PETALING JAYA: Seorang exco Johor menafikan dakwaan menyalahgunakan kuasanya dengan mengeluarkan surat sokongan untuk bapanya seperti tular di media sosial.
Hairi Mad Shah yang juga exco belia dan sukan berkata, dakwaan itu satu tindakan tidak bertanggungjawab kerana membabitkan ahli keluarganya.
“Hari ini saya ditanya oleh ramai rakan media mengenai satu salinan surat tular dan beberapa “posting” di media sosial mendakwa saya menyalahgunakan kuasa mengeluarkan surat sokongan sebagaimana ditularkan.
“Berkenaan surat ditularkan, saya menafikan pernah mengeluarkan atau menggunakan surat sebagaimana kandungan ditularkan,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, tular satu surat sokongan tersebar di media sosial surat mendakwa beliau meminta untuk “memudahkan” urusan berkaitan kerajaan di atas penama individu iaitu Mad Shah Alus yang merupakan bapanya.
Dalam pada itu, Hairi juga meminta pihak menularkan surat itu mengemukakan bukti dari mana-mana jabatan atau agensi kerajaan Negeri Johor yang menerima surat berkenaan.
Adun Larkin itu juga tidak menolak surat itu disunting oleh pihak tertentu dengan niat menjatuhkan reputasinya sebagai wakil rakyat dan exco Johor.
“Dengan adanya pelbagai aplikasi dan teknologi masa kini, tidak mustahil paparan surat ini adalah palsu dan disunting pihak tertentu,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.