PETALING JAYA: Sebuah lukisan memperlihatkan suasana di Dewan Rakyat dipenuhi orang utan dan katak mencuri tumpuan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Dalam catatan di Facebook Pejabat Diraja Selangor, Baginda berkenan membeli karya seni itu selepas melihatnya dan menggantung lukisan berkenaan di bilik bacaan peribadi.
“Sebuah hasil karya seni lukisan telah menarik perhatian Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
“Sebaik melihatnya, Baginda berkenan untuk membeli karya lukisan itu dan menggantungnya di ‘private study room’ Baginda,” menurut catatan itu.
Baginda berhasrat melelong lukisan itu suatu hari nanti dan hasil lelongan akan disumbangkan bagi tujuan kebajikan.
Sementara itu, warganet yang turut teruja melihat kreativiti lukisan berkenaan berkata karya itu mempunyai maksud yang mendalam.
“Daulat tuanku, sangat dalam maksud lukisan ini. Pelukis yang hebat,” kata Jamie Long.
“Tersurat sangat makna gambar ini. Harapnya Tuanku juga dapat melihat dan tegur pemimpin politik seperti gambar yang Tuanku beli tu,” komen pengguna Facebook lain.
Mohamad Nasrullizam Yunus pula menyifatkan lukisan itu memberi gambaran bahawa ahli politik di negara ini “sungguh hina”.
“Kalau 222 orang (Ahli Parlimen) tu tak malu, tak tahulah,” balas individu lain. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.