`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Thursday, September 16, 2021

ISIS-K, Taliban, dan ‘fenomena kelabu’ Asia Tenggara

 

Baru-baru ini Kedutaan Jepun mengesahkan yang kerajaannya mengeluarkan amaran kepada warganya di negara ini untuk berjaga-jaga akan kebarangkalian ancaman teror di Asia Tenggara. Media juga melaporkan Kementerian Luar Jepun menasihati rakyatnya di Indonesia, Filipina, Singapura, Malaysia, Thailand, dan Myanmar agar menghindari prasarana keagamaan dan tempat sesak. Menurut rekod terdapat 31,000 rakyat Jepun yang menetap di negara kita.

Amaran ini kemudian dilenturkan oleh pihak-pihak berkuasa dan media negara masing-masing; bahawa tiada ancaman teror secara spesifik. Di negara ini, BenarNews melaporkan Normah Ishak, ketua Cawangan Pencegahan Keganasan, menyatakan yang amaran kerajaan Jepun itu hanya merupakan ‘satu rutin’. Menurut Normah, tiada maklumat sahih dan boleh diyakini bahawa terdapatnya ancaman teror. Ia merupakan satu ingatan biasa ketika ulangtahun peristiwa 11 September, dan juga kerana perkembangan di Afghanistan.

Sungguhpun negara-negara di Asia Tenggara kelihatan tidak mahu membesar-besarkan ancaman teror yang entah mengapa diingatkan secara mendadak oleh kerajaan Jepun, ada manfaatnya kita melihat juga ‘rutin’ bahawa terdapat ‘kemungkinan ancaman keganasan’ ini.

Untuk itu, saya suka mengingatkan mengenai satu laporan yang dikemukakan oleh Peter Chalk, editor bersekutu jurnal Studies in Conflict and Terrorism, pada 1997 dengan judul “Grey Area Phenomena in South East Asia: Piracy, Drug Trafficking and Political Terrorism” terbitan Australian National University, dan merupakan sebahagian dari siri Kertas Strategi dan Pertahanan Canberra.

Apakah ‘Grey Area Phenomena’ atau Fenomena Kawasan Kelabu?

Ia satu fenomena atau gejala untuk merujuk sebarang ancaman terhadap negara berdaulat daripada pelaku bukan kerajaan, dan organisasi bukan rasmi. Meskipun seluruh perbincangan mengenai Fenomena Kawasan Kelabu seputar keganasan dan teror, terdapat lebih banyak gejala ini yang sebetulnya tidak bersifat ganas tetapi masih mengancam kedaulatan.

Kegiatan Fenomena Kawasan Kelabu yang ganas misalnya melibatkan sindiket jenayah antarabangsa, penyeludupan dadah, dan kumpulan teror. Manakala Fenomena Kawasan Kelabu yang tidak ganas pula melibatkan ancaman yang sukar dikawal sepertinya pelarian atau pendatang tanpa izin, kebuluran, dan penyebaran penyakit.

Ketika Chalk menulis kertas mengenai “Grey Area Phenomena” ancaman penyakit yang dilihat beliau hanyalah AIDS dan kolera, hari ini pandemik Covid-19 menunjukkan kedaulatan negara mungkin sahaja musnah oleh penyakit merebak.

Namun demikian, oleh kerana Jepun menyebutkan teror, ia tentulah bermakna keganasan. Konflik dengan keganasan selalunya merujuk kepada konflik ciptaan yang teratur, disusun untuk tujuan gangguan atau pencapaian politik dan ekonomi, meskipun bersifat bukan perang (ketenteraan).

Samada ia ganas atau tidak, Fenomena Kawasan Kelabu mengancam kestabilan sesebuah negara. Ia bahkan lebih telus dan tidak langsung tetapi sangat memusnahkan. Di Asia Tenggara, ancaman Fenomena Kawasan Kelabu ini sentiasa ada dan tidak pernah tamat.

