`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, April 7, 2022

Balik-balik orang tua mencatur politik

 

Pada 31 Julai 2008, entah tidak semena-mena kenapa, wartawan bertanyakan kepada saya satu soalan cepu emas, patutkah Anwar Ibrahim digantikan. Mungkin soalan beliau itu persis bukan begitu, tetapi maksudnya sipi-sipi ternyata mempersoalkan kedudukan Anwar dan usaha penggantian beliau.

Saya membalas soalan beliau yang kemudian dikarang semula sebagai sebuah esei dengan tajuk “Writing for Change” begini; “the whole world is changing for a perspective from the young and for new ideas. I think Malaysia should walk a similar road.”

Hampir 15 tahun kemudian dalam berita-berita politik minggu ini kita akan melihat muka lapuk yang sama. Sejak 2008 sehingga 2022, nama yang masih berlegar dalam politik tanahair masih orang yang itu. Mereka tidak jelak bermain politik, meskipun negara ini sedang menuju kerobohan.

Anwar Ibrahim. Mahathir Mohamad. Anwar Ibrahim. Mahiaddin Yasin. Anwar Ibrahim. Najib Razak. Anwar Ibrahim. Abdul Hadi Awang. Anwar Ibrahim. Lim Guan Eng. Anwar Ibrahim. Azmin Ali. Anwar Ibrahim. Mohd Sabu. Anwar Ibrahim. Ahmad Zahid Hamidi. Anwar Ibrahim. Kemudian Mahiaddin Yasin. Anwar Ibrahim. Kemudian ulang lagi. Semuanya ego sendiri-sendiri.

Sedar tidak sedar kita yang berada di luar politik berasa mual, muak, menyampah, jelak, semak, rimas, jeluak, jijik, geli, meluat, geram, benci dan ulang lagi mual, muak, menyampah, jelak, semak, rimas, jeluak, jijik, geli, meluat, geram, dan benci dengan formula generasi lama, petua orang tua, aturan para “senior”, dan percaturan atau percekcokan yang semuanya terjadi kerana mereka.

Orang politik tidak sedar bahawa mereka tiada idea baharu. Orang politik dalam buih dan busa mereka sendiri tidak tahu yang rakyat terbanyak sudah mual, muak, menyampah, jelak, semak, rimas, jeluak, jijik, geli, meluat, geram, dan benci sehingga tidak mahu turun mengundi.

Malah rasa mual, muak, menyampah, jelak, semak, rimas, jeluak, jijik, geli, meluat, geram, dan benci itu membuatkan sesetengah daripada kami, rakyat berfikir begini, nah berilah negara ini kepada anjing penyamun penyangak dan pencuri kerana pada 2018, tatkala kami berfikir jernih dan mengundi kalian, negeri ini dijahanamkan dengan pengkhianatan demi pengkhianatan.

Akan tetapi ahli politik masih tidak sedar. Tiga kali pilihan raya negeri, rakyat sudah memberi “signal” haram jadah untuk melantakkan negara kepada penjarah berbibir merah, pun ahli politik tua masih tidak mahu diganti.

Satu hal yang dilupakan oleh kaum tua ialah Ismail Sabri berusia 62 tahun. Untuk menggerakkan dan memacu kembali politik yang mengalami kelesuan dan kelemasan ini, kita memerlukan pemimpin yang lebih muda daripada Ismail, dan bukan yang lebih tua daripadanya. Bermula era Ismail parameter tua bukan lagi 96 tahun, sebaliknya had ialah 62 tahun. Ini menjadikan sebahagian besar pemain politik dalam gelanggang di usia lanjut dan tidak lagi sesuai bersilat atau berkincah di medan.

Pemain politik kita hari ini – yang menentukan semua dasar kita – terdiri daripada mereka di usia 70 tahun sehingga 80 tahun. Mereka dalam had umur tersebut dikelompokkan sebagai individu septuagenarian. Anwar adalah septuagenarian (74 tahun), demikian juga Mahiaddin (74 tahun). Abdul Hadi Awang juga di usia yang sama (74 tahun), merupakan seorang septuagenarian.

Manakala Salahuddin Ayub (60 tahun), Lim Guan Eng (61 tahun), Ismail Sabri (62 tahun), Mohd Sabu (67 tahun), Zahid Hamidi (69 tahun), Shafie Apdal (64 tahun), Mohamad Hasan (65 tahun), dan Najib Razak (68 tahun) semuanya dalam kategori sexagenarian.

Lim Kit Siang yang sudah turun takhta berusia 81 tahun dalam kategori octogenarian sementara Dr Mahathir yang juga telah mengumumkan pengunduran di usia 96 tahun seorang nonagenarian.

