`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, April 15, 2022

Klip video Siti Bainun layan saksi seperti ‘hamba abdi’ ditayang di mahkamah

 

Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali (kiri) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini ditunjukkan beberapa rakaman video yang memaparkan layanan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali terhadap penghuninya yang didakwa seperti “hamba abdi”.

Antara rakaman tersebut adalah sambutan hari lahir Yasmin Nahar Mahmood, 19, yang ketika itu penghuni di rumah tersebut, video Yasmin bercuti bersama Siti Bainun di sebuah hotel dan sambutan Hari Raya.

Pada prosiding terdahulu, Yasmin yang merupakan saksi pendakwaan kelima berkata, dia dilayan seperti hamba abdi oleh Siti Bainun ketika tinggal di rumah perlindungan itu.

Menjawab pertanyaan peguam Nur A’minahtul Mardiah Md Nor merujuk video tersebut, adakah ia dikatakan layanan hamba abdi yang diberikan Siti Bainun dan Yasmin menjawab: Ya.

Saksi tersebut berkata demikian ketika disoal balas peguam mewakili Siti Bainun yang didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan Sindrom Down berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella.

Merujuk rakaman video semasa sambutan Hari Raya pada 22 Mei 2021, saksi itu berkata, Bella yang paling lama memeluk Siti Bainun.

A’minahtul Mardiah: Bella peluk pendera dia paling lama dan kuat?

Yasmin: Ya.

A’minahtul Mardiah: Jadi Bella tak takutlah kepada penderanya?

Yasmin: Ya.

Pada prosiding hari ini juga, pihak pembelaan menyenaraikan 10 keterangan Yasmin yang dikatakan penipuan semata-mata.

Antaranya mengenai keadaan Bella yang dikatakan asyik terjatuh apabila berjalan kerana kakinya lemah akibat sering didera (rakaman video menunjukkan Bella mampu berjalan seperti biasa) dan dipukul dengan penyangkut baju sehingga patah (Yasmin berada di rumah perlindungan Jitra, Kedah ketika kejadian itu kononnya berlaku).

Yasmin bagaimanapun menafikan keterangan yang diberikannya adalah palsu.

Terdahulu, menjawab soalan peguam Asiah Abdul Jalil, Yasmin berkata, Siti Bainun membeli ubat sendiri, tetapi mengarahkannya menyapu ubat itu pada luka di tubuh Bella.

Saksi itu bersetuju dengan gambar ubat yang digunakan pada Bella, antaranya pelembap aloe vera, ubat kuning, penyembur luka, cecair pembasmi kuman dan pembalut luka.

Siti Bainun, 30, menghadapi dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini, antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung Rabu depan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.