`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, April 14, 2022

Pemonyetan Ahli Parlimen

 

Sekali lagi, sebagai seorang pengarang dan pengkaji seni sastera, saya mempertahankan satira. Sebenarnya satira selamanya satu penerokaan seni yang sah, dan sejak era Yunani lagi genre satira ditulis, dipentaskan, dan dilukiskan dengan tujuan membetulkan moral yang tersimpang. Satira melondehkan kebobrokan sesuatu pihak, khususnya jika kebejatan pihak tersebut tidak diketahui awam.

Selalu juga dalam karya seni, acuan yang paling kerap digunapakai dalam seni satira itu ialah melakukan parodi, penwakdogolan atau karikaturisasi; dengan niat mentertawakan diri. Ia seni yang sah bahkan dibiasai orang kita. Orang Melayu sangat cekap mewakdogolkan watak sakral dan simbol suci. Ambil sahaja kisah lebai bogel dalam perjalanan makan kenduri. Mungkin istilah yang digunakan bukan satira, tetapi cerita jenaka; pun cerita lipurlara Melayu seumpama Lebai Malang itu memang tidak syak lagi satu satira.

Kita masih mendengar dan membaca lipurlara Melayu ini, bagaimana seorang lebai tamak ingin memenuhi beberapa undangan kenduri. Oleh sebab tamak, lebai asyik menimbang-nimbang kenduri manakah yang akan memberinya paling banyak kelebihan dari segi duit dalam jabat tangan, atau dari segi makan yang lazat. Tatkala Lebai berkejar ke kenduri tahlil ia telah berakhir, kemudian berhambat ke kenduri khatam Al-Quran pun nampaknya sudah selesai, lantas gesit berlarian ke kenduri Maulud. Dapatlah lebai sedikit makanan. Dalam perjalanan pulang, oleh tiadanya akal rasio, si Lebai ini memanjat pokok pula demi mendapatkan air nira. Nasib Lebai tidak berubah baik nampaknya kerana bungkusan atau bekal kendurinya dibawa lari pula seekor anjing.

Di sinilah ketikanya si Lebai berebutkan makanan dengan anjing sehingga tujuan memerangkap anjing itu dia sanggup bertelanjang dengan menyumbat kain pelikatnya ke dalam lubang tempat anjing tersebut bersembunyi. Anjing dapat melarikan diri, tetapi lebai tetap telanjang.

Hakikat orang Melayu mewakdogolkan seorang lebai, watak kudus dan terhormat dalam kalangan orang Islam sehingga terbogel dan berebutkan makanan dengan binatang, bukanlah suatu yang biasa. Nah bayangkan kalau lebai itu ahli politik sebuah parti suci yang mengemis jawatan ke sana sini, akhirnya kempunan semua.

Seketika lain pula, dalam lelucon Luncai, watak yang diaibkan sehingga jatuh di dalam gaung itu seorang raja. Bahkan bukan sahaja raja itu dimalukan kerana memanjat sebuah menara untuk melihat syurga, raja itu juga sanggup mengaku melihatkan akhirat kerana mahu menghindar dari dicerca sebagai anak haram. Bukan sahaja raja diaibkan dalam Luncai, para menteri dan ulama juga dibodohkan begitu sahaja.

Kedua-dua contoh dari satira Melayu lama itu memberitahu kita bahawa seniman atau satiris Melayu bulat hati dan tidak pernah teragak-agak untuk menyentuh “ruling elite” baik mereka itu kaum agamawan, apatah lagi pemerintah.

Selain teknik pewakdogolan yang disebutkan di atas, terdapat pula apa yang dinamakan sebagai ‘pemusnahan sesuatu simbol’. Juga seperti watak sakral yang dimalukan, sang satiris boleh memaparkan kegagalan sesuatu lambang yang sepatutnya melindung. Kegagalan itu kadang diperbesarkan sehingga dapat menyakitkan hati.

