`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, April 12, 2022

Kos tunai haji naik tak ada kaitan kedudukan kewangan TH, kata pengarah eksekutif haji

Dakwaan kos haji meningkat disebabkan Tabung Haji (TH) mengalami masalah kewangan sebagai tidak benar memandangkan agihan keuntungan kepada pendeposit yang diumumkan sebelum ini, kata Pengarah Eksekutif Haji TH Syed Saleh Syed Abdul Rahman. (Gambar AP)

PETALING JAYA: Peningkatan kos menunaikan haji bagi jemaah muassasah tahun ini, tidak mempunyai kaitan dengan masalah kewangan yang didakwa dihadapi Lembaga Tabung Haji (TH), kata Pengarah Eksekutif Haji TH Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata, dakwaan itu tidak benar memandangkan TH sudah mengumumkan agihan keuntungan kepada pendeposit dan ini jelas menunjukkan kedudukan kewangan TH berada dalam keadaan baik.

Katanya, peningkatan kos menunaikan haji langsung tiada kena mengena dengan kedudukan kewangan, sebaliknya ia lebih menjurus kepada faktor inflasi, percukaian dan perkhidmatan lain di Arab Saudi.

“Situasi ekonomi semasa yang berlaku turut memberi impak kepada kos menunaikan haji dan ia berada di luar kawalan TH, umpamanya cukai nilai tambah (VAT) yang meningkat sebanyak 15%, berbanding lima peratus sebelum ini.

“Malah, ia juga berkaitan dengan perkhidmatan disediakan di Tanah Suci antaranya membabitkan pembangunan di kota suci yang memaksa banyak hotel terpaksa dirobohkan sejak 2004, jadi harga penginapan turut meningkat.

“Menerusi Misi 2030 Kerajaan Arab Saudi yang mana mereka tidak mahu bergantung kepada pendapatan daripada minyak, tetapi ingin lihat dari segmen seperti perkhidmatan, pelancongan, ternakan termasuklah berkaitan haji,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Dilaporkan, TH menjangkakan kos menunaikan haji bagi seorang jemaah muassasah pada tahun ini meningkat kepada lebih RM25,000, susulan kenaikan berkaitan cukai dan caj perkhidmatan baharu dikenakan kerajaan Arab Saudi.

TH dalam kenyataan memaklumkan kos berkenaan adalah peningkatan 12%, berbanding RM22,900 bagi seorang jemaah haji muassasah pada 2019.

“Kos yang perlu ditanggung oleh bakal jemaah haji ialah kos langsung iaitu penerbangan, penginapan, pengangkutan, makanan dan perkhidmatan disediakan oleh kerajaan Arab Saudi,” kata Saleh.

Katanya, untuk menentukan bayaran haji pada tahun ini, TH melihat beberapa faktor antaranya sumber pendapatan TH, syarat dikenakan kerajaan Arab Saudi dan kos bantuan yang akan diberikan.

“Jangan dibandingkan dengan negara seperti Indonesia, Singapura dan Brunei kerana masing-masing menawarkan perkhidmatan yang berbeza.

“Seperti diketahui, Malaysia antara pengendali jemaah haji yang mendapat pengiktirafan terbaik dalam setiap pengurusan dilakukan,” katanya sambil menyatakan TH akan mengumumkan tidak lama lagi berapakah bayaran menunaikan haji pada tahun ini. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.