`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, April 25, 2022

Yang patut terima tapi tak terima

 

Menurut kisah lama orang Melayu, ketika Hang Jebat mengamuk dan segala usaha menghalangnya gagal, berkatalah Sultan Melaka, “kalaulah Tuah masih ada “.

Maksudnya, jika pahlawan Hang Tuah masih hidup, beliaulah satu-satunya yang boleh tewaskan Hang Jebat .

Mengikut kisah lama, Hang Tuah telah terlebih dahulu dijatuhkan hukum mati oleh Sultan Mahmud Shah tetapi hukuman itu tidak dilaksanakan Datuk Bendahara .

Lalu, ketika Jebat mengamuk, Sultan Mahmud dicengkam rasa kesal menghukum mati Hang Tuah, namun baginda tidak tahu pahlawan handalannya masih hidup.

Yang ingin saya tekankan ialah jasa Hang Tuah hanya dikenang dan dihargai Sultan Melaka ketika beliau sudah “meninggal dunia,” seperti yang dipercayai baginda apabila Jebat mengamuk.

Itu zaman purba. Pada zaman moden, begitu jugalah kerap berlaku. Jasa seseorang yang berbakti hanya dihargai setelah dia sudah tiada.

Antara contoh ketara ialah seniman agung P Ramlee. Kita tahu pada penghujung hayatnya jasa dan sumbangannya terhadap pentas seni tanah air sudah dipandang enteng, malah dilupakan.

Tetapi apabila P Ramlee meninggal dunia pada 29 Mei 1973, pelbagai penghargaan serta penganugerahan dicurah. Sehingga ke hari ini pujian diberi. Susulan kembalinya allahyarham ke rahmatullah dan tiada lagi filem dan kerja seni negara mendapat pengiktirafan antarabangsa, ramai yang berkata dengan nada kesal, “kalaulah P Ramlee masih ada”.

Namun, ada juga tokoh yang tetap besar sumbangannya kepada negara, walaupun tidak mendapat apa-apa penghargaan mahupun anugerah baik semasa hidup, mahupun sudah meninggal dunia. Umpamanya komposer dan pencipta lagu, Saiful Bahri Illyas.

Lihatlah sumbangan Allahyarham. Mengubah lagu kebangsaan Negaraku. Menulis dan mengubah lagu negeri Melaka dan Selangor. Mencipta banyak lagu patriotik termasuk Malaysia Berjaya. Masih ingatkah anda lagu itu?

“Dari Perlis sampailah ke Sabah,
Kita sudah merdeka,
Negara makmur, rakyat mewah,
Kita sudah berjaya.”

Lagu itu dicipta sempena penubuhan Malaysia yang mendapat tentangan Indonesia. Lagu itu memaparkan keberanian dan kebanggaan Malaysia walaupun berdepan konfrontasi dengan Indonesia pimpinan Soekarno. Ia bukan lagu biasa. Ia lagu melawan.

Pada waktu konfrontasi juga, Saiful mencipta lagu Perwira Tanah Air. Ramai dalam kalangan kita yang mengenali lagu ini sebagai lagu, “Inilah barisan kita”.

Lagu ini pembakar semangat rakyat ketika diancam kempen “Ganyang Malaysia “ anjuran Soekarno, khusus untuk anggota tentera.

Satu aspek menarik ialah Saiful lahir di Indonesia tetapi datang ke Malaysia dan menjadi warga Malaysia pada era Konfrontasi dan mencipta lagu patriotik Malaysia.

Saya masih ingat semasa saya budak-budak dahulu, “filem” atau klip pendek hitam putih menunjukkan anggota tentera kita di hutan belantara. Melengkapi klip itu lagu “Inilah barisan kita”.

Cukup bersemangat. Ia disiarkan menerusi televisyen beberapa kali setiap malam. Benar ia propaganda. Namun, ia amat penting dan amat perlu ketika itu.

Lagu ciptaan Saiful itu dinyanyikan Jamaluddin Alias yang membawanya dengan amat baik. Suaranya lantang. Bertenaga. Cukup semangat. Jamaluddin menghidupkan lagi seni kata lagu itu.

Sebaik mana lirik atau irama sesebuah lagu, jika penyanyi tidak menyampaikannya dengan baik, hancurlah lagu. Matlamat tidak kesampaian. Jamaluddin menghayati lirik dan keseluruhan lagu itu. Tujuan atau objektif lagu difahaminya dengan mengambil kira suasana negara waktu yang dicengkam unsur “perang”.

Lagu ini digunakan sehingga kini untuk membakar semangat. Mahasiswa yang memprotes mengangkat lagu ini. Ada parti politik turut menggunakan lagu ini untuk dikaitkan dengan perjuangan mereka.

Pada 2013 semasa Lahad Datu diceroboh, lagu ini disiarkan untuk menaikkan rasa patriotik rakyat dan naikkan semangat tentera.

Tetapi ia bukan sahaja untuk tentera. Lagu ini digunakan juga bagi acara sukan. Mengiringi pasukan kebangaaan yang bertarung serta penyokong mereka.

Ia juga lagu yang digunakan sebagai menghargai pengorbanan barisan depan sewaktu Covid-19 mengganas.

Walaupun lagu itu dinyanyikan semula oleh ramai penyanyi zaman ini, versi ‘ori’ Jamaluddin Alias tetap menonjol dan terserlah. Jasa dan sumbangan penyanyi dan pencipta lagu ini kepada Malaysia dan rakyat amat besar.

Saiful Bahri meninggal dunia pada 5 Disember 1976. Jamaluddin Alias meninggal dunia beberapa hari lalu, yakni Jumaat 22 April 2022. Mereka pergi tanpa menerima apa anugerah kebesaran negara. Tiada gelaran Datuk. Tiada gelaran Tan Sri.

Tetapi mereka pergi membawa doa rakyat, dan nama mereka akan sentiasa terpahat dalam dunia seni dan sejarah negara.

“Kalaulah Saiful dan Jamaluddin masih ada,” mungkin itu yang difikirkan oleh kalangan kita yang kesal dua perwira itu tidak diberikan sanjungan dan penghormatan yang setimpal dengan jasa mereka.

Semoga roh Saiful dan Jamaluddin dicucuri rahmat Yang Maha Esa dan ditempatkan dalam kalangan solihin.

Al-Fatihah.

 - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.