`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, July 20, 2023

Sanusi dan penyatuan ummah

Tidak seperti artikel semalam, yang ini memang mengenai Sanusi Nor, pemimpin PAS yang juga menteri besar Kedah. Bagi saya beliau mencorakkan diri atau lebih tepat watak politiknya bagai Donald Trump si bekas presiden Amerika Syarikat (AS) dan Rodrigo Duterte bekas presiden Filipina. Bak kata Inggeris “fashioned himself as Trump and Duterte”. Secara semula jadi atau dicipta Wallahu a’lam.

Sebelum peminat Sanusi teruja saya ingin menjelaskan bukan saya letakkan panglima perang PAS itu setanding kedua-dua pemimpin itu. Hanya Sanusi seperti Trump dan Duterte “bermulut laser”, cakap sesuka hati dan gemar tuduh semberono. Tetapi ciri-ciri itu menyaksikan Sanusi mendapat sokongan dalam kalangan sebahagian rakyat. Sama seperti Trump dan Duterte.

Trump kita tahu terlibat dalam pelbagai kontroversi. Tindak-tanduk dan kata-katanya biasanya menyinggung perasaan dan mengguris hati ramai dari dalam dan luar AS. Orang kulit hitam dan komuniti Hispanic di AS sering terasa dihina. Tetapi Trump tetap punya penyokong yang besar jumlahnya. Terutama “rednecks” yang bangga dengan ketuanan kulit putih. Apa pun “approval ratings” Trump menurut kajian Gallup adalah yang paling rendah dalam kalangan semua presiden AS sejak pengundian moden diadakan di negara itu.

Bagi saya ada ciri-ciri itu yang boleh dikaitkan dengan Sanusi, sedikit- sebanyak. Kontroversi ada. Tingkah laku dan ucapan mengguris hati orang bukan Islam (dan orang Islam) ada. Ingat isu cuti Thaipusam di Kedah pada 2021? Itu satu contoh. Cuma kaji selidik “approval ratings” untuk beliau tidak ada. Atau mungkinkah saya terlepas pandang?. Ramai penyokong ya Sanusi ada itu. Terutama yang pro ketuanan bangsa Melayu dan Islam.

Oh seperkara lagi. Pada Mac dan Jun tahun ini Trump didakwa atas tuduhan memalsukan rekod perniagaannya (beliau ahli perniagaan sebelum jadi presiden) dan 37 tuduhan membabitkan pengendalian dokumen rahsia AS. Beliau mengaku tidak bersalah. Kita tunggu apa kesudahannya.

Sanusi pada 18 Julai didakwa di mahkamah atas dua pertuduhan menghasut terhadap raja. Beliau mengaku tidak bersalah. Kita tunggu kesudahannya.

Duterte juga tidak sunyi dengan kontroversi. Celupar di depan khalayak terutama pada sesi wawancara dan tidak segan silu mencarut semasa ditemu bual. Dan beliau juga tidak ada masalah mengaku curang terhadap isterinya, mengaku pernah ambil dadah Fentanyl dan pil Viagra. Kecuali “celupar” termasuk isu alat sulit lelaki Cina, Sanusi tidak ada ciri- ciri dimiliki Duterte yang disebut itu.

Bekas presiden Filipina itu terkenal dengan dasar menghapus pengedar dadah dan penjenayah yang menyaksikan ratusan orang terbunuh atau dibunuh pasukan keselamatan yang mendapat restu Duterte. Ada pihak mendakwa terdapat orang tidak bersalah turut terbunuh. Rasanya itu masih menjadi isu di Filipina meskipun Duterte sudah tinggalkan pejabat presiden.

Sanusi ada dasarnya juga tetapi tidaklah dramatik seperti di Filipina era pemerintahan Duterte. Beliau “sekadar” antara lain, menutup premis judi dan melarang penjualan arak. Tetapi cukup untuk menimbulkan polemik serta rasa tidak senang dalam kalangan orang bukan Melayu dan bukan Muslim di Kedah selain luar Kedah.

Saya ulangi Trump dan Duterte ada penyokong masing masing. Antara penyokong Duterte dikenali “Digong Duterte Supporters”. Trump ada banyak kumpulan penyokong termasuk dikenali sebagai “The Proud Boys”.

Sanusi ada penyokongnya. Kata seorang bekas wartawan asal Kedah yang masih ada “connection” di negeri jelapang padi itu, penyokong Sanusi ialah orang PAS. Bukanlah sesuatu yang memeranjatkan atau aneh. Tetapi katanya lagi orang Kedah (baca rakyat) luar PAS tidak sokong Sanusi. Ini hasil pemerhatiannya dan informasi diterima. Bukan kajian khusus. Sama ada betul atau tidak pendapatnya terpulang kepada pandangan masing- masing .

Dengan ada ramai penyokong. Trump dan Duterte dilihat sebagai pemimpin yang melahirkan “a divided nation” di negara mereka. Sanusi pula bagaimana?

Penyokong Sanusi pada hemat saya ialah orang Melayu. Orang bukan Melayu secara am tidak menyokong atas sebab yang sudah dikatakan di atas. Untuk sekian lama perbalahan mengenai apa yang dikata dan dilakukan beliau terjadi dalam kalangan orang Melayu. Yang menyokong dan yang menentang.

Terbaru ialah soal tuduhannya di mahkamah dan penahanannya tempoh hari oleh polis pada 3 pagi. Buka telinga tatkala orang Melayu berkumpul. Di majlis kahwin, sesi “ngeteh” mahu pun “ngopi”. Atau lihat media sosial. Pertikaman lidah terjadi.

Terjadi juga dalam kalangan kawan saya. Seorang kawan lama menyatakan sokongan dan memuji Sanusi menerusi Facebook. Seorang kawan kepada kawan saya itu memberi komen membantah dan menidakkan. Perang mulut tercetus.

Mujurlah kawan saya dan kawannya mengambil sikap setuju untuk tidak setuju. Mereka masih berkawan. Tetapi bukan semua orang macam itu. Ada yang “panas” terbawa-bawa dan bermasam muka. Juga tidak lagi bertegur sapa kerana perbezaan pendapat. Ertinya sudah bermusuh.

Semua politikus termasuk Sanusi sering bercakap mengenai perpaduan ummah. Tetapi mereka jugalah yang membuat tidak ada perpaduan ummah.
Akhir kata, adakah Sanusi menguntungkan Perikatan Nasional khususnya PAS? Atau merugikan. Terpulang mana penyokong yang lebih ramai. Yang mendewa atau yang meluat. Sekadar menyatakan apa yang nyata. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.