`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, December 21, 2021

Hakikat banjir kita

 

Jabatan Meteorologi Malaysia ada keluarkan amaran awal akan ada hujan lebat bulan ini. Begitu juga pihak serta agensi lain. Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar pada 26 Julai lalu memberitahu Dewan Rakyat setelah Covid-19 memberi tekanan ke atas sistem kesihatan negara keadaan akan menjadi lebih teruk jika kemungkinan banjir tidak diambil kira dalam perancangan Pelan Pemulihan Negara.

Hakikatnya amaran tidak dihiraukan “sangat” dan kita tidak bersedia apabila banjir melanda. Malah kita tidak tahu apa yang harus dilakukan. Terutama di Lembah Klang. Itu hakikatnya “kita” ialah kita dan kerajaan. Itu hakikat.

Hakikatnya juga hujan di Lembah Klang kali ini luar biasa. Kata Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Dr Zaini Ujang, taburan hujan 24 jam di Sentul (di ibu negara) sebanyak 363mm, di tempat lain seperti di kilometer 11 daerah Gombak sebanyak 247mm, di Jinjang 258mm dan di Jalan Tun Razak 273mm.

“Berbanding keseluruhan taburan hujan di kawasan kira kira 2,400mm setahun. Tetapi semalam (Sabtu 18 Dis) jumlah hujan dalam masa sehari bersamaan lebih sebulan. Ini di luar jangkaan, ini berlaku lebih 100 tahun sekali,” kata Zaini.

Hakikatnya ini berkaitan perubahan iklim atau “climate change”. Di seluruh dunia apabila hujan ia akan hujan luar biasa. Jika taufun ia lebih kencang daripada masa lalu. Bila kebakaran hutan ia lebih buruk berbanding waktu dahulu, apabila banjir, yang melanda amat menakutkan.

Kesimpulannya bencana sekarang lebih buruk dan ganas berbanding bencana zaman lampau. Hakikatnya ini akibat perubahan iklim.

Perubahan iklim boleh (sudah dan sedang) berlaku pada rantau tertentu atau seluruh bumi. Perubahan berpunca daripada proses dinamik bumi, daya luaran termasuk kelainan kepanasan matahari dan kegiatan manusia.

Dalam penggunaan masa kini khusus konteks dasar alam sekitar istilah “perubahan iklim” selalu merujuk pemanasan global. Terdapat bukti baharu dan kuat pemanasan iklim selama 50 tahun lalu disebabkan perbuatan manusia .

“Sumbangan” manusia termasuk peningkatan tahap gas yang memerangkap haba, pembakaran bahan api, pemotongan pokok, penebasan hutan demi pembangunan, pertanian dan tujuan lain. Banyak lagi tetapi cukup sekadar itu sebelum anda dirangkul kebosanan. Ini bukan topik popular.

Hakikatnya perubahan iklim membawa kesan serius kepada dunia. Ia membawa bencana dan malapetaka yang amat menakutkan. Dan negara kita juga menghadapi fenomena ini.

Tahukah kita akan bahaya yang dihadapi? Tentu saja ya kita tahu. Tetapi perubahan iklim seperti dikatakan tadi bukanlah satu subjek yang digemari dalam kalangan kita di negara ini.

Media juga (ini saya akui walaupun saya orang media) kurang menyiarkan laporan khas dan terperinci mengenai perubahan iklim kecuali menyelitkan fakta sedikit sebanyak di dalam ketika melaporkan bencana umpamanya. Mengapa? Kerana pembaca atau penonton (maksudnya orang ramai) kurang minat . Ini bukan bahan yang boleh “viral”.

Hanya NGO dan aktivis yang bercakap tanya penat mengenai perubahan iklim. Tetapi kerap diabaikan. Kadang kala (mungkin juga kerap) dituduh “bikin kacau”.