Dalam erti kata lain, menafikan tiadanya ancaman teror di rantau ini sangatlah tidak benar. Ini kerana dengan menggunakan kerangka Fenomena Kawasan Kelabu, kita akan mendapati Asia Tenggara memang sangat terdedah kepada pelbagai bentuk keganasan dan ancaman kedaulatan undang-undang yang juga tidak ganas.

Dalam kertasnya yang penting itu, Peter Chalk misalnya menyentuh tiga kehuru-haraan berupa Fenomena Kawasan Kelabu.

Pertama, pelanunan di laut. Hal ini seperti mana kita semua maklum masalah yang menimpa semua negara di Asia Tenggara. Bahkan Malaysia, khusus perairan Sabah sering berdepan dengan ancaman lanun yang menculik rakyat kita (juga pelancong asing) dan juga mengganggu pulau-pulau peranginan tertentu. Kapal-kapal dagang juga amat terdedah kepada keganasan lanun ini.

Kedua, rantau Asia Tenggara terdedah kepada sindiket jenayah antarabangsa yang sangat menakutkan. Ini kerana rantau ini merupakan medan kepada kepala pengedaran dadah lantaran Segi Tiga Emas iaitu kawasan di Laos, Myanmar, dan Thailand.

Ketiga, negara-negara yang disebut oleh Jepun dalam amarannya – termasuk Malaysia – terdedah kepada teror politik. Myanmar sedang berdepan pergolakan politik yang terlalu menekan. Perang terhadap pedagang dadah di Filipina menambah sengitnya gejala atau Fenomena Kawasan Kelabu ini.

Ketika Peter Chalk menulis mengenai Fenomena Kawasan Kelabu ini, tsunami Aceh belum berlaku (justeru masih ada kumpulan pemisah di sana), Patani masih teruk bergolak, dan paling penting peristiwa 11 September belum berlaku.

Akan tetapi satu hal yang disebut oleh Chalk dalam kertasnya ialah mengenai Afghanistan yang boleh menjadi kunci penyubur gerakan teror politik. Beberapa dekad berlalu sejak Chalk mengarang kertas tersebut. Bahkan Taliban yang pernah memerintah Afghanistan, sempat disingkirkan, dan kini kembali semula.

Di sinilah amat menarik untuk kita menziarahi semula tawaran Peter Chalk menerusi Fenomena Kawasan Kelabu. Perubahan atau pergolakan di Afghanistan bakal dan boleh melimpah ke negara di rantau Asia Tenggara. Dalam diam Taliban didambakan dan ramai secara terbuka menyatakan rasa cinta mereka kepada Taliban.

Masalah di Afghanistan ini menjadi lebih mengkecamukkan lantaran bukan sahaja Taliban perlu diwaspadai, ini kerana Taliban juga mempunyai pesaing. Dalam babak baharu ini, Taliban mempunyai satu musuh yang juga memeningkan kepala kita, iaitu ISIS-Khorasan (ISIS-K).

Kumpulan ISIS-K ini mulai menjadi ancaman terhadap Taliban apabila mereka berpindah dari Pakistan ke wilayah Timur Afghanistan di Nangarhar pada 2015. Dipercayai Taliban menghubungi kepimpinan ISIS-K di Syria agar tidak merosakkan usaha mereka mendapatkan Afghanistan daripada AS dan NATO. Namun, ISIS-K kurang mengendahkan permintaan kepimpinan di Syria, malah merampas wilayah Nangarhar dan meluaskan pengaruhnya di Kunar.

Taliban seperti mana pernah saya sebutkan dalam kolum saya di sini beberapa minggu lalu penganut Maturidi bermazhab Hanafi. ISIS-K pula wajah lain Wahhabi atau nama lain mereka ‘Salafi’. ISIS-K mendapat sambutan pengikut ‘Salafi’ Afghan. Lebih rumit ISIS-K mendapat sokongan Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP) yang mana pemimpinnya Hafiz Saeed Khan menyediakan kerjasama untuk menolak Taliban. Pelantikan Dr Shahab al-Muhajir sebagai Emir ISIS pada Mei 2020 membawa satu cetusan baharu. ISIS-K kini menyerang hospital, sekolah, dan membunuh minoriti seperti Hazara dan orang Sikh di Afghanistan.