Jika had usia muda dalam politik ini dibincangkan (iaitu had umur Ismail Sabri), maka Malaysia sepatutnya dipimpin oleh pemimpin matang dalam usia 40-an atau 50-an. Pemimpin negara ini harus lebih muda daripada Ismail iaitu 62 tahun.

Kita misalkan yang patut memimpin negara ini adalah Adly Zahari, bekas Ketua Menteri Melaka, di usia 51 tahun; atau Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, kini di usia 42 tahun. Setiausaha Agung DAP yang baharu, Anthony Loke Siew Fook, pula berusia 44 tahun; diikuti orang kuat Warisan, Azis Jamman (47 tahun). Di pihak Umno, Khairy Jamaluddin berumur 46 tahun.

Rafizi Ramli yang sedang bersaing untuk merebut tampuk (kedua) kepimpinan PKR di usia 44 tahun bertanding dengan Saifuddin Nasution Ismail yang dalam dua tahun lagi akan masuk kategori sexagenarian. Mukhriz Mahathir dari Pejuang pula muda setahun dari Saifuddin.

Kita juga ada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang MUDA pula di usia 29 tahun, masih muda; serta Azmin Ali yang berusia 57 tahun, akan tetapi tak ramai yang jelira dengan beliau (untuk nota: jelira bermaksud puas yang meresap ke segenap anggota tubuh). Inilah nama-nama yang sepatutnya lincah di gelanggang dan membuat keputusan bagi pihak rakyat. Negara ini harus ditentukan oleh mereka di bawah usia Ismail Sabri.

Dalam ramai-ramai di atas, pemimpin wanita yang menyerlah dan ada potensi untuk melonjak ke atas adalah Nurul Izzah Anwar (41 tahun), Hannah Yeoh Tseow Suan (43 tahun), dan Isnaraissah Munirah Majilis (40 tahun). Kita terpaksa mengkesampingkan nama Rina Harun (48 tahun) atau Siti Zailah Mohd Yusoff yang seganda umur Rina atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Kompleksiti dan keruwetan urusan negara di era pasca pandemik ini menuntut pemimpin yang bertenaga, dan punya banyak idea. Bukannya kaum tua yang berkobar-kobar bernafsu mengejar jawatan tetapi bankrap idea untuk membangunkan negeri. Malah bukan sahaja berusia lanjut, mereka ikut terpisah jauh daripada realiti generasi muda.

Malaysia memerlukan formula baru selepas kelesuan oleh Langkah Sheraton yang ditaja dan dilakukan oleh kaum tua dalam politik. Pengundi jelak dengan Anwar Ibrahim. Mahathir Mohamad. Anwar Ibrahim. Mahiaddin Yasin. Anwar Ibrahim. Najib Razak. Anwar Ibrahim. Abdul Hadi Awang. Anwar Ibrahim. Lim Guan Eng. Anwar Ibrahim. Azmin Ali. Anwar Ibrahim. Mohd Sabu. Anwar Ibrahim. Zahid Hamidi. Anwar Ibrahim. Kemudian Mahiaddin Yassin. Anwar Ibrahim. Kemudian ulang lagi. Semuanya ego sendiri-sendiri.

Pemimpin yang muda akan pertamanya; memberikan kita optimisme yang telah mati. Keduanya, pemimpin yang muda akan memahami generasi mendatang kerana jurang usia yang kecil antara mereka.

Ketiga, pemimpin yang muda akan melihat sesuatu masalah dan kemelut dengan cara berbeza. Keempat, pemimpin yang muda dapat mencabar dan melawan tanggapan.

Kelima, pemimpin yang muda akan belajar dengan cepat dan lekas dan itu sangat diperlukan ketika dunia berada dalam fasa lebih mencabar selepas pandemik Covid-19 dan perseteruan sengit Amerika Syarikat dan Rusia, selain dominasi China. Keenam, pemimpin muda lebih mahir teknologi dan tidak terkial antara tablet atau komputer riba, atau tidak sudah-sudah berjanji akan servis 5G persis Annuar Musa (yang berusia 65 tahun).

Ketujuh, pemimpin muda adalah pelan peralihan kita maka jika Malaysia mengalami kebuntuan, eloklah berfikir di luar kotak; dan menyerahkan kepimpinan negara kepada mereka yang tidak tergolong dalam kategori sexagenarian, dan septuagenarian yang biasanya degil dan tidak lagi ada peluang berubah.

Politik mengalami kebuntuan kerana orang tua. Saya ulang, kita tergencat kerana pemimpin dan politikus tua yang rakus.

15 tahun lalu saya disoal oleh wartawan mengenai keperluan Malaysia melantik pemimpin muda. Jawapan saya adalah; “the whole world is changing for a perspective from the young and for new ideas. I think Malaysia should walk a similar road.”

Hari ini saya memperbaharui fatwa 15 tahun itu, bahawa pemimpin negara ini wajib lebih muda dari Ismail Sabri yang berusia 62 tahun. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.