribadi; sebagaimana berlaku dalam kisah yang saya paparkan menerusi novel Panchayat (2002) dan Panchayat: Edisi Khas (2012).
Berita pelucutan jawatan Anwar pada 1998 membuatkan saya sudah tahu bahawa karier politiknya dalam Umno dan BN sudan berakhir. Apatah lagi apabila dituduh terlibat dalam kes liwat dan salah laku seks.
Setahu saya, bab-bab salah laku seks (apatah lagi liwat!) adalah semacam “dosa” besar dalam dunia politik orang Melayu sejak zaman-berzaman. Sekali dituduh, sama ada terbukti atau tidak, tetap akan dipinggirkan oleh orang Melayu-Islam yang amat berpegang pada Quran, Hadis dan Sunah.
Demikian saya berfikir pada waktu itu; khususnya apabila media arus perdana mula melaporkan secara amat terperinci tuduhan salah laku seks dan liwat melibatkan Anwar.
Impian melihat isteri PM bertudung
Seperti sudah saya nyatakan sejak awal, saya bukan peminat Anwar; dulu, kini dan selamanya. Apabila Anwar muncul kembali dalam politik Malaysia sebagai pejuang hak semua kaum, saya tetap tidak menjadi “peminat nombor satu”.
Walau bagaimanapun, apa yang paling menyedihkan hati saya adalah suatu impian peribadi yang hampir-hampir (sekitar 99 peratus) menjadi kenyataan; tiba-tiba musnah pada saat Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pada 1 September 1998 bahawa beliau sedia menerima peletakan jawatan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri sekiranya Anwar mengemukakan alasan yang kukuh.
Kekecewaan saya bukan semata-mata kerana era pemerintahan Mahathir – politikus keturunan Malabari itu – akan berterusan. Bukan juga kerana Mahathir yang mula-mula menjemput Anwar menyertai Umno dahulu, kini turut melucutkan keahliannya.

Sebaliknya, kekecewaan paling besar saya secara peribadi adalah kerana Malaysia masih belum berpeluang dan belum cukup dirahmati Allah untuk mempunyai isteri PM yang bertudung.
Apabila Anwar sudah hampir-hampir menjadi PM, satu-satunya perkara yang mampu membuatkan perasaan saya tenang dan hati saya sejuk adalah sewaktu memikirkan bahawa Wan Azizah bakal menjadi isteri PM yang benar-benar memenuhi tuntutan Islam dalam menutup aurat.
Kesedaran beliau tentang pemakaian tudung khabarnya timbul pada tahun 1973 selepas berpeluang bertemu seorang mualaf bernama Bashiera Owen dari Belanda. Sehelai skaf yang dihadiahi mualaf itu mengubah Wan Azizah menjadi seorang Muslimah sejati.
Lalu apabila Anwar dilucutkan jawatan pada 1998, saya berhak untuk berasa kecewa kerana walaupun Dr Siti Hasmah (isteri Mahathir) seorang wanita yang dikagumi ramai, beliau tetap tidak memakai tudung. Belum sampai seru, barangkali.
Begitulah juga apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi PM, dan kini Najib. Lihat sahaja segala foto di media cetak arus perdana dan visual di televisyen milik kerajaan sejak 1957 hingga sekarang dan anda (mungkin) akan lebih memahami kekecewaan saya.
Siapa PM selepas ini?
Memanglah Anwar masih berusaha gigih menggunakan “saki-baki riwayat politik” untuk memegang jawatan PM selepas menumbangkan rejim BN-Umno.
Kalaulah Anwar berjaya menjadi PM selepas ini, saya percaya bahawa sikap perkauman yang pernah saya lihat dalam dirinya pada tahun 1990-an akan tiada. Begitu juga sikapnya menolak istilah “Bahasa Malaysia”.
Namun begitu, saya tidak mahu mengimpikan sesuatu yang tidak pasti. Apatah lagi saya bukanlah peminat Anwar dan saya tidak mahu berpura-pura menyokongnya semata-mata kerana “gerun” membayangkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai PM pada masa hadapan.
Saya lebih suka melihat Wan Azizah sendiri menjadi PM, tetapi tentulah terlalu mustahil kerana beliau pernah meletak jawatan Ahli Parlimen Permatang Pauh semata-mata bagi membolehkan suami tercinta bertanding jawatan itu.
Wan Azizah turut mengakui bahawa beliau sebenarnya lebih selesa bekerja di sebalik tabir. Perkara ini antara lain dinyatakan dalam buku Cerita Kak Wan: Citra Pesona Seorang Wanita (2013) olahan Zahiruddin Zabidi yang saya baca sedikit demi sedikit sejak membelinya pada 21 Mei 2013.
Sejak beberapa tahun lalu, selepas meneliti perkembangan politik tanah air, saya kini meletakkan harapan kepada Nurul Izzah iaitu anak sulung kepada pasangan Anwar dan Wan Azizah.
Antara pandangan yang dikemukakan dalam teks agung Tamil berjudul Thirukkural adalah bahawa ibu bapa bertanggungjawab menampilkan anak mereka di majlis para cendekiawan (kural 67).
Begitu juga, sumbangan terbesar seorang anak adalah apabila masyarakat berkata, “Betapa bertuah ibu bapa yang melahirkan anak ini” (kural 70) dan kejayaan anak mengatasi kejayaan ibu bapa pasti membawa manfaat kepada masyarakat (kural 68).
Apabila – dengan izin Allah – Nurul Izzah berjaya menjadi PM, maka Malaysia bukan sahaja bakal mempunyai PM pertama dari luar kotak BN-Umno, tetapi juga PM wanita pertama. Dan bertudung!
Pada pandangan saya, itulah sumbangan terbesar yang boleh diberikan oleh Anwar dan Wan Azizah kepada agama, bangsa dan negara.
Uthaya Sankar SB adalah penulis sepenuh masa dan pemilik tunggal syarikat ‘Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya’.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.