`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, April 27, 2022

Tahanan Rohingya lolos mungkin tahu selok-belok kawasan, kata polis

 

Setakat ini, 467 daripada 528 tahanan Rohingya yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sementara Relau di Bandar Baharu pada 20 April lalu sudah ditahan semula. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Polis tidak menolak kemungkinan sebahagian tahanan Rohingya yang masih lolos selepas melarikan diri dari sebuah depot imigresen di Kedah tahu selok-belok kawasan sekitar dan membantu empat dalang utama melakukan rusuhan.

Ketua Polis Kedah, Wan Hassan Wan Ahmad berkata, ini kerana 50 daripada 61 tahanan yang masih lolos itu pernah bekerja lama di negara ini.

Oleh itu, polis percaya ada tahanan yang tahu selok-belok kawasan sekitar dan arah dituju sehingga menyukarkan pengesanan.

“Kalau lihat daripada cara mereka lari ke lebuh raya ke Seberang Perai Selatan dan bukannya Bandar Baharu, (memang) nampak ada pengetahuan.

“Kita telah mencari mereka di kawasan hutan Bandar Baharu, namun mereka dipercayai telah masuk ke kawasan lain memandangkan kebanyakan tangkapan diperoleh di kawasan Pulau Pinang.

“Hasil semakan mendapati 50 tahanan itu telah lama bekerja dan mengetahui selok-belok kawasan, manakala 11 lagi tahanan baru sahaja ditangkap,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Pada 20 April lalu, 528 tahanan Rohingya merusuh dan melarikan diri daripada Depot Tahanan Imigresen Sementara Relau di Bandar Baharu kira-kira 4.30 pagi.

Bagaimanapun, tujuh daripada mereka, termasuk dua kanak-kanak, maut dirempuh sebuah kereta ketika cubaan melintas di KM165 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Jawi, Pulau Pinang.

Wan Hassan berkata, jumlah tahanan yang masih lolos kekal 61 orang sehingga kini.

Beliau berkata, usaha memburu saki-baki tahanan masih bebas itu masih diteruskan menerusi operasi membabitkan semua pihak, termasuk Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bandar Baharu, IPD Kulim, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan Pulau Pinang yang dibantu Pasukan Gerakan Am (PGA).

“Cawangan Khas juga kini membantu mengesan, mendapatkan maklumat dan akan berusaha sebaik mungkin, termasuklah menggunakan semua elemen,” katanya sambil meminta masyarakat bekerjasama menyalurkan maklumat bagi membantu menangkap tahanan yang masih bebas.

Beliau turut memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak melindungi tahanan Rohingya itu atau mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 216 Kanun Keseksaan dan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.