Ada beberapa kawan yang bertanya kepada saya beberapa hari yang lalu, apakah kemajuan Malaysia dalam bidang pengangkutan selama 17 bulan bawah pemerintahan Jemaah Menteri yang lalu.
Apakah sewaktu pandemik menyerang kita telah menggunakan masa yang ada dengan mengatur kembali segala perancangan sebaik mungkin?
Mengenalpasti keperluan permintaan dan mengatur strategi untuk menjadi lebih cekap dalam perkhidmatan pengangkutan awam serta memperketatkan penggunaan kereta-kereta persendirian demi menurunkan kadar polusi dan jumlah kaki persegi karbon yang ternyata masih tinggi.
Di sini, saya perturunkan jawaban saya secara ringkas dan ikhlas.
Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim
Saya sebenarnya tidak melihat apa-apa perubahan yang berlaku selama 17 bulan. Saya beranggapan Jemaah Menteri dan juga Kementerian Pengangkutan amat tidak bertanggungjawab dalam merancang kemudahan pengangkutan awam.
Lihatlah apa yang telah terjadi kepada perusahaan pengangkutan bas. Pada mulanya permintaan pengangkutan awam amat terjejas oleh PKP. Tetapi ianya tidak ditangani.
Pengusaha pada awalnya kehilangan penumpang. Dari situ nasib mereka menjadi semakin parah, dengan kesukaran yang terpaksa ditanggung oleh semua pengusaha bas, bas ekspres, bas pelancong, dan juga bas sekolah.
Selepas 17 bulan yang sepi, perusahaan mereka yang terbina sekian lama, sekarang hancur lebur.
Tiada penumpang, bererti tiada pendapatan. Setelah terpaksa menanggung pekerja untuk beberapa bulan di awal pandemik, pengusaha akhirnya terpaksa berhentikan pekerja.
Kini, ramai pekerja bas yang sudah hilang mata pencarian dan masa depan mereka ternyata gelap.
Persoalan yang sama penting, bagaimana syarikat bas harus membayar ansuran bulanan pinjaman kepada syarikat kewangan dan bank?
Mereka telah hilang punca pendapatan dan pihak kerajaan tidak tampil menolong secara berkesan.
Sebaliknya, disaat mereka memerlukan pembelaan, kerajaan mengumumkan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim diluluskan dengan peruntukan awal RM1.6 billion untuk pengambilan tanah.
Ini satu tragedi. Bukan saja ia mencerminkan perancangan yang amat tidak bertanggungjawab dari pihak kerajaan, tetapi langkah berikutnya amatlah sumbang dan sekaligus menunjukkan sifat boros lagi membazir.
Apa gunanya Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim pada masa ribuan pengusaha bas berada dalam kesusahan, dihimpit keperitan kewangan, dan akan terpaksa ‘gulung tikar’ akhirnya?
Apakah benar negara sekarang memerlukan lapangan terbang baharu pada waktu pandemik tambah meruncing?
Dari mana akan tibanya beratus pesawat dan berjuta penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim? Kalau ini bukan kegagalan di pihak kerajaan, apakah ungkapan yang lebih sesuai?
Sedangkan kepentingan industri pengangkutan bas yang sedia ada dengan ribuan pekerja diabaikan begitu sahaja.
Yang pasti seluruh sektor pengangkutan bas dalam keadaan nazak.
Justeru, ia tidak memerlukan kenyataan ‘lucu’ menteri baru-baru ini bahawa pengusaha bas tidak perlu bayar cukai jalan sehingga akhir tahun.
Sememangnya tiada pengusaha yang membayar pun, kerana bas-bas mereka semuanya tersadai.
KTM Berhad
Pihak kerajaan berpendapat bahawa peruntukan untuk menaiktaraf landasan kereta api Lembah Klang terlalu mahal.
Tetapi apakah peruntukan RM1.6 billion untuk mengambil balik hak milik tanah untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim berpatutan?
Berapakah pula kos sebenar untuk pembinaan lapangan terbang itu nanti?
Hakikatnya negara tidak memerlukan satu lagi lapangan terbang baharu untuk Kedah. Lapangan terbang sedia ada di Alor Setar (dan juga di Langkawi) memadai dan belum pun mencapai kapasiti yang dirancangkan.
Lagipun, dengan keadaan pandemik sekarang, jumlah pesawat amat terkesan dan jumlah penumpang jatuh menjunam.
Sektor penerbangan akan mengambil masa yang panjang untuk kembali sediakala, dan apa jua penambahan pesawat dan penumpang yang bakal berlaku, boleh dipenuhi dengan kapasiti lapangan terbang sedia ada.
Yang lebih memerlukan suntikan dana awam ialah KTM Berhad. Ini hakikatnya.
Jumlah penumpang yang menggunakan keretapi juga jauh lebih tinggi. Keutamaan harus diberikan kepada menambahbaik khidmat tren, satu usaha yang sekarang terbengkalai.
Jumlah purata penumpang keretapi komuter untuk setiap hari pada 2015 ialah 136,000 orang. Sekarang jumlahnya tidak sampai 30,000 orang.
Kemerosotan ini kerana gangguan perkhidmatan, kelambatan, dan jadual perjalanan yang tidak lagi menepati masa.
Di sinilah letaknya kegagalan selama 17 bulan itu dan berkemungkinan besar akan berlarutan dalam era kerajaan baharu sekarang.
Kita bukan sahaja tidak berjaya untuk merancang perkhidmatan pengangkutan dengan lebih baik tetapi kerajaan juga memusnahkan apa yang telah tersedia ada.
Jumlah penumpang yang merosot dengan mendadak, akibat perkhidmatan komuter yang tidak “reliable” atau diyakini berpunca daripada keputusan-keputusan yang separuh masak.
Tahniah kepada menteri berkenaan kerana masih diberi kepercayaan oleh perdana menteri yang baharu untuk meneruskan agenda pengangkutan yang ternyata gagal. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.