`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, May 12, 2015

Ungkapan "Kita Akan Selalu Bincang" Petanda Najib Mulai Bimbang



Apakah yang dapat disimpulkan daripada mesyuarat MT UMNO semalam di sebalik beberapa penjelasan yang diucapkan  Najib Razak kepada media sebaik saja mesyuarat itu berakhir?

Adakah semuanya sudah beres dan keakraban kembali seperti sedia kala apabila Najib berkata semua ahli MT memberi sokongan penuh kepada beliau dan timbalannya, Muhyiddin Yassin?

Apakah hubungan Najib dengan Muhyiddin sudah pulih dan mereka benar-benar tiada masalah lagi hanya dengan adanya pertemuan hati ke hati pada sebelah pagi sebelum mesyuarat semalam?

Kenapa ketika bercakap dengan media wajah Najib tidak begitu ceria manakala Muhyiddin kelihatan masam mencuka?

Semua orang sedar sebelum mesyuarat MT semalam banyak tembakan telah ditujukan kepada Najib selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO terutama berkaitan isu 1MDB, Tabung Haji dan kesannya kepada sokongan rakyat.

Muhyiddin, Zahid Hamidi, Shafie Apdal, Hishammuddin, Khairy Jamaluddin dan beberapa pemimpin peringkat bahagian tampil satu demi satu meluahkan kebimbangan mereka tentang kedudukan semasa UMNO.

Shafie Apdal paling ketara tingkahnya, selepas melahirkan kebimbangan mengenai 1MDB yang tidak ditangani secara telus, kemudian pergi menunaikan umrah dan tidak hadir beberapa program parti dalam dua tiga hari ini, dari Mekah pula beliau mengeluarkan kenyataan lagi agar UMNO dijadikan parti akar umbi dan bukannya eksklusif kepada golongan tertentu saja.

Pemuda-pemuda UMNO negeri sebelum ini turut mengeluarkan kenyataan yang senada dan seolah-olah kecewa dengan beberapa isu yang dilihat tidak telus serta tidak diurus dengan baik sehingga memberi kesan kepada keputusan pilihahraya di Rompin dan Permatang Pauh.

Daripada apa yang diluahkan Najib selepas mesyuarat hari ini, jelas bahawa perbincangan berjalan dengan agak panas dan tegang. Wajah Najib ketika bercakap dengan media adalah gambaran beliau tidak cukup gembira, tambahan pula Muhyiddin yang di sebelahnya langsung tidak menampakkan wajah senyum.

Hari ini jugalah Najib akhirnya mengakui dan mungkin baru menyedari beliau sebenarnya ada timbalan yang boleh membantu dan sepatutnya selalu diajak berbincang. 

"Saya berjumpa dari hati ke hati dengan Muhyiddin pada pagi tadi dan saya memberi pengakuan kita akan selalu bincang untuk memastikan kepimpinan UMNO di peringkat pucuk pimpinan berada dalam keadaan selesa dan kukuh supaya tidak ada sesiapa boleh memecah belahkan kita," kata Najib.

Gambaran daripada kenyataan ini tidak diragui lagi membuktikan Najib tidak pernah atau jarang mengajak Muhyiddin berbincang sebelum ini.  Ia diperkukuhkan lagi apabila Najib memberi pengakuan "kita akan selalu bincang" yang memberi erti selama ini mereka tidak pernah berbincang sama sekali.

Adakah Najib selama ini mentadbir seorang diri atau beliau sebenarnya ada rakan bincang yang lain selain Muhyiddin?

Apakah kerana Tun Mahathir sudah beberapa kali menyebut Muhyiddin sebagai bakal Perdana Menteri, maka Najib baru menyedari beliau sedang disaingi dan kini cuba "mengepung" timbalannya itu?

Mungkinkah kerana tidak pernah diajak berbincang itu menyebabkan Muhyiddin mengatakan beliau tidak tahu nak jawab apa mengenai 1MDB setiap kali rakyat meminta penjelasan daripadanya dan ia akhirnya menjadi sebab utama kekalahan BN di Permatang Pauh?

Selain itu, kenapa pula Najib memberitahui beliau  ada perbincangan hati ke hati dengan Muhyiddin pada pagi sebelum mesyuarat MT kali ini? 

Jika beliau selalu mengadakan perbincangan dengan Muhyiddin atau setiap kali sebelum mesyuarat bulanan MT, pertemuan dengan timbalannya itu sentiasa diadakan, tentulah tidak perlu diberitahu adanya pertemuan hati ke hati ini?

Dengan baru hari ini mengaku mengadakan pertemuan hati ke hati dengan timbalannya, bukankah ia  bermakna mereka tidak pernah berbincang sebelum ini?

Lebih dari itu, bukankah apabila ada perbincangan hati ke hati, bermakna memang ada perkara yang terbuku di hati?

Buat pertama kali juga Najib cuba menerima pandangan beberapa ahli MT yang menawarkan kepakaran dan pengetahuan mereka untuk menyelesaikan masalah berkaitan 1MDB.

Kenapa hanya setelah enam tahun dan hutangnya sudah mencanak melebihi RM42 bilion baru  Najib mahu berbuat demikian? Mengapa tidak bersikap telus sejak awal penubuhan 1MDB lagi?

Hakikat ini menunjukkan syarikat itu memang menghadapi masalah besar dan Najib nampaknya sudah tidak berupaya lagi merungkai kekusutannya.  Patutlah banyak pertanyaan Tun Mahathir tidak mampu dijawabnya?

Secara langsung hampir benarlah dakwaan pelbagai pihak termasuk Tun Mahathir terhadap 1MDB selama ini!

Dilihat daripada ketegangan beberapa hari sebelum mesyuarat MT kali ini, Najib mungkin kelihatan berjaya merumuskan sokongan tetap diberikan oleh ahli-ahli MT kepadanya dan juga Muhyiddin serta semuanya kelihatan beres, walaupun hakikatnya cuma di permukaan saja.

Soalnya berapa lamakah sokongan itu mampu dipertahankan, terutama jika terbongkar lagi isu-isu lain seperti Tabung Haji yang dikaitkan dengan 1MDB tempohari? (12/05/2015)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.