Menjelang persidangan PBB mengenai perubahan iklim atau COP 26 Di Glasgow Okt lalu tidak banyak laporan khas disiarkan di negara ini. Malah kerajaan juga nampak macam kurang minat. Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man mulanya tidak “ditugaskan” ke Glasgow pada hal pemimpin utama dunia menyertai COP 26.

Setelah kerajaan dikritik beliau berangkat juga ke Glasgow dan memberi ucapan dalam Bahasa Malaysia di COP 26, sesuatu yang cukup membanggakan. Cuma baru-baru ini didedahkan beliau berucap di COP26 tanpa terjemahan langsung kerana Bahasa Malaysia (Bahasa Melayu) tidak diiktiraf sebagai bahasa rasmi di persidangan anjuran PBB itu.

Lantas tidak ada khidmat penterjemahan langsung disediakan. Difahamkan enam bahasa rasmi PBB ialah Bahasa Arab, Mandarin, Inggeris, Perancis, Rusia dan Sepanyol. Pemimpin yang berucap menggunakan bahasa selain bahasa rasmi yang disenaraikan perlu membawa penterjemah sendiri atau upah perkhidmatan jurubahasa.

Terjemahan ucapan tuan Ibrahim (kemungkinan dalam Bahasa Inggeris) dalam format “hard copy” diedarkan kepada delegasi. Bagaimana pun alangkah baiknya jika apa yang diperkatakan Tuan Ibrahim didengar terus oleh perwakilan menerusi terjemahan langsung?.

Atau jika para pegawai menteri maklum bahawa Bahasa Arab boleh digunakan saya yakin Tuan Ibrahim boleh menyampaikan ucapan dalam Bahasa Arab. Waullahualam. Itu kisah COP26 yang Malaysia diundang tetapi seakan kurang minat ambil bahagian.

April lalu ada satu lagi “conference” seperti itu tetapi Malaysia tidak diundang iaitu Sidang Kemuncak Pemimpin Berkenaan Iklim di Amerika Syarikat. Apabila ditanya mengapa Malaysia tidak mendapat jemputan jawapan Tuan Ibrahim ialah kerana Malaysia bukan tergolong dalam kategori negara yang terdedah kepada impak perubahan iklim yang ketara.

Ini salah. Tidak ada negara yang “dikecualikan” daripada terkena impak perubahan iklim. Impaknya sudah kita saksi, dirasa dan lalui .Terbaharu banjir besar yang melanda Kuala Lumpur tempoh hari dan sedang terjadi di negeri-negeri lain.

Saya tidak terperanjat dengan kenyataan Tuan Ibrahim. Ia adalah sindrom penafian. “Denial syndrome” yang dihadapi semua menteri kita dan digunakan bila menghadapi pelbagai isu.

Gambarannya ialah perubahan iklim bukanlah sesuatu yang menarik minat kerajaan. Bukan kerajaan Malaysia sahaja. Pentadbiran negara lain terutama negara maju lebih banyak cakap daripada tindakan. Mereka janji akan mengambil langkah menyelesaikan masalah perubahan iklim tetapi janji selalunya tinggal janji.

Maka menjadi tanggungjawab kita rakyat biasa untuk menyedarkan kerajaan untuk memberi tumpuan dan melakukan sesuatu dalam berdepan perubahan iklim demi masa depan anak dan cucu cicit kita. Namun bukan senang nak “pujuk” kerajaan.

Saya akhiri dengan laporan siaran FMT semalam 20 Disember 2021. Beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan kecewa dengan keputusan Speaker Azhar Harun tidak membenarkan isu banjir dibahaskan.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang hadir dalam Dewan ketika itu hanya diam, tidak menawarkan diri untuk menjelaskan maklum balas kerajaan.

Lalu berkata Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil: “Adakahkah kita perlu tunggu hingga rumah Speaker banjir baru kita nak bahas?”.

Kalau Ahli Parlimen tidak boleh bahas isu banjir dalam Parlimen, apatah lagi kita yang bukan YB dan duduk luar Parlimen? - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.