Kesakitan itu akan membibitkan kehebohan dan kadang perbincangan, bahkan satirawan akan dikutuk. Sesuatu satira dikira mencapai maksud sebaik sahaja kutukan dan celaan tersebut didebatkan, kerana tujuan satira memang untuk memaparkan efek yang menggempar. Untuk satirawan mereka sedar akibat dari setiap sindiran yang dilakukan.

Dalam hal catan pemonyetan Ahli Parlimen, tentu sahaja ia satu satira. Ia mungkin sahaja satu sindiran yang berat, dan merupakan ‘pemusnahan simbol’. Dalam hal ini, Parlimen adalah tunjang sistem demokrasi berperlembagaan. Maka memberukkan anggotanya membawa maksud yang mendalam. Tentu sahaja pula akan ada perbincangan sama ada wajar atau tidak Dewan Rakyat digambarkan sedemikian. Tentu sahaja ada suara yang mengatakan bahawa karyawan mengelakkan pewakdogolan gambaran Speaker Dewan Rakyat kerana sang pelukis sangat sedar kesannya.

Perbualan mengenainya tidak berhenti, dari pelbagai sudut menunjukkan seni itu berkesan meskipun terdapat juga dakwaan ia tidak cukup asli, meniru, dan mungkin lebih berat dituduh sebagai satu plagiat.

Catan Beruk di Parlimen yang tidak diketahui empunya siapa itu persis catan cat minyak atas kanvas ‘Devolved Parliament’ (2009) oleh pelukis misteri, Banksy. Adakah ia plagiat atau terilhamkan kerja Bansky tersebut? Untuk rekod dalam lukisan Bansky itu, speaker House of Commons juga tidak terkecuali monyetnya, yakni seekor chimpanzee.

Kita tidak akan membincangkan pemonyetan ahli Dewan Rakyat atau House of Commons di sini. Sama sekali tidak. Yang akan kita bincangkan ialah apa akan berlaku apabila ada elit memperakukan satu-satu karya satira.

Saya berpendapat salah satu sebab mengapa Salman Rushdie belum diberikan Hadiah Nobel sehingga kini ialah kerana Jawatankuasa Nobel yang berpangkalan di Stockholm sangat berhati-hati – sebagai elit – untuk tidak memperakukan kerja-kerja Rushdie. Karya Rushdie banyak yang bagus tapi yang paling malang ialah “The Satanic Verses” (yang ternyata bertujuan mencari pasal meski menggunakan kerangka kebebasan berekspresi sekalipun).

Katakanlah Jawatankuasa Hadiah Nobel yang cukup elitis itu memperakukan Rushdie, ia pasti dilihat memberi isyarat tidak apa-apa mempersendakan kepercayaan tertentu. Ini kerana pengiktirafan Nobel adalah untuk “body of works”.

Dalam maksud lain, jika ini dirujuk sebagai satu petanda atau parameter, maka perakuan terhadap catan monyet Parlimen ini memberikan legitimasi dan justifikasi kepada semua satirawan pada masa akan datang, bahawa tidaklah suatu hal yang sensasi untuk mewakdogolkan Ahli Parlimen (atau Parlimen itu sendiri?).

Perakuan itu malah mungkin dapat dibaca sebagai ‘halalnya’ satira. Para agamawan di negara ini, pernah ‘mengharamkan’ satira dengan tanggapan ia tidak berakhlak dan melanggar syariat. Itu dapat difahami kerana agamawan selalu menjadi sasaran pendogolan dan pemonyetan. Jadi mereka tersinggung. Akan tetapi jika ia diperakukan oleh elit yang lain misalnya?

Lukisan Beruk di Parlimen tidak saya tahu berapa harganya. Lukisan Bansky yang memberukkan anggota House of Commons itu pula terjual dalam tahun 2019, dengan harga £9.9 juta. Pembelinya tidak diketahui.

Akan tetapi satu yang agak pasti ialah ia tidak berakhir tergantung di Istana Buckingham. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.