`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, April 4, 2022

Pejuang pertikai istilah Ahli Parlimen dipecat parti dikategori lompat parti

 

Mukhriz Mahathir akan membangkitkan istilah Ahli Parlimen dipecat parti yang dikategorikan sebagai melompat parti dalam draf RUU antilompat parti dalam sidang khas Parlimen pada 11 April ini.

PETALING JAYA: Pejuang mempersoalkan istilah Ahli Parlimen dipecat parti yang dikategorikan sebagai melompat parti dalam draf rang undang-undang (RUU) antilompat parti.

Presidennya, Mukhriz Mahathir berkata, timbul kebimbangan dalam kalangan enam ahli Parlimen Pejuang berhubung perkara itu memandangkan mereka dipecat Bersatu kerana enggan mengikut tindakan meninggalkan Pakatan Harapan (PH) untuk menubuhkan gabungan baharu, Perikatan Nasional (PN).

“Ini boleh berlaku jika wakil rakyat itu enggan mengikut tindakan partinya untuk melompat dari satu gabungan ke gabungan lain. Wakil rakyat tersebut dianggap lompat parti, walaupun sebenarnya yang melompat dan mengkhianati mandat rakyat adalah partinya,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Mukhriz berkata, berdasarkan draf pentadbiran RUU Perlembagaan (Pindaan) Antilompat Parti, wakil rakyat terbabit perlu mengosongkan kerusinya dan pilihan raya perlu diadakan bagi memilih wakil rakyat baharu.

“Perlu diamati apa yang berlaku kepada enam Ahli Parlimen dipecat Bersatu itu. Adakah adil untuk dianggap yang melompat parti itu adalah enam Ahli Parlimen tersebut, bukannya parti yang mereka wakili?

“Tidakkah enam individu itu sebenarnya setia kepada mandat rakyat yang memilih mereka melalui pilihan raya umum? Tidakkah sebenarnya Bersatu yang khianati mandat rakyat dengan keluar dari PH?” soalnya.

Katanya, agak menghairankan apabila pihak yang setia pula dihukum, bukannya yang mengkhianati mandat rakyat.

“Ini antara persoalan yang akan kami bangkitkan dalam perbahasan di sidang khas Parlimen. Draf ini akan dibentangkan di Parlimen untuk dibahaskan dan diluluskan pada 11 April depan,” kata Ahli Parlimen Jerlun itu.

Pada 30 Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan, tiga perkara utama yang mengistilahkan seseorang Ahli Parlimen itu melompat parti ialah apabila individu terbabit menang pilihan raya dan kemudian mengumumkan keluar parti serta menjadi ahli bebas atau menyertai parti politik lain.

Ini termasuk Ahli Parlimen yang memenangi kerusi Parlimen, tetapi dipecat parti serta Ahli Parlimen bebas yang memenangi kerusi ditandingi pada pilihan raya, namun mengumumkan menyertai mana-mana parti politik selepas kemenangannya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.