Saya tertarik dengan saranan Fahmi Fadzil, menteri di Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) yang menggalakkan agar lebih ramai pengkarya muzik tempatan menghasilkan lagu patriotik bagi memperkukuh perpaduan kaum dan menyemarakkan lagi semangat patriotisme dalam kalangan rakyat.
Memetik kenyataan beliau, lagu sedemikian bukan sahaja buat meraikan hari penting seperti Hari Kebangsaan tetapi juga bertujuan untuk mengingatkan rakyat mengenai kepentingan terus hidup dalam aman dan harmoni. Justeru, timbul pertanyaan di benak saya apakah definisi sebenar lagu patriotik? Bagaimana boleh kita kenalpasti sesebuah lagu itu lagu patriotik? Apakah hanya lagu-lagu berentak march, dinyanyikan beramai-ramai dengan setiap penyanyinya menggayakan kostum etnik-etnik yang ada di Malaysia seperti yang kita selalu tonton di TV dan radio kerajaan itu dikategorikan sebagai lagu patriotik?
Ini saling tak tumpah macam yang saya baca di buku teks waktu sekolah rendah dahulu di mana Ali, Ah Kow, dan Ramasamy berjalan kaki bersama-sama ke sekolah. Takkan macam itu sahaja gambaran semangat muhibbah kita? Atau apakah lagu-lagu patriotik itu ialah lagu-lagu yang selalu dikumandangkan pada bulan kemerdekaan seperti Saya Anak Malaysia (Dr Sam Rasputin), Tanggal 31 (Ahmad CB dan Sudirman) atau Standing In The Eyes Of The World nyanyian Ella? Atau lagu Bahtera Merdeka nyanyian semula Siti Nurhaliza? Ya, lagu tersebut kalau kita dengar ketika kita jauh nun di luar negara boleh meleleh air mata. Semangat cintakan tanah air boleh naik berganda-ganda.
Masih segar dalam ingatan saya sekitar tahun 80-an dulu lagu Setia nyanyian Francisca Peter begitu popular sehingga anak-anak Malaysia gemar menyanyikannya. Lagu yang dimainkan sebelum Berita Perdana pukul 8 di TV1 itu kemudiannya dinyanyikan semula secara koir dan beramai-ramai oleh beberapa penyanyi. Seperti yang saya katakan awal tadi, mesti para penyanyinya lengkap dengan busana dan kostum bagi menggambarkan Malaysia ini terdiri dari pelbagai kaum. Pada zaman Mahathir, Negaraku dipercepatkan sedikit temponya berbentuk march. Irama baharu Negaraku yang digubah semula oleh Wah Idris itu diperkenalkan kepada rakyat pada sambutan Hari Kebangsaan yang ke-46 tahun 2003 di Putrajaya. Dalam laporan Berita Harian 27 Ogos 2003, kita boleh baca kenyataan Mahathir tentang lagu Negaraku versi asal yang “tidak begitu cergas”.
Sebenarnya lagu yang bersifat patriotik ini banyak dan ia tidak semestinya berentak seperti yang disajikan kepada kita di kaca TV. Ciri-ciri lagu yang menyatakan cinta kepada nusa dan bangsa, menanam semangat harmoni, dan memupuk perpaduan rakyat mesti datang melalui ‘rasa’ secara semulajadi. Bayangkan lagu Fikirkan Boleh nyanyian kumpulan Metropolitan menjadi ‘anthem’ saat penonton berdebar menyaksikan perlawanan akhir badminton Piala Thomas 1992 yang menyaksikan pasukan negara menjadi juara ketika itu? Penonton pelbagai kaum pada saat yang genting itu secara spontan menyanyikan lagu tersebut dan slogan ‘Kita Boleh’ telah menjadi slogan keramat buat penyuntik semangat. Punyalah kuatnya slogan tersebut sehingga ia turut digunakan sebagai hashtag di media sosial oleh Pakatan Harapan pada PRU15 yang lalu.
Saya cukup terkesan dengan semangat perpaduan yang berjaya dicetuskan melalui lagu itu di Piala Thomas 1992 kerana sebelumnya lagu tersebut hanya kerap dipakai oleh syarikat jualan langsung sahaja di majlis keraian untuk menaikkan semangat ahli-ahlinya. Dengan tak semena-mena lagu Fikirkan Boleh berjaya menyatukan rakyat. Kerana itulah bagi saya, semangat patriotik dalam lagu tidak semestinya dicipta dengan dibuat-buat. Ia dihasilkan atas semangat penuh sedar oleh penciptanya sendiri.
Bengawan Solo, sebuah lagu Indonesia yang ditulis oleh Gesang Martohartono pada 1940. Lagu tentang Sungai Solo, sungai terpanjang di Jawa itu menjadi popular di Indonesia semasa Perang Dunia Kedua dan diangkat ke peringkat nasional sewaktu Indonesia baharu saja merdeka. Bayangkan! Apakah ada lagu berciri sedemikian dalam gerobok koleksi lagu tempatan kita?
Mari kita dengarkan lagu Khatulistiwa (Blues Gang) dan Nusantara (Kembara) yang menggambarkan semangat nasionalisme. Selain lagu Mentera Semerah Padi alunan M Nasir yang kerap diputarkan untuk menaikkan semangat cuba pula hayati lagu Rajawali Terbang Tinggi dendangan seniman itu. Padu kan? M Nasir juga ada lagu Anak-anak Kita yang sangat patriotik lagi politikal dan sinikal. Lagu dari Rausyanfikir berjudul Satu Suara membuat jiwa patriotik saya menggelodak. Kita juga ada lagu Satu Bangsa Satu Arah (Search). Kenapa radio dan TV kerajaan mahupun swasta ‘sorokkan’ lagu tersebut di laci paling bawah? Berapa ramai pula yang mentafsirkan lagu Bonda nyanyian M Nasir hanya ditujukan kepada ibu sahaja selain merujuk bonda sebagai induk atau pertiwi?
Kerajaan baharu madani hari ini harus melakukan reformasi di bidang penyiaran khususnya lagu-lagu yang diputarkan di radio tidak kira milik kerajaan atau swasta. Pengarah filem Rozana Cinta 87, Nasir Jani pernah menyatakan kepada saya antara kegagalan kerajaan Pakatan Harapan pada 2018 ialah apabila mereka gagal membuat rakyat menghayati wind of change.
“Lu bayangkan kalau setiap pagi ketika rakyat dalam perjalanan menuju tempat kerja, radio di dalam kereta mereka memainkan lagu-lagu rancak bersemangat dengan tema angin perubahan, barulah rakyat tersentak – wah! Perubahan sedang berlaku,” ujar beliau.
“Ini tak, dari gua kecil sampai gua besar, dok macam tu jugak! Dari gua mendengar sampai gua tak mendengar dok macam tu jugak!” Nasir mengulang dialog watak Osman Tikus lakonan Pyanhabib dalam satu lagi filem arahan beliau yang lejen, Kembara Seniman Jalanan.
Pada saya, lagu itu satu hal tetapi semangat sebenar dalam menjayakan lagu patriotik ialah apabila lahir dengan sendirinya komposer atau penyanyi yang berwajah Malaysia. Dulu kita ada Francisca Peter, trio Kenny, Remy dan Martin, kemudian