`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, May 4, 2023

Masalah tadika Islam dan Tamil

 

Hari Buruh lepas seorang guru pra-sekolah di sekolah kebangsaan datang beraya ke rumah saya. Ketika makan minum, bertegur sapa dan menukar cerita; beliau memberitahu cabaran sebagai guru tadika di sekolah kebangsaan. Perihal kekurangan guru, perihal anak-anak yang lambat membaca, perihal ibu-bapa tidak mampu dan tidak sedar hal-hal dalam talian, perihal perhatian kurang, perihal fasiliti nan uzur, dan beraneka keluh lagi.

Salah satu cerita guru ini ialah betapa beliau memuji – saya tidak tahu benar atau tidak kisah ini – peruntukan untuk bekalan makanan anak-anak pra dinaikkan oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dari hanya RM2 sehari kepada RM3. Maka dapatlah pembekal dan juga guru bernafas. Ini kerana dahulu porsi makanan sedia ada seperti buah-buahan sangat bersukat. Kali ini dapatlah sedikit bertambah.

Saya difahamkan Januari lalu, Kementerian Pendidikan (KPM) mencadangkan supaya kadar bantuan makanan pra-sekolah (BMP) di Semenanjung dinaikkan. Mungkin kadar RM yang disebut oleh guru tersebut sedikit kurang tepat. Kerana terdapat laporan ia dinaikkan kepada RM2.50 daripada RM2, manakala RM2.75 di Sabah dan Sarawak berbanding RM2.25. Usaha terpuji ini lantaran Fadhlina Sidek risau murid tidak mendapat nutrisi mencukupi untuk tumbesaran.

Sebetulnya saya agak terkejut mendengar angka RM2 itu. Memang kebanyakan anak-anak pra-sekolah di sekolah kebangsaan terdiri daripada kalangan B40 yang tidak berkemampuan. Justeru anak-anak ini memang datang berlapar ke sekolah, dan pulang pula dengan harapan untuk makan lagi. Angka yang disebutkan di atas pun masih kecil.

Terlepas dari kisah di atas, ada macam-macam kisah lain mengenai guru tadika. Ketika saya turun padang melakukan kerja lapangan di Perak, Februari lalu; saya difahamkan guru Pasti antara yang paling tertindas. Pada 1980-an gaji mereka hanyalah RM50 sebulan, dan anehnya jumlah itu menjadi kebanggaan Parti Islam Semalaysia. Hari ini terdapat pula dakwaan yang guru-guru Pasti hanya menerima gaji bulanan sebanyak antara RM400 dan RM600 sahaja, jauh lebih rendah dari amaun gaji minimum RM1,100 sebulan.

Terdapat juga dakwaan oleh Hak Pasti, bahawa tenaga kerja tidak mencarum di KWSP dan Perkeso yang menjadi satu kesalahan majikan yang amat serius di sisi undang-undang. Akan tetapi, di lapangan juga saya diberitahu yang guru-guru Pasti malas berbuat bising, kerana menganggap penindasan mereka itu sebagai harga pengorbanan jihad dan sebagainya.

Akan tetapi, barang diingat gaji guru-guru tadika di sekolah pra yang tersohor juga tidak selumayan disangkakan. Saya tidak berdaya menyebut jenama-jenama mereka ini. Rata-rata mereka berdepan gaji suntuk dan kecil, manakala beban kerja sangat besar. Terdapat pendedahan yang gaji mereka ada hanya RM450 sebulan. Selalunya kadar gaji yang ditetapkan oleh pengusaha untuk guru tadika ini bergantung kepada yuran bulanan daripada ibu bapa yang menempatkan anak-anak. Ada dalam kalangan guru-guru tadika swasta ini merupakan graduan pendidikan yang asalnya bersemangat untuk menjadi pengasuh dan pendidik anak bangsa. Kisah sedih ini memang pun dimaklumi oleh pihak berkuasa sejak 2017 yang lalu tetapi masih terabai dan belum diselesaikan.

Kisah guru tadika yang datang beraya ke rumah saya itu kisah guru tadika di bandar. Rata-rata anak-anak yang diajari berbangsa Melayu. Juga anak-anak migran dan imigran yang lahir di sini. Sekarang bayangkan pula anak-anak bukan berbangsa Melayu seperti India di pedalaman.

Ads by Kiosked

Masyarakat India merupakan etnik terkecil dan juga termiskin, yang banyak mendiami kawasan estet dan ladang. Menurut bancian 2000, berdasarkan kajian Shaila Koshy dalam “Membesar Menjadi Kuat: Masa Depan Yang Lebih Cerah Untuk Kanak-Kanak dan Wanita di Estet” pada 2007; hanya 39.6% kanak-kanak India memasuki pra-sekolah dan kebanyakan itu yang menetap di bandar. Lebih buruk masyarakat India tidak mendapat manfaat program pembangunan luar bandar dalam tahun-tahun 1970-an dan 1980-an kerana ladang, termasuk kuarters tempat tinggal pekerja itu diklasifikasikan sebagai harta persendirian milik syarikat perladangan.

Hal ini tidak enteng, ia menjelaskan kepada kita mengapa kaum India terperuk dan sukar keluar dari lubang jahanam kemelaratan itu.

Pada 1988, sekumpulan masyarakat India yang berpelajaran diketuai Francis Xavier menubuhkan Persatuan Guru Tadika yang mencuba untuk membina rangkaian prasekolah untuk kanak-kanak pekerja estet Tamil. Ini diharapkan dapat meningkatkan sosio-ekonomi mereka.

Dalam masa sama, ia dapat membantu kaum wanita kerana mereka akan dilibatkan dalam pembinaan dan pembangunan tadika ini; ya sebagai guru. Malangnya tumpuan mereka hanyalah di kawasan utara Semenanjung iaitu di Kedah dan Perak. Padahal murid India yang tercicir ini ada di seluruh pelusuk negara.

Pun, usaha Persatuan Guru Tadika ini akhirnya terbantut dan tidak berpanjangan lantaran kekurangan dana, ketidakpedulian terhadap masyarakat India; dan tiada keiltizaman politik untuk membaiki sistem secara menyeluruh.

Memahami puluh macam rungutan guru tadika yang datang beraya itu, dapatlah dikatakan pendidikan pra-sekolah kita baik yang Islami dan yang Tamil itu sering bermasalah. Masalahnya pula beraneka jenis kerana tiadanya pelan yang berkesan untuk menyeragamkan, atau membaiki keadaan khusus buat para guru, mahupun kanak-kanak. Kerajaan berganti kerajaan tetapi kesialan untuk guru tadika dan anak-anak tetaplah kesialan sama.

Ads by Kiosked

Dalam era istilah Madani dikembalikan setelah dipopularkan pada 1990-an, diharapkan pembangunan pra-sekolah ini diberi perhatian lebih jelas dan berkualiti. Untuk tadika Islami, silibus kepartian dan benih-benih ekstremisme mesti dibanteras. Manakala untuk tadika Tamil, rangkaian ini mesti dibantu dan didanai agar anak-anak India dapat bersaing bersama-sama etnik lain. Barulah sama bahu membahu kelak membina nusa bangsa.

Betul; harga makanan anak-anak sudah naik sedikit, tetapi ada banyak lagi yang perlu diperbaiki. Terlalu banyak. Tetapi mesti dilakukan. Soalnya berapa pantas masalah-masalah ini dapat diredakan supaya negara kita kembali berada di dalam senarai negara berpeluang-berkembang dan gilang. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.