`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, April 7, 2022

Ibu bapa makin sedar, namun jumlah kanak-kanak terima vaksin di Sabah masih rendah

 

Menurut kenyataan dikeluarkan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun, hanya 23.97% daripada 411,400 kanak-kanak di Sabah yang layak menerima vaksin, sudah mendapatkan sekurang-kurangnya dos pertama.

KOTA KINABALU: Masih ramai ibu bapa di Sabah tidak membawa anak-anak mereka mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 walaupun kesedaran dalam kalangan mereka berhubung kepentingan imunisasi itu semakin bertambah.

Menurut kenyataan dikeluarkan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun, semalam, hanya 23.97% daripada 411,400 kanak-kanak di Sabah yang layak menerima vaksin, sudah mendapatkan sekurang-kurangnya dos pertama.

Katanya, jumlah kanak-kanak lengkap dua dos vaksin setakat semalam hanya berjumlah 2,795 penerima atau 0.68% sahaja.

Seorang ibu yang mahu dikenali sebagai Nana, 39, berkata dia pada mulanya masih ragu-ragu memberikan vaksin Covid-19 kepada anak-anaknya.

Katanya, keraguan itu susulan maklumat “luar” diterimanya yang mendakwa ada kesan buruk vaksin terhadap kanak-kanak.

Bagaimanapun, hatinya terbuka menghantar anak-anaknya menerima vaksin selepas kesemua mereka dijangkiti Covid-19.

“Saya dan suami bukanlah anti vaksin, kami berdua telah lengkap menerimanya termasuk dos penggalak, namun, kami pada mulanya masih ragu-ragu dengan pemberian vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak.

“Ibu bapa mana yang tidak risau, lebih-lebih lagi apabila mendapat maklumat daripada saudara sendiri dan kenalan yang mengatakan vaksin Covid-19 memberi kesan buruk kepada kanak-kanak.

“Pada waktu itu, kami mengambil sikap tunggu dan lihat, tetapi malangnya kami sekeluarga termasuk tiga anak saya diserang Covid-19,” katanya kepada FMT.

Katanya, hasil perbincangan dengan suaminya, mereka akhirnya bersetuju membawa anak mereka ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“Syukur setakat ini, tiada kesan buruk berlaku ke atas anak kami,” katanya.

Nana berkata, anaknya berusia 12 tahun telah menerima dos pertama, pada Jumaat lalu, manakala seorang lagi anaknya berusia sembilan tahun menerima dos pertama, keesokan harinya.

Katanya, seorang lagi anaknya belum layak menerima vaksin kerana baharu berusia tiga tahun.

“Syukur juga dua anak saya telah terima vaksin, lebih-lebih lagi risiko untuk dijangkiti semakin tinggi kerana sesi persekolahan kembali seperti sebelum ini iaitu secara bersemuka,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi ibu yang mahu dikenali sebagai Zay, 35, berkata, dua anak perempuannya berusia enam dan lapan tahun sehingga kini masih belum menerima vaksin.

Katanya, dia dan suami belum menghantar anak mereka menerima vaksin bukan kerana risau terhadap kesan sampingan, tetapi masa belum “berpihak” kepada mereka untuk berbuat demikian.

“Saya dan suami sebelum ini positif Covid-19, namun syukur tiga anak kami pula negatif tapi kami terpaksa menjalani kuarantin.

“Kami bercadang untuk menghantar anak kami ke PPV selepas selesai menjalani kuarantin namun kerana tugasan sebagai guru, lebih-lebih lagi pada masa sama sesi persekolahan bermula, kami terpaksa menangguhkannya dulu,” katanya.

Zay berkata, dia akan mencari masa sesuai secepat mungkin menghantar anak mereka mendapatkan vaksin.

“Saya ada terbaca, semakin ramai kanak-kanak dijangkiti Covid-19 kerana belum menerima vaksin dan oleh sebab itu vaksin sangat penting.

“Kami bukanlah membelakangkan soal kesihatan anak-anak, tetapi masa sangat tidak berpihak kepada kami.

“Kami akan hantar mereka (anak-anak) dapatkan vaksin dalam masa terdekat ini,” katanya.

Seorang ayah, Lester Lee, 43, berkata, anak-anaknya antara terawal mendapatkan vaksin selepas Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids), dilancarkan pada Feb.

“Ramai kanak-kanak di negara luar telah menerima vaksin dan kehidupan mereka saya lihat sudah kembali normal dan sebab itu bagi saya, vaksin Covid-19 penting untuk semua termasuk kanak-kanak.

“Kalau kita mahu kembali kepada kehidupan normal, kita harus lakukan apa yang disarankan oleh pihak berkaitan tapi saya sedikit “kurang faham” kenapa peratusan kanak-kanak yang telah menerima vaksin di Sabah masih rendah dan lembab.

“Kepada ibu bapa lain di luar sana, saya harap mereka hantarlah anak mereka (untuk mendapatkan vaksin)… jangan terlalu percaya dengan khabar angin,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.