PETALING JAYA: Tujuh inisiatif baharu sedang dirangka oleh Kementerian Pertahanan untuk membantu veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang memilih untuk bersara awal.
Timbalan Menteri Pertahanan, Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, antara inisiatif itu adalah menyediakan platform e-dagang, kad pintar ATM, selain kempen Tabung Pahlawan dan penganugerahan Pingat Jasa Malaysia kepada pegawai dan anggota yang berkhidmat pada 1969 ketika Darurat.
“Kementerian juga sedang meneliti untuk (memberi) elaun kepada penerima Pingat Jasa Malaysia selain saguhati kepada veteran yang menggelarkan diri mereka ‘The Last Mohican’.
“Melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) pula, kementerian sudah menerima permohonan untuk menilai semula kes anomali atau tuntutan berbangkit yang membabitkan 404 veteran ATM dan kerajaan sedang pertimbangkan pemberian saguhati bagi menunjukkan rasa prihatin kita kepada mereka,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Hasan Bahrom (PH-Tampin).
Terdahulu, Hasan meminta kerajaan menyatakan usaha yang sudah dilakukan bagi membantu veteran ATM.
Ikmal Hisham turut memaklumkan Kementerian Pertahanan menyediakan peruntukan berjumlah RM2.6 juta bagi membina 28 rumah baharu dan kerja baik pulih 72 kediaman bagi memastikan kebajikan serta keselesaan pegawai dan anggota ATM di seluruh negara.
“Sejumlah RM35.7 juta turut disediakan untuk skim bantuan yang memberi manfaat kepada lebih 12,000 veteran ATM, balu dan tanggungan mereka.
“Selain itu, program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) di Sungai Besi juga sudah dimulakan pada 1 Jun lalu dan projek itu dijangka siap dua tahun lagi dengan nilai anggaran harga rumah antara RM150,000 hingga RM250,000.
“Secara keseluruhan, sebanyak 3,500 unit rumah akan dibina melalui program ini dan daripada jumlah itu, 900 unit diperuntukkan khusus untuk veteran ATM… kita sudah terima 511 permohonan daripada mereka (veteran ATM), semua permohonan itu akan diluluskan,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.