`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, April 9, 2022

Bahasa Melayu kukuhkan ASEAN?

 

Wajarkah syor mengangkat Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi Kedua ASEAN dibandingkan dengan strategi Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mahu mengimarahkan slogan Keluarga Malaysia?

Suka atau tidak, slogan Keluarga Malaysia memang ada kesannya. Ia mendorong warga Malaysia untuk percaya bahawa setiap mereka adalah pemegang taruh perpaduan rakyat Malaysia yang tiada dihantui pemikiran kasta atau cauvinisme.

Istilah “keluarga” memang mempunyai unsur melembutkan rasukan cauvinisme, perkauman dan kebencian sesama sendiri. Semua orang sayang keluarga dan rela berkorban serta bertolak ansur.

Namun mampukah bahasa – tegasnya Bahasa Melayu – memancarkan semangat yang sama bagi semua anggota negara Asean untuk mencari pemangkin perpaduan serantau atas alasan ramai rakyat Asean faham dan menggunakan bahasa itu?

Ini bukan pertanyaan yang dicengkam rasa rendah diri (inferiority complex) dan tidak sayang Bahasa Melayu yang sememang menjadi Bahasa Kebangsaan Malaysia tetapi persoalan ini ditimbulkan kerana natijah awal syor itu kurang menggembirakan

Secara rasmi Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi Indonesia, Nadiem Makarim sudah bangkit menolak cadangan itu.

Sebaliknya, beliau mendakwa, bahasa Indonesia adalah pilihan lebih baik untuk digunakan sebagai bahasa utama bagi ASEAN kerana ia paling banyak digunakan di Asia Tenggara, dengan penggunaannya tersebar di lebih 47 negara.

Nadiem mengemukakan cadangan itu susulan syor Malaysia mahu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua blok ASEAN.

Katanya, bahasa Indonesia diajar secara meluas di banyak universiti termasuk di Eropah, Amerika Syarikat (AS), Australia dan beberapa negara Asia.

“Dengan segala kelebihan bahasa Indonesia, dari segi sejarah selain linguistik, dan bagaimana ia sudah diiktiraf di peringkat antarabangsa, saya percaya bahasa Indonesia lebih sesuai.

“Ini kerana bahasa Indonesia berada di hadapan sebagai perantaraan untuk mesyuarat rasmi ASEAN,” katanya, yang dipetik portal berita Indonesia, Kompas Online.

Nadiem berkata, kementeriannya ditugaskan untuk mengembang, mempromosi dan melindungi bahasa serta sastera Indonesia, di samping meningkatkan fungsinya sebagai bahasa antarabangsa.

Bagaimanapun, katanya, memandangkan Malaysia berhasrat memartabatkan bahasa Melayu pada peringkat ASEAN, cadangan itu perlu dikaji dan dibincangkan secara terperinci.

“Sebagai Menteri Pendidikan dan Kebudayaan, saya menolak cadangan itu tetapi memandangkan ada hasrat jiran kita untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa rasmi, sudah pasti ia perlu dikaji dan dibahaskan lebih lanjut,” katanya.

Pada 23 Mac lalu, Ismail berkata Malaysia akan berbincang dengan pemimpin serantau untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua ASEAN dalam usaha memartabatkan bahasa ibunda pada peringkat antarabangsa.

Ismail bagaimanapun berkata bahasa Melayu akan digunakan pada majlis rasmi kerajaan di luar negara hanya apabila bahasa Inggeris bukan bahasa kebangsaan negara tuan rumah.

Rakyat Indonesia memang sentiasa cemburu sebarang unsur yang boleh menjejaskan maruah dan kebudayaan negaranya. Banyak bahan seni budaya yang diamalkan di Malaysia pernah diungkit sebagai warisannya,

Adalah dikhuatiri reaksi Nadiem ini akan membakar sentimen kebangsaan yang melulu dan memporak-perandakan dan bukan menjadi tali pengukuhan ASEAN.

Betapa tidaknya, iktibar mesti ambil daripada pengalaman ASEAN sendiri apabila ia meluaskan keahliannya meliputi negara-negara Indo-China dalam tahun 1990an apabila banyak negara berkenaan memilih menggunakan bahasa ibunda mereka semasa menjadi tuan rumah mesyuarat,

Sekiranya cadangan Malaysia ini dibahaskan secara terbuka dan terperinci, sukar dibayangkan bagaimana kalau negara-negara berkenaan juga mahu bahasa ibunda masing-masing sebagai bahasa rasmi ASEAN juga.

Ini tidak mustahil memandangkan negara-negara seperti Vietnam, Laos, Kampuchea, dan mungkin Thailand berkongsi sejarah dan budaya di kalangan mereka.

Agak sukar memahami ke mana tujuan syor ini. Adalah dibimbangi syor ini akan menjadi bak peribahasa “menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri”. Kini sudah ada pihak melihatnya sebagai lanjutan slogan Keluarga Malaysia demi merapatkan perpaduan ASEAN pula.

Sesungguhnya perkiraan konsep komunikasi Keluarga Malaysia adalah termasuk dalam kerangka usaha mencetuskan penjajaran politik baru agar mendahulukan kepentingan dan ketenteraman Malaysia.

Ia menyaluti Memorandum Persefahaman yang ditandatangani kerajaan dengan Pakatan Harapan khusus untuk menjernih amalan dan reformasi politik negara.

Permulaan naratif politik bahasa ini perlu diakui memang ada kebaikannya. Teguran Ismail berhubung sikap acuh tidak acuh pemimpin, ahli bisnes dan pentadbiran negara berhubung penggunaan bahasa Melayu memang wajar dan kena masanya.

Secara langsung atau tidak, apabila penekanan diberikan terhadap penggunaan Bahasa Melayu dalam majlis-majlis rasmi boleh meniupkan rasa perpaduan dan kesedaran bahawa Bahasa Melayu ada nilai komersial dan mampu jadi bahasa pentadbiran dan perdagangan.

Mungkin Ismail muak gelagat sebilangan wakil rakyat ketika berbahas di dewan rakyat yang gemar menggunakan istilah dan bahasa Inggeris walhal yang bincangkan adalah soal kepentingan rakyat yang menggunakan bahasa Melayu.

Eloklah disubur dan makmurkan penggunaan bahasa Melayu di Malaysia dahulu. Strategi melebarkan Bahasa Melayu di peringkat ASEAN boleh disusun kemudian. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.