SEPANG: Kepulangan kelompok terakhir Kontinjen Malaysia daripada Sukan Paralimpik Tokyo 2020, disambut meriah dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, petang ini.
Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu antara yang hadir menyambut kepulangan kelompok terakhir atlet Malaysia itu.
Mereka yang menaiki pesawat Malaysia Airlines MH 0071 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Narita kira-kira 10.45 pagi tadi, dan mendarat di KLIA pada pukul 4.45 petang.
Dua pemenang pingat emas iaitu juara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual) Abdul Latif Romly dan juara badminton perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) Cheah Liek Hou antara yang pulang hari ini.
Kelompok atlet itu turut disertai Ketua Kontinjen (CDM) Megat D Shahriman Zaharuddin, ketua jurulatih olahraga para negara R Jaganathan, atlet pecut acara 100m lelaki T36 Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, jurulatih badminton Rashid Sidek dan jurulatih lompat jauh Mohd Syahrul Amri Suhaimi.
Sejurus menyelesaikan urusan imigresen dan kastam serta menjalani ujian Covid-19, kesemua atlet, jurulatih dan pegawai yang keluar di balai ketibaan disambut dengan laungan ‘Demi Malaysia’ sambil mematuhi SOP ditetapkan.
Selepas meluangkan beberapa minit untuk sidang media ringkas, mereka mensanitasikan bagasi dan meneruskan perjalanan ke hotel untuk proses kuarantin wajib selama 14 hari.
Kejayaan membawa pulang tiga butir emas dan dua perak merupakan pencapaian terbaik Malaysia sejak menyertai edisi pertama temasya itu pada 1972 di Heidelberg, Jerman, yang sekali gus mengatasi pencapaian tiga emas dan satu gangsa di Rio 2016.
Selain Abdul Latif dan Liek Hou, badang negara Bonnie Bunyau Gustin meraih emas acara powerlifting bagi kategori 72kg, manakala dua pingat perak disumbangkan Jong Yee Khie (powerlifting 107kg) dan atlet boccia Chew Wei Lun bagi acara individu campuran BC1.
Bagaimanapun insiden ‘kehilangan’ emas Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru F20 kerana kelewatan memasuki bilik menunggu, sedikit sebanyak mengganggu kejayaan cemerlang kontinjen negara pada temasya di Tokyo itu. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.