Nah, bagaimanakah semua ini dapat dikaitkan dengan Fenomena Kawasan Kelabu dan amaran kerajaan Jepun? Bagaimanakah konflik di Afghanistan melibatkan Taliban dan ISIS-K ini boleh melimpah ke Malaysia? Dua keadaan.

Pertama, perkembangan di Afghanistan yang mana Taliban dan ISIS-K kini bermusuhan. Ini ekoran, ulama Pashtun ‘Salafi’ bernama Abdul Aziz Nooristani, menzahirkan bai’ah kepada Taliban awal tahun lalu. Akan tetapi sungguhpun demikian terdapat laporan pembunuhan seorang lagi tokoh ‘Salafi’ Afghanistan, iaitu Abu Obaidullah Mutawakil oleh puak Taliban. Harus diingat Taliban sendiri dibentuk oleh beberapa puak berbeza dan antara lain pengikut sub-mazhab Hanafi yang lebih keras. Pembunuhan itu – meski terdapatnya tawaran berbaik-baik daripada puak ‘Salafi’ – menimbulkan kegelisahan antara dua penganut mazhab berbeza ini.

Hal ini menjadi lebih sulit kerana Taliban kini berkuasa di Afghanistan. Untuk bernafas, Taliban mencapai Qatar, sebuah kuasa Teluk (yang berakar ‘Salafi’ tetapi bersaing dengan Saudi). Pakistan pula ingin menekan ISIS-K yang mana turut disokong oleh TTP. Di celah itu, Iran juga ingin menjaga kepentingannya iaitu sejumlah masyarakat Syiah di Afghanistan.

Di sebalik percekcokan politik dan sekte yang membingungkan di atas, terdapat pula perkara kedua. Kebodohan sesetengah pemimpin PAS memuja, memuji, dan menyatakan rasa cinta mereka kepada Taliban. PAS sebahagian dari kerajaan. Sokongan terbuka PAS terhadap Taliban sedemikian tentu sahaja diperhatikan oleh ISIS. Kebodohan segelintir pemimpin PAS di atas boleh mendedahkan negara kepada konflik antara Taliban dan ISIS-K.

Harus diingat, jika PAS menyayangi Taliban, terdapat pula sel teror bawah Fenomena Kawasan Kelabu yang memanjai ISIS. Kebodohan PAS dan kelemahan kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob dapat mendedahkan negara kepada serangan teror.

Perang proksi boleh berpindah dari rantau Indo-Pakistan ke wilayah ini. Juga, rakyat Malaysia ada yang menyertai ISIS untuk ikut berperang di Syria dan Iraq.

Baru-baru ini Taliban menahan enam anggota ISIS-K yang mana dua daripadanya dipercayai dari Malaysia (meskipun ada dakwaan mereka rakyat Indonesia). Saifullah Mohammed, pemimpin Taliban yang ditugaskan menyiasat serangan berani mati di Lapangan Terbang Hamid Karzai, Kabul membuat dakwaan tersebut. Pun, Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani, mengatakan belum beroleh maklumat sebenar mengenai hal ini.

Kita tidak seharusnya menolak seentengnya amaran ancaman teror kerajaan Jepun baru-baru ini dengan mentah-mentah. Malah dalam keadaan kepimpinan kerajaan dan pembangkang yang lemah di Malaysia, serta perlawanan terhadap Covid-19 yang melelahkan; ancaman teror bawah Fenomena Kawasan Kelabu hendaklah diperhatikan semula. Bahkan bukan sahaja diperhatikan kembali tetapi diwaspadai. Ini kerana pertelagahan di rantau lain boleh tergusur ke sini ekoran kecuaian kecil.

Hari-hari kelabu sedang mendepani kita di sini, dan ia tidak semestinya kerana puak anti vaksin. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.