`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, May 11, 2023

Cegah terorisme serigala solo

 

Baru-baru ini saya membaca laporan mengenai keresahan segelintir penduduk tempatan di Rumah Pangsa Sri Bagan di Pulau Pinang yang dikatakan menjadi lokasi tumpuan pelarian Rohingya tinggal dan berlindung. Laporan sebuah portal berita itu bagaimanapun berbau negatif.

Kemudian terdapat pula laporan lain mengenai sekumpulan penduduk Bagan Dalam, yang bertindak menghimpunkan masyarakat pelarian ini dan secara bersemuka meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kumpulan pelarian Rohingya tersebut dalam bentuk leteran, dan khutbah dengan nada tinggi. Kononnya objektif perjumpaan itu demi menghalang pelarian daripada menyalahgunakan peluang dan kemudahan untuk rakyat tempatan serta melanggar undang-undang.

Sebetulnya laporan mengenai ludah sisa sirih dan kemudian peristiwa penduduk menghambur kemarahan dalam bentuk pemaksaan itu sangat perlu dititikberatkan oleh pihak berkuasa demi membendung sebarang kejadian tidak diingini. Rentetan peristiwa di atas boleh menjadi benih kepada terorisme stokastik (stochastic terrorism) atau juga dikenali sebagai serangan serigala solo.

Apakah terorisme stokastik? Secara mudahnya ia ialah tindakan ganas atau teror yang dilakukan oleh individu tanpa bantuan mana-mana kumpulan pengganas terhadap komuniti sasaran, yang selalunya minoriti. Individu ini biasanya solo, seperti serigala menerkam pihak yang dibenci dengan ganas. Meskipun individu ini tidak terlibat atau bukan anggota mana-mana pertubuhan pengganas seperti ISIS atau al-Qaeda, mereka biasanya peminat, pesimpati, atau pengekor tegar idea-idea militan dan ekstrem ini.

Insiden penembakan rambang dan serangan di tempat awam dengan senjata api seperti yang sering terjadi di Amerika Syarikat contoh mudah terorisme stokastik. Kita selalu membaca ada orang gila yang akan membawa senapang, pistol, atau kadang mesingan seraya memuntahkan peluru di tempat awam. Tempat serangan yang lazim adalah rumah ibadat, seperti serangan terhadap Masjid Christchurch di New Zealand, disko yang mungkin ditumpu oleh komuniti LGBT, sehinggalah ke sekolah atau pasar raya.

Terdapat lingkungan interaktif yang menyediakan terorisme stokastik ini berlaku, atau boleh berlaku. Misalnya, akan ada tokoh tempatan yang mengemukan retorik kebencian secara terang-terangan. Tokoh tempatan ini malangnya mengaku agamawan, yang mana dengan status itu akan menjadi kebal, dan tidak boleh disanggah. Atau mengaku dilantik kumpulan tertentu – justeru seorang ketua – yang menghalalkan mereka bertindak untuk memarahi atau menyampaikan ucapan benci.

Retorik atau stigmatisasi itu boleh sahaja dalam bentuk syarahan atau deklarasi menghasut, sehinggalah dalam bentuk lawak jenaka untuk melakukan keganasan seperti mengugut untuk membunuh, merogol, memukul kanak-kanak minoriti itu, mengusir dari rumah dan berbagai-bagai lagi. Retorik ini akan dibantu oleh liputan media yang negatif. Dalam banyak keadaan liputan media yang ditulis secara amatur ini akan mengkesampingkan hak asasi manusia, dan berselindung di sebalik hujah mereka menyampaikan apa yang benar berlaku.

Benih-benih teror ini akan terus disuburkan dalam bentuk pemomokan atau ‘public demonization’ yang mana rasa benci dan meluat itu disampaikan dan dikongsi bersama oleh masyarakat setempat secara meluas sehingga jika ada keganasan berlaku, respon biasa yang diperolehi adalah ‘haa memang patut pun’; atau ‘rasakan’; bahkan ‘padan muka’.

Ads by Kiosked

Selalunya juga benih-benih terorisme stokastik ini akan diwajar, dijustifikasi, dan direlevankan oleh pelbagai alasan daripada masyarakat. Ia menjadi mudah kerana majoriti anggota masyarakat berkongsi ‘perasaan’ atau emosi yang sama. Alasan yang menjadi gam perasaan mereka itu selalunya tiada jejak.

Sebagai contoh pembenci atau mereka yang berpotensi melakukan keganasan akan percaya kepada konspirasi teori yang mudah tersebar di media sosial. Ia boleh saja dalam bentuk seperti ‘Cina akan mengambil alih negara ini’; ‘Anak-anak kita telah terpengaruh oleh LGBT kerana ada ejen penyebarnya dalam parti A atau organisasi B’; ’Syiah sedang menyesatkan anak-anak kita’; ‘Gereja sedang mengkristiankan negara ini’; atau ‘Rohingya sedang mensasarkan wanita tempatan untuk beroleh keturunan justeru merampas hak warga lokal’.

Khayalan seperti di atas akan menggiurkan individu tertentu yang mungkin dalam keadaan tidak stabil psikologinya lantas mendorong mereka menyerang minoriti sasaran. Makanya individu ini akan bertindak seperti serigala solo lalu membaham mana-mana kumpulan yang boleh dilampiaskan kebencian itu. Oleh sebab senjata api tidak mudah diperolehi seperti di AS, teroris stokastik boleh sahaja bertindak melanggar sasaran dengan kenderaan, menggunakan pisau atau parang dan melakukan amuk, atau membakar kediaman atau bangunan milik minoriti ini.

Terorisme stokastik boleh diramal dan boleh dipantau. Ia boleh dicegah sebelum menjadi keganasan yang parah dan memakan mangsa. Pengkaji kecenderungan dan habit teroris seperti Molly Amman dan J Reid Meloy yang membantu FBI mengenalpasti individu berpotensi melakukan terorisme stokastik dalam kertas bertajuk “Stochastic Terrorism: A Linguistic and Psychological Analysis”.

Sebagai misalan ia ada menyarankan beberapa langkah pemeriksaan. Menurut mereka ada tiga analisis darjah keparahan yang boleh mengakibatkan terorisme stokastik ini.

  • Pertama terdapat tanda seperti serangan verbal tanpa segan silu dan tidak dicegah oleh pihak berkuasa.
  • Kedua, terdapatnya watak pembenci yang merasai dirinya perwira yang berjasa untuk nusa bangsa dengan mensasarkan minoriti tersebut. Mereka mungkin membayangkan diri seumpama Mat Kilau.
  • Ketiga, terdapatnya aksi akhir yang diterjemahkan dalam bentuk amaran, iaitu kita boleh katakan ia ‘bom jangka’.

Tindakan pengusiran minoriti, baik Rohingya atau Afrika sebagai contoh mungkin mencukup sifat dua darjah kebencian di atas. Dengan laporan media yang negatif, perasaan tidak senang yang dibumbu dan dibakar, dan juga dorongan masyarakat terbanyak; terorisme stokastik tidak dapat dielakkan lagi.

Ads by Kiosked

Selalu juga apabila ada minoriti yang disasarkan dek teroris stokastik ini, akan ada pihak tidak bersalah dan tiada sangkut paut akan menerima tempias.

Apa yang berlaku baru-baru ini di Bagan Dalam itu sudah cukup petunjuk untuk diberi perhatian berat pihak berkuasa. Kita tidak boleh membiarkan terorisme stokastik berlaku. Di negara kita, belum ada serigala solo yang menyerang biri-biri atau napuh kecil. Ia tidak harus dibenarkan berlaku. Masyarakat kita matang yang penuh kasih sayang, dan maju serba serbi yang mana kita merujuknya sebagai: madani. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.