PETALING JAYA: Aktiviti mendaki bukit sekumpulan rakan bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka ditemui lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam tasik di sekitar Tasik Hijau, Bukit Lunchu, Johor Bahru, semalam.
Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang Timbalan Penguasa Bomba II Ibrahim Omar, mayat Mohd Faiz Daniel Maula Mohd Nor, 26, ditemui di kedalaman 12 meter tasik berkenaan pada pukul 2.45 petang.
Ibrahim berkata mangsa mendaki bukit bersama lima hingga enam rakannya, dan berdasarkan maklumat daripada saksi di tempat kejadian, dipercayai terdapat satu batu terjatuh dari atas dan menghempap Mohd Daniel, menyebabkan dia terjatuh ke dalam tasik itu.
Terdahulu 15 anggota termasuk Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan tiga jentera dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.22 pagi.
“Operasi pencarian dilakukan di sekitar persisiran tasik dan mayat ditemui di kedalaman 12 meter di tasik itu oleh pasukan khas PPDA kira-kira 30 kaki daripada tempat dia dipercayai terjatuh,” katanya, menurut laporan Bernama.
Katanya, mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada pukul 3.30 petang. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.