PETALING JAYA: Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Hamzah Zainudin menafikan ada perbincangan untuk menjatuhkan Umno dan Barisan Nasional (BN) seperti didakwa dalam minit mesyuarat tular.
Beliau turut sependapat dengan Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar yang menyifatkan dokumen bocor itu sebagai sampah.
“Sebenarnya, kalau orang tanya betul ke PN ada mesyuarat nak menjatuhkan sesiapa, saya kata tak ada. Betullah Dr Samsuri kata itu dokumen sampah, kerana tidak ada perbincangan.
“Saya setiausaha agung PN, saya tak tahu pun ada perkara ini,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Beliau berkata, menjadi amalan biasa untuk pemimpin parti komponen PN berbincang, terutama selepas sesuatu pilihan raya, namun beliau menafikan mereka melakukan perkara seperti yang didakwa dalam dokumen tular itu.
Ahad lalu, beberapa dokumen yang dikatakan minit mesyuarat PN tular di media sosial, didakwa menyebut tentang rancangan untuk menjatuhkan dan mengganggu Umno serta BN sebelum pilihan raya umum ke-15.
Susulan itu, Samsuri dilaporkan menafikan wujud pakatan pemimpin tertinggi PAS bersama parti lain untuk menjatuhkan BN.
Beliau turut menyifatkan dokumen minit mesyuarat itu sebagai “sampah” tidak perlu dipercayai yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.
“Dokumen sampah macam itu pun orang percaya juga ke? Ia tidak benar, tidak tahu dari mana datangnya. Ejaan nama saya pun tak betul. Dia (pihak tidak bertanggungjawab itu) tahu ada pertemuan itu maka dibuatlah naratif (seperti yang tular),” kata Samsuri semalam. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.