`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, September 4, 2021

Tiada tanda usul undi percaya di Parlimen lagi, kata Anwar

 

Anwar Ibrahim berkata, titah Agong supaya undi percaya terhadap perdana menteri baharu perlu diadakan secepat mungkin turut dipersetujui ketua-ketua parti ketika menghadap Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara bulan lalu.

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim berkata, belum ada petanda usul undi percaya akan diadakan di Parlimen setakat ini, walaupun Yang di-Pertuan Agong menitahkan perdana menteri baharu perlu menunjukkan beliau mendapat sokongan majoriti melalui undi percaya di Dewan Rakyat.

Beliau merujuk titah Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada 18 Ogos lalu yang perdana menteri baharu perlu mengadakan usul undi percaya di Dewan Rakyat “secepat mungkin” bagi menunjukkan beliau mendapat kepercayaan majoriti Ahli Parlimen.

Sultan Abdullah dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Shah menerima menghadapi ketua parti utama, termasuk Umno, PAS, Bersatu, PKR, DAP, Amanah, Warisan dan Pejuang pada 17 Ogos lalu, sehari selepas Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan perdana menteri.

Anwar berkata, Sultan Nazrin turut menitahkan undi percaya harus menjadi “first item” ketika Parlimen bersidang semula, yang turut dipersetujui semua ketua parti.

“Ketika pertemuan dengan Agong, Agong sendiri menyebut mesti melalui proses undi percaya.

“Tetapi sampai hari ini, tiada petanda akan diadakan usul undi percaya, malah sejurus selesai pertemuan, Ismail Sabri Yaakob berbisik kepada saya ‘mungkin tak perlu’.

“Saya jawab ini bukan soal perlu tak perlu, ini soal keperluan dasar untuk menguruskan keabsahan kerajaan dan ini dititah oleh Agong dan dipersetujui ketua-ketua parti,” kata Anwar dalam Webinar kebersamaan UPKO dalam Perjuangan Pakatan Harapan malam tadi.

Parlimen dijadualkan bersidang semula 13 Sept ini, selepas ditunda akibat Ismail menjalani kuarantin kendiri kerana menjadi kontak rapat kes Covid-19.

Pertemuan PH dan Ismail 

Anwar berkata, dalam pertemuan PH dengan Ismail sehari sebelum Kabinet baharu dibentuk, beliau bagi pihak gabungan pembangkang itu menyuarakan kerjasama mungkin berlaku, tetapi tertakluk kepada beberapa perkara dasar.

Katanya, Ismail memberi bayangan beliau seolah-olah berada dalam percaturan politik beberapa individu, termasuk bekas perdana menteri, Muhyiddin.

“Dia bagi bayangan seolah-olah tidak boleh buat apa-apa kerana terpaksa kekalkan (orang) yang lama.

“Jadi, ini menunjukkan dia seolah-olah duduk di situ atas percaturan politik beberapa orang, termasuk bekas PM, jadi ini bagi saya perkara besar.”

Beliau berkata, tindakan mengekalkan kebanyakan muka lama daripada Kabinet terdahulu yang segelintirnya gagal menjalankan tugas dengan baik menggambarkan ia hanya untuk mengekalkan kuasa tanpa mempedulikan rakyat. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.