`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, April 14, 2022

Bekas pengarah jabatan air guna nama saya beli Audi, saksi beritahu mahkamah

 

Ag Mohd Tahir Ag Mohd Talib bersama isteri Fauziah Piut, dan bekas timbalan pengarah jabatan air negeri Lim Lam Beng, berdepan 37 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM61.57 juta.

KOTA KINABALU: Pengarah syarikat elektronik memberitahu Mahkamah Khas Rasuah, hari ini, bahawa beliau memberi keizinan kepada bekas pengarah air negeri Ag Mohd Tahir Ag Mohd Talib, membeli kereta Audi atas namanya.

Katanya, beliau berbuat demikian kerana terhutang budi kepada Tahir yang membantunya ketika melalui prose perceraian.

Ketika memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-13 berhubung perbicaraan Tahir dan dua lagi, Adam Breimo berkata, Tahir menyokongnya apabila beliau melalui proses perceraian, pada 2011.

“Dan berdasarkan kepercayaan itu, saya tidak bimbang (Tahir) tidak mampu membayar pinjaman kereta,” kata Adam yang juga pengarah Gussmann Technologies Sdn Bhd, menjawab soalan timbalan pendakwa raya Mahadi Abdul Jumaat.

Tahir, 58, bersama isteri Fauziah Piut, 55, dan bekas timbalan pengarah jabatan air negeri Lim Lam Beng, 66, berdepan pertuduhan di mahkamah. Ketiga-tiga mereka pada 29 Dis 2016 mengaku tidak bersalah terhadap 37 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM61.57 juta.

Adam, yang menetap di Sungai Buloh, Selangor, berkata beliau pertama kali bertemu Tahir, pada 2006, selepas membuka gerai pameran di Pameran Air Asia.

Kemudian, pada 2011, beliau berkata, Tahir meminta untuk bertemu dengannya dan seterusnya meminta menggunakan namanya untuk membeli sebuah kereta, serta menggunakan kredit daripada bank susulan rekod baiknya dengan Maybank.

Adam berkata, pada awal Ogos, tahun sama, Tahir juga meminta bantuannya pergi ke bilik pameran Audi Centre, di Bukit Bintang kerana beliau berhasrat mahu membeli kereta.

Jurujual di bilik pameran itu meminta dokumen peribadi Adam untuk melakukan proses pinjaman bank dan membolehkan Tahir membeli Audi 1.4 TFSI berwarna merah, dengan nombor pendaftaran SAB66F.

Adam berkata, beliau menegaskan Tahir membayar sejumlah besar wang pendahuluan, namun tidak pasti jumlah sebenar dibayar oleh Tahir.

Selepas pembelian selesai, Adam berkata, Tahir membuat urusan sendiri menghantar kereta berkenaan ke Sabah. Katanya, beliau tidak mengendahkan perkara seperti cukai jalan, insurans kereta dan penyelenggaraan kerana semuanya diuruskan oleh Tahir.

“Saya tidak pernah menggunakan kereta berkenaan kerana saya tidak berminat dengan kenderaan itu. Ia digunakan oleh Tahir.”

Menjawab soalan pendakwaan berhubung nilai sebenar kereta terbabit, beliau berkata, ia mungkin dalam lingkungan RM160,000, sambil menambah beliau tidak pernah berdepan sebarang masalah dengan bank sejak pembelian dilakukan.

Dalam pemeriksaan balas oleh peguam Tahir, Marcel Jude, Adam menafikan alasan sebenar beliau “membeli” kereta itu adalah kerana beliau mahu mendapatkan kontrak daripada jabatan air Sabah.

Beliau juga tidak bersetuju dengan peguam pembelaan, bahawa beliau sebenarnya membeli kereta dan tidak memindahkannya kepada Tahir selepas tidak mendapat kontrak kerajaan, selain beliau mahu menjual kereta itu semula untuk mendapatkan kembali wang.

Jude turut mewakili Fauziah, manakala Tan Hock Chuan, Baldev Singh dan Karpaljit Singh mewakili Lim dalam perbicaraan masuk hari keempat di hadapan Hakim Abu Bakar Manat. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.