PETALING JAYA: Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin, menolak isu layanan buruk terhadap tahanan Rohingya hingga membawa kepada kejadian melarikan diri dari depoh imigresen sementara Relau, Sungai Bakap, kelmarin.
Beliau berkata, layanan diberi selama ini memadai dengan menyediakan tempat perlindungan dan diberi makan minum.
“Layanan macam mana yang mereka nak? Kita dah layan cukup baik, apa lagi yang mereka mahu.
“Kalau mereka menganggap kita melayan buruk, keluarlah dari negara ini. Kenapa nak tinggal di Malaysia lagi?
“Mereka nak kita layan sebagai apa? Kena fahamlah mereka itu pelarian,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Hari ini, Ketua Polis Kedah Wan Hassan Wan Ahmad, berkata daripada keterangan diambil daripada 420 tahanan dewasa yang sudah ditahan semula, rata-rata mendedahkan faktor kematian seorang tahanan itu sehari sebelum mereka melarikan diri, antara punca tercetusnya insiden terbabit.
Katanya, bagaimanapun siasatan lanjut berhubung perkara berkenaan masih lagi berjalan.
Dalam pada itu, Hamzah berkata, Malaysia bersedia menyediakan perlindungan kepada pelarian itu selepas negara lain tidak mahu mengambil mereka.
Bagaimanapun, tegasnya, ia bukan bermakna Malaysia mengalu-alukan pelarian ke negara ini.
“Kalau nak datang ke Malaysia mestilah secara sah dan mempunyai dokumen yang betul,” katanya.
Berhubung tindakan susulan terhadap warga Rohingya yang ditahan semula, Hamzah menegaskan mereka akan terus ditahan kerana belum ada negara mahu menerima golongan itu. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.