`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, July 24, 2023

Al-kisah YB yang tersingkir

 

Sedang enak berehat di pagi minggu, telefon saya berbunyi. Tertera pada skrin nama seorang kawan yang berpangkat YB. Ya, seorang wakil rakyat semenjak dua penggal yang lalu.

“Kau dah tahu cerita aku?” tanya kawan saya itu. Bunyi suaranya sengau-sengau angsa seperti baru lepas menangis.

“Dah,” jawab saya pendek.

Dengan nada sebak dia menyambung cakap, “aku tak tahu kenapa aku tak dicalonkan lagi. Aku dah buat sehabis baik dah.”

“Kau fikir berapa penggal kau nak nama kau naik?” tanya saya. Memang saya beraku-engkau sahaja dengan dia. Tak pernah panggil dia dengan gelaran Yang Berhormat atau YB kecuali sesekali ketika bergurau. Pada saya panggilan YB ini cukuplah dipraktikkan oleh wakil rakyat sesama mereka sahaja ketika berbahas di dalam Dewan. Di luar Dewan mereka bukanlah tuan besar, mereka wakil yang kita pilih untuk menyuarakan hal kita. Kalau mereka rasa macam tuan besar, itu menandakan mereka masih kabur maksud ‘wakil rakyat’. Itu pandangan yang saya pegang sehingga ke hari ini.

“Atau kau memang nak jadi YB sampai tua? Kemudian bila dah tua, kerusi tu kamu wariskan kat anak kau. Macam tu ke?” tambah saya lagi apabila soalan awal tadi lambat dijawab.

Soalan tersebut membuatkan dia menangis teresak-esak. Aduh! Itulah masalah saya selalu gagal mengawal mulut yang celupar. Tak pula saya sangka kawan yang saya kenal selama ini cukup berjiwa kental kini sudah bertukar menjadi seorang yang ‘mudah sentap’.

“Bukan macam tu,” jawabnya. “Aku orang perjuangan. Aku suka berkhidmat kepada masyarakat dan rakyat. Itu memang jiwa aku sejak dulu. Kau pun tahu, kan?” Esakannya masih belum surut. Sedih sangat agaknya. Simpati saya terhadapnya mula bercambah walaupun agak getik mendengar buruknya bunyi orang lelaki menangis.

“Tapi sekarang, aku dah jadi orang biasa. Tak ada apa-apa lagi.” Dia melepaskan keluhan.

“Tak mengapa. Tak jadi YB tidak bermakna kita tak boleh berbakti kepada masyarakat. Ada macam-macam cara kita boleh buat. Hidupkan semula NGO yang pernah kau buat dulu dan bergerak aktiflah. Insyaallah, ada jalannya. Kau pun dah ada nama. Orang kenal kau,” pujuk saya agar dia tenang. Sekurang-kurangnya biarlah reda sedikit tangisannya yang tak merdu itu.

“Ah! Kau tak faham, Ron.” kata dia. Biasalah ahli politik! Selalunya kalau sesuatu itu tak betul bagi mereka – kita inilah yang tak faham, kitalah yang salah. Mereka sajalah yang betul memanjang dan mereka sahajalah yang sentiasa faham apa benda pun isunya.

“Kau tak rasa bagaimana hilangnya gelaran YB tu. Selama ini hari-hari orang datang jumpa aku tak kiralah penduduk di kawasan aku ke atau kawan-kawan parti ke, semuanya panggil aku YB. ‘Apa khabar, YB? Terima kasih YB’. Tup-tup apabila tak dicalonkan semula serta-merta semuanya hilang. Kawan-kawan dah tak telefon. Tak ada lagi orang panggil aku YB. Tiada siapa cari aku lagi. Macam dah tak berguna dah aku ni. Kalau tak tahan boleh kemurungan aku. Itu yang kau kena faham.”

Aik? Aku tak faham? Bisik saya. Sabar dulu kawan! Jangan fikir saya tak faham keadaan kamu itu. Saya pun bukan lekeh tau! Saya pernah jadi ahli majlis dahulu sewaktu tahun-tahun awal kerajaan Pakatan Rakyat (bukan Pakatan Harapan) berjaya menumbangkan Barisan Nasional. Ramai yang panggil saya ‘tuan’. Setiap hari ada sahaja orang parti datang ke pejabat saya, malah port saya mengopi pun mereka tahu. Asal saya duduk saja di port saya, tak lama kemudian muncul lah mereka. Baik yang muda, yang tua pun ada. Lepas minum dan mencadang idea-idea besar, masing-masing bangun – yang kena bayar, saya.

Apabila ada kenduri atau rumah terbuka hari raya di rumah presiden parti, siang-siang mereka dah telefon saya bertanya pukul berapa saya hendak pergi sebab mereka mahu ikut bersama. Mereka mahu dilihat ‘bersama’ saya. Eksyen juga saya masa itu. Tetapi sebaik sahaja saya tidak berjawatan mereka semua lesap. Betul! Sehingga sekarang semua yang pernah melepak dengan saya itu ghaib. Kalau terserempak pun di mana-mana majlis mereka hanya bersalam dan berbual sekadar basa-basi sahaja. Jauh beza sekarang jika berbanding dahulu akrabnya.

Ads by Kiosked

Rupanya keakraban itu bersebab. Sebab jawatan bukan sebenarnya sebuah persahabatan. Sebab itu saya faham betapa sayunya hati kawan saya bekas wakil rakyat yang namanya tak dicalonkan lagi ini. Dia kehilangan sesuatu yang gah pada dirinya sehingga teman yang berada keliling-kelalangnya pun menjauhkan diri. Cuma bezanya saya dengan dia ialah saya sendiri yang memilih untuk tidak mahu memegang terus jawatan ahli majlis tersebut. Maka atas sebab itu tidaklah saya berasa kehilangan apa-apa sangat malah hidup rasanya lebih bahagia kerana tak ada lagi mamat-mamat yang merobek kocek seluar saya kerana terpaksa bayar teh mereka waktu melepak, kalaupun rokok saya mereka tak pau.

“Begitulah adat hidup kita terutama dalam politik ni. Tak apa. Untuk waktu ini elok kau bertenang dulu. Luangkan masa bersama keluarga. Susun semula apa yang tak sempat dibuat. Kemudian nanti cergaskan NGO kau semula. Bila dah kukuh, boleh buat come back,” saran saya lagak seorang kaunselor. Kawan saya bekas YB itu kedengarannya sedikit tenang. Walaupun saya tak nampak, saya yakin dia sedang mengangguk-angguk.

“Baiklah, Ron. Nanti ada masa jom kita lepak coffeehouse. Ada banyak benda juga aku nak bincang dengan kau. Nak minta idea juga,” katanya sebelum kami menutup perbualan dengan saya nasihatkan dia agar banyak bersabar. Dia akur dan dari nadanya jelas ada sedikit kelegaan. Saya senang. Tetapi selepas beberapa ketika, saya pula yang termenung.

“Siapa tu?” pertanyaan isteri saya memotong lamunan. Saya beritahu isteri saya apa butir perbualan kami tadi.

“Apa nak buat untuk dia ni, ya?” tanya saya kepada isteri.

“Oh! Dia nak cerita pasal dia ajelah…”

Ads by Kiosked

Dus! Pendek sahaja jawaban isteri saya tapi makan dalam. Betul juga, dia hanya telefon pasal hal dia. Selama dia bergelar YB mana pernah pun dia ‘call’. Saya teringat waktu dia dicalonkan dulu pun dia tak ada tanya pendapat saya adakah wajar atau tidak dia bertanding. Masa dia menang pilihan raya dahulu pun bila saya mesej ucap tahniah, dia tak jawab langsung. Bila saya ucap selamat berpuasa atau selamat hari raya pun saya hanya dapat blue tick sahaja. Itu belum lagi apabila saya undang dia datang kenduri, langsung tak pernah jawab. Alih-alih hari ini bila sudah tak dapat jadi YB tiba-tiba teringatkan aku, getus hati saya.

Selama ini saya ni kat mana di mata dia? Tanya hati saya lagi.

Saya terpaksa mengaku apa yang dibangkitkan oleh isteri saya secara sinis itu benar dan membuat saya berfikir semula kata-katanya. Oleh kerana kata-kata isteri itu tidak mempunyai unsur 3R, maka ‘hasutan’ halus tersebut buat saya terpengaruh. Apa perlunya saya susah-susah berfikir untuk dia? Bukan saya tak kasihan tapi kalau selama ini saya macam tidak wujud dalam perkiraan hidup dia, buat apa pula kali ini saya perlu susah-susah nak selesaikan masalah dia, kan? Setuju tak?

Tak setuju dengan saya tak apa tapi seperti dia juga, saya akan berkata kepada anda, “Ah! Kau mana faham!” - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.