PETALING JAYA: Masitah Ab Jalar atau dikenali sebagai Sittah Annur yang juga ketua ajaran “Perjalanan Mimpi Yang Terakhir” (PMYT) akhirnya bertaubat hari ini.
Dia yang berasal dari Kelantan dan menetap di Shah Alam, Selangor, membuat pengisytiharan taubat (istitabah) itu di hadapan Mufti Selangor, Dr Anhar Opir; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad dan pegawai kanan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) serta wakil dari Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM), di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Majlis taubat istitabah itu dibuat secara langsung melalui laman sosial Facebook (FB) rasmi JAIS kira-kira jam 11.30 pagi tadi.
Masitah membaca teks taubat istitabah dengan menyatakan kekesalan tindakannya menyebarkan kepada umum mengenai mimpi dialaminya yang kononnya dapat berinteraksi dengan Nabi Muhammad SAW dan diberikan kebenaran oleh Allah untuk menyelamatkan sesiapa sahaja daripada balasan neraka.
Selain itu, dia turut mendakwa dapat berinteraksi dengan Imam Mahdi dan tindakannya berdasarkan mimpi itu juga mengakibatkan pengikutnya mempercayai ajaran dibawanya hingga menimbulkan kegusaran awam.
Dia kemudiannya menandatangani teks taubat itu dan menyatakan persetujuan secara rela hati dan tanpa paksaan untuk kembali mengamalkan ajaran Islam yang sebenar.
Ajaran menyeleweng dikenali PMYT mula didedahkan media pada 29 Ogos lalu dan difahamkan sebanyak 13 laporan polis dibuat terhadap kumpulan itu.
Sittah menyebarkan ajaran PMYT sejak enam bulan lalu menggunakan media sosial seperti Facebook, YouTube dan Telegram untuk berkongsi pelbagai ramalan termasuk Perang Dunia Ketiga yang kononnya akan berlaku di Sabah sebelum dia memimpin pasukannya untuk mencari Imam Mahdi bagi melawan musuh.
Masitah ditahan di kediamannya pada 4 Sept lalu dalam operasi khas dilancarkan polis dan hasil pemeriksaan menemui sejumlah dana dipercayai sumbangan pengikutnya dianggarkan lebih RM80,000.
Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin pada 31 Ogos lalu mengarahkan polis mengambil tindakan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) terhadap mana-mana individu yang cuba menimbulkan kegusaran, menakutkan dan mengganggu ketenteraman awam. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.