`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, April 16, 2022

Harga kami masih berpatutan, kata AirAsia

 

Ketua Pegawai Komersial AirAsia Tan Mai Yin bercakap kepada pemberita di Kota Kinabalu selepas menyambut ketibaan penerbangan antarabangsa pertama AirAsia ke Sabah.

KOTA KINABALU: AirAsia menjelaskan harga tiket ditawarkan kepada penumpang masih berpatutan susulan keluhan orang ramai, syarikat penerbangan tambang rendah itu antara yang menaikkan harga pada musim perayaan.

Ketua Pegawai Komersial AirAsia, Tan Mai Yin, berkata lebih 50% tiket pergi balik antara Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu serta Kuching sudah dijual bagi penerbangan April dan Mei dengan harga ditawarkan kurang RM500.

“Jadi harga ditawarkan masih kompetitif dan berpatutan,” katanya kepada pemberita selepas majlis di sini hari ini.

“Kami komited menyediakan perjalanan pada harga munasabah untuk semua, tetapi ia adalah perkara biasa dalam hal penetapan harga dinamik bagi syarikat penerbangan di mana kami sentiasa menggalakkan perancangan ke hadapan dan menempah seawal mungkin.”

Sekurang-kurangnya empat menteri Sabah, termasuk Ketua Menteri Hajiji Noor, mengulas mengenai kenaikan harga tiket dan menggesa syarikat penerbangan menurunkan tambang bagi membolehkan rakyat pulang ke tanah air untuk berjumpa orang tersayang menyambut Aidilfitri.

Kementerian Pengangkutan Sarawak juga menulis surat kepada syarikat penerbangan meminta mereka menawarkan tiket penerbangan dengan harga lebih berpatutan bagi tempoh perayaan akan datang.

Semalam, Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong memberitahu Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan syarikat penerbangan untuk menangani kenaikan harga penerbangan ke Sabah dan Sarawak.

“Saya mempengerusikan mesyuarat semalam untuk membincangkan isu ini dan saya telah meminta Mavcom dan syarikat penerbangan menjalankan siasatan segera dan terperinci berhubung kenaikan harga penerbangan ke Malaysia Timur pada musim raya ini,” katanya dalam kenyataan.

Ditanya sama ada AirAsia sedang mengkaji menurunkan tambang penerbangannya, Tan berkata, syarikat penerbangan itu akan mengkaji untuk menguruskan permintaan dan menambah lebih banyak kapasiti jika perlu.

“Ia masih menjadi cabaran melibatkan syarikat penerbangan kerana kos operasi semakin meningkat, lebih-lebih lagi semua pesawat tersadai sejak dua tahun lalu.

“Kami perlu memastikan pemeriksaan dan penyelenggaraan yang betul telah dilakukan pada setiap pesawat sebelum kami menerbangkannya,” katanya, sambil menambah proses itu akan mengambil sedikit masa. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.