`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, September 26, 2021

Ketua ajaran PMYT isytihar taubat secara terbuka esok

 

Ketua ajaran PMYT, Sittah Annur ditahan dan penyata bank antara barang yang ditemui dalam serbuan pihak berkuasa di rumahnya di Shah Alam pada 4 Sept lalu.

PETALING JAYA: Ketua ajaran “Perjalanan Mimpi Yang Terakhir” (PMYT), Masitah Ab Jalar yang dikenali sebagai Sittah Annur, akan membuat pengisytiharan taubat (Istitabah) secara terbuka esok.

Wanita berusia 39 tahun itu akan membuat pengisytiharan menerusi Facebook rasmi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 10 pagi.

Harian Metro melaporkan majlis itu akan dihadiri Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Abdul Aziz Mohd Yusof; Mufti Selangor, Dr Anhar Opir; Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Abdul Aziz Jusoh.

“Masitah dijangka membaca teks Istitabah dan menandatangani dokumen perakuan taubat yang akan disaksikan empat saksi utama.

“Majlis dijangka selesai selepas teks dan perakuan taubat ditandatangani,” kata sumber dipetik akhbar itu.

Sumber itu berkata, kebiasaannya selepas dokumen perakuan taubat dibuat, waran tangkap terhadapnya juga terbatal.

Ajaran PMYT mula didedahkan 29 Ogos lalu, yang disusuli 13 laporan polis dibuat terhadap kumpulan itu di seluruh negara.

Wanita yang berasal dari Kelantan dan menetap di Shah Alam itu dikesan menggunakan media sosial seperti Facebook, YouTube dan Telegram sejak enam bulan lalu, untuk berkongsi pelbagai ramalan, termasuk Perang Dunia Ketiga kononnya akan berlaku di Sabah, sebelum dia memimpin pasukannya mencari Imam Mahdi bagi melawan musuh.

Dia ditahan polis pada 4 Sept lalu dan dana sumbangan pengikutnya berjumlah RM84,721.42 didedahkan, susulan penemuan satu resit ketika serbuan pihak berkuasa di rumahnya di Shah Alam.

Susulan pendedahan itu juga, Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin mengarahkan polis mengambil tindakan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) kepada mana-mana individu yang cuba menimbulkan kegusaran, menakut-nakutkan dan mengganggu ketenteraman awam, termasuk PMYT.

Selain tindakan penguatkuasaan pihak berkuasa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad dilaporkan berkata, pihaknya akan berusaha menyelamatkan pengikut PMYT. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.