`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, September 4, 2021

Myvi hanyut dibawa arus deras dalam banjir di Sabah

 

Tangkap layar daripada klip video tular menunjukkan Myvi cuba merentasi jambatan, sebelum dihanyutkan arus deras yang melimpahi jambatan itu.

KOTA KINABALU: Seorang wartawan sukan dan isterinya tergamam melihat sebuah kenderaan yang dinaiki dua individu dihanyutkan arus deras di sebuah jambatan di Inanam, dekat sini hari ini.

Lester Bingkasan dan isterinya, bersama pengguna jalan raya lain menunggu untuk merentasi jambatan itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Kionsom, hanya mampu menyaksikan Myvi itu ditolak arus deras sebelum terjunam ke sungai.

Hujan lebat sejak awal pagi tadi menyebabkan sungai terbabit melimpah ke atas jambatan, yang menjadi satu-satunya laluan keluar masuk ke Kampung Kionsom.

Menurut dakwaan di media sosial, pemandu dan penumpang kereta itu berjaya menyelamatkan diri. Namun, tiada pengesahan rasmi dikeluarkan pihak berkuasa.

Lester dan isterinya dalam perjalanan pulang ke rumah, tetapi terpaksa berhenti sebelum jambatan itu bersama kenderaan, termasuk Myvi itu disebabkan arus deras.

Mereka tidak pasti jumlah sebenar individu dalam kenderaan berkenaan, namun percaya terdapat sekurang-kurangnya dua orang.

“Selepas menunggu lebih tiga jam untuk merentas, hujan semakin reda pada 6 petang, namun air sungai masih melimpah ke atas jambatan,” katanya kepada FMT.

“Tiga kenderaan pacuan empat roda berjaya merentasi jambatan konkrit berkenaan,” katanya sambil menambah keadaan itu mendorong pemandu Myvi terbabit untuk mencuba nasibnya.

“Mungkin pemandu itu tidak sabar lagi menunggu dan cuba melalui arus deras itu, malangnya keretanya dibawa arus deras…itu kali pertama saya menyaksikan kejadian sedemikian di depan mata.

“Beberapa orang dalam kalangan kami yang sedang menunggu bergegas keluar untuk memberi bantuan, namun apa yang boleh kami lakukan? Kami tidak dapat sampai ke tebing sungai pun,” katanya yang turut memaklumkan isterinya turut menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat sejurus kejadian berlaku.

Video kejadian itu yang tular di media sosial menunjukkan sebuah kereta cuba merentasi jambatan berkenaan secara perlahan-lahan, sebelum hanyut dibawa arus deras.

Sementara itu, hujan lebat melanda beberapa kawasan di Kota Kinabalu, dengan banjir kilat dilaporkan berlaku berhampiran Hospital Queen Elizabeth di Telipok, Likas; Sepanggar dan Kolombong.

Jabatan Meteorologi dalam kenyataan memberi amaran ribut petir akan melanda beberapa kawasan di Sabah, termasuk Kuala Penyu, kawasan pedalaman Beaufort, kawasan di pantai barat yang merangkumi daerah Papar, Putatan, Penampang serta Tuaran, manakala cuaca buruk diramal di Labuan.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Yusof berkata, kediamannya di Kampung Inanam Laut, dekat sini, dinaiki air susulan hujan lebat sejak petang semalam.

“Ini adalah kejadian keempat tahun ini yang menjejaskan kampung kami.”

Jabatan Pertahanan Awam berkata, 68 penduduk dari 65 kampung di Beaufort dan Sipitang yang terjejas akibat banjir sudah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara sejak 4 petang tadi.

Semua pusat operasi bencana daerah di Sabah diarahkan berjaga-jaga untuk berdepan segala kemungkinan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.