`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, April 30, 2022

‘Khemah besar’ rabak Bersatu sesak?

 

Entah kerana semakin yakin atau semakin terdesak, Bersatu mula mengumumkan ‘lelong’ kuasa memerintah negara dengan mana-mana parti yang memusuhi Umno dan Barisan Nasional.

Presiden Muhyiddin Yassin berkata, partinya bersedia menyertai agenda ‘khemah besar’ yang dibawa oleh blok pembangkang dan berunding bagi menghadapi PRU15.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, kerjasama antara parti penting bagi memastikan saingan satu lawan satu dengan BN pada PRU15, sekali gus mengelakkan perpecahan undi. Katanya, rundingan awal membentuk kerjasama itu sudah berlaku dan beliau merumuskan ada petanda memberangsangkan.

Namun beliau tidak menyebut dengan parti mana Bersatu berunding.

Jika diamati, pendekatan Muhyiddin itu bukan formula baru. Ia digunakan dalam PRU14 pada 2018. Bersatu ketika itu bergabung dengan Pakatan Harapan (PH). Namun setelah berjaya menumbangkan Umno-BN, lain pula olahnya. Akibatnya bekas pengerusi PH, Dr Mahathir Mohamad, sampai sekarang belum lerai dendamnya kerana konsep ‘khemah besar’ itu mencemari rekod politiknya.

Tanpa berselindung, Mahathir berkata Muhyiddin telah ‘menikam dari belakang’ dengan membawa Bersatu keluar PH dan memancing ahli Parlimen kerabat PH sendiri menyertainya untuk menubuhkan PN. Mahathir terpaksa meletak jawatan dan Muhyiddin pula menjadi perdana menteri baru. Kini Mahathir membaca Muhyiddin mahu mengulangi kejayaan itu.

Dalam PN setakat ini Bersatu menjalin kerjasama dengan PAS, Gerakan, Parti Progresif Sabah (SAPP), dan Parti Solidariti Tanah Airku (Star). Persoalannya apakah strategi ini masih relevan dalam realiti politik Malaysia hari ini?

Mahathir tidak mudah lupa betapa getirnya bila dikhianati. Maka tidak hairan apabila Muhyiddin menemuinya untuk menggerakkan rundingan kerjasama 2.0, beliau bersikap sinis. Beliau merumuskan usaha Muhyiddin itu sebagai cara ahli Parlimen Pagoh itu mendapatkan bantuannya menjadi perdana menteri sekali lagi. Mungkin hakikat sebenarnya memang sedemikian.

Mungkin bagi Mahathir, Muhyiddin sudah tidak ada nilai politik kerana bekas anak didiknya itu kini menghadapi masalah kepercayaan dua tahap. Satu, Muhyiddin menggerakkan Langkah Sheraton dan menjatuhkan kerajaan PH pimpinannya.

Tahap kedua ialah apabila Muhyiddin kemudian gagal mengatasi masalah negara yang diserang pandemik Covid-19 yang hampir meranapkan ekonomi. Dalilnya. Muhyiddin sendiri terpaksa meletakkan jawatan perdana menteri!

Justeru, dalam usaha menggembleng parti-parti pembangkang mengulangi formula PH menumpaskan Umno, Mahathir mengambil sikap sinis. Kesan langsungnya, sejak Langkah Sheraton digerakkan Muhyiddin, Malaysia tidak lagi tenteram dan rakyat amat kecewa kerana mandat yang mereka berikan dijadikan satu modal perjudian politik untuk berkuasa.

Mengambil isyarat Mahathir itu, defisit kepercayaan dihadapi Muhyiddin semakin melebar sehingga sekarang nyawa politik beliau dan Bersatu dalam kerajaan banyak bergantung pada ihsan Umno yang kini hendak dijatuhkan Muhyiddin.

Penelitian Mahathir agak muktamad. Baik parti Pejuang mahupun Muda dilihat tidak terangsang dengan konsep politik ‘khemah besar’!

DAP yang memang kurang mesra politik Melayu-Islam Bersatu awal-awal lagi menyatakan pendiriannya lemas terhadap politik Muhyiddin ini. Apatah lagi ia rimas dengan politik PAS, yang akrab Bersatu. Bagi DAP, politik PAS ‘bak pinggang tak retak nasi tak dingin’. Sekali PAS tak hendak beribu kali DAP tidak ingin bekerjasama dengan Bersatu!

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dalam kenyataannya menjelaskan, konsep ‘khemah besar’ dipersetujui dalam Resolusi Port Dickson merujuk kepada kerjasama blok pembangkang tanpa membabitkan PN diterajui Bersatu.

Bagaimanapun beliau menegaskan isu kerjasama antara PH dengan PN tidak sepatutnya timbul dan dikaitkan dengan usaha menyatukan parti pembangkang menerusi agenda ‘khemah besar’. Pendirian Anthony itu senada dengan pendapat Presiden Amanah Mohamad Sabu, bahawa tidak timbul cadangan menarik penyertaan PN, apatah lagi PAS ke dalamnya.

Namun, Muhyiddin berharap, pemimpin parti lain turut mempunyai matlamat dan pemikiran bagi merealisasikan kerjasama politik demi membentuk sebuah kerajaan yang boleh menjamin masa depan negara yang lebih baik.

Dalam hubungan ini persoalan yang dilontarkan oleh bekas ketua Pemuda DAP, Howard Lee, amat menarik dan membenihkan persepsi terhadap pendirian Muhyiddin dan Bersatu. Beliau mempersoalkan keikhlasan Bersatu bekerjasama dengan parti lain bagi menentang BN dalam PRU15 kerana sehingga kini Bersatu masih lagi bersama Umno dalam kerajaan.

Lee berkata, sekiranya Bersatu ikhlas ingin melihat tadbir urus negara yang lebih baik, mengapa tidak memikirkannya sebelum mengkhianati PH.

“Sekiranya ikhlas hendak melawan Umno, dan hendak menunjukkan ketulusan berjuang demi kepentingan negara, mengapa masih bersama mereka dalam kerajaan?”

Bagaimanapun, Lee berkata, jika perbincangannya berdasarkan agenda pentadbiran dan dasar membangunkan negara yang menang-menang, pintu tidak pernah ditutup.

“Sekiranya ia berdasarkan menang-menang politik, mengapa tak fikirkannya sebelum mengkhianati PH dan mandat rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Komunikasi Strategik Amanah, Khalid Samad secara lantang mempersoal janji Bersatu.

“Mereka telah khianati PH dulu. Apa jaminan mereka tidak akan khianati kita sekali lagi?,” soal Khalid.

Tidak kurang menarik juga diperhatikan gelagat PAS, rakan akrab Bersatu dalam PN. PAS menolak mentah-mentah kemungkinan kerjasama dengan PH yang turut dianggotai DAP. Pengarah pilihan raya PAS merangkap Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata perbincangan mengenai kerjasama politik itu membabitkan PH dan PN, dengan PAS hanya komponen dalam PN.

“Yang berbincang adalah PN dan PH. PAS buat keputusan menolak dan tidak akan menyertainya. PN ini jika PAS tidak turut serta, maka ia tidak akan cukup kerusi.

“PAS tolak sebarang pakatan untuk bentuk kerjasama baharu membabitkan PKR. Kita sudah ada pengalaman 20 tahun bersama PKR dalam Pakatan Rakyat dan semua strategi itu tidak akan berulang lagi,” katanya.

Sementara itu, bagaimanakah Umno sendiri melihat kecamuk dalam kalangan parti-parti pembangkang mahu memerangkapnya sekali lagi?

Naib Presiden Umno, Mahdzir Khalid, berkata agenda ‘khemah besar’ yang dijangka dibawa oleh PH bagi menghadapi PRU15 bukan semudah ‘memasak pisang goreng’.

Katanya, adalah perkara biasa untuk parti politik mencari jalan dan apa juga kaedah untuk menghadapi PRU dan lawan mereka juga perlu bersiap sedia dengan strategi tersendiri.

“Di pihak PH, kalau mereka ada ‘khemah besar’, itu kita anggap sebagai persaingan, tetapi saya tak fikir untuk membina ‘khemah besar’ ini semudah nak buat pisang goreng. Apa pun, kita kena hadapi dan ada persediaan serta strategi kita,” katanya.

Jika PAS tidak mahu ‘khemah besar’ yang diuar-uarkan Muhyiddin, dan parti komponen PH juga tidak ingin bersama PAS mahu pun Bersatu, begitu juga dengan Umno, apakah Muhyiddin terpaksa akur, jangka hayat Bersatu, mahu pun PN, makin pendek ketika negara makin dekat pada PRU15? - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.