KUALA LUMPUR: Kerana kesunyian dan ingin mencari kenalan melalui media sosial, tiga ibu tunggal di sekitar ibu negara kerugian kira-kira RM31,500 apabila menjadi mangsa penipuan sindiket ‘parcel scam’ atau kiriman bungkusan dalam tempoh seminggu ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur Mohd Mahidisham Ishak berkata ketiga-tiganya yang berusia 30 hingga 62 tahun itu dijanjikan dengan bungkusan hadiah yang dikirim dari luar negara namun bungkusan yang dimaksudkan tidak diterima.
“Mangsa kemudian diminta untuk membayar sejumlah wang bagi tujuan kos penghantaran bungkusan berkenaan namun begitu bungkusan yang dijanjikan tidak diterima.
“Kesemua mangsa yang terdiri daripada suri rumah rugi RM10,500, seorang penyambut tetamu firma arkitek pula rugi RM12,000 manakala seorang bekas ejen hartanah rugi RM9,000,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Mahidisham berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan polis masih menyiasat sama ada kesemua ibu tunggal yang tinggal di sekitar Bukit Bintang, Cheras dan Petaling Jaya berkenaan menjadi mangsa kepada sindiket yang sama.
“Statistik menunjukkan bagi tempoh Januari hingga 31 Ogos lepas, sebanyak 115 kertas siasatan dibuka melibatkan kerugian berjumlah RM1.6 juta berkenaan penipuan itu.
“Polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan kenalan melalui media sosial. Jangan mudah terpedaya dengan tawaran bungkusan dan melakukan transaksi tanpa usul periksa,” katanya.
Mohd Mahidisham berkata pihaknya sedang mengesan suspek yang terlibat dalam kes berkenaan dan meminta orang ramai agar melaporkan sebarang jenayah atau aktiviti yang mencurigakan dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/ 0585 atau mana-mana balai polis berdekatan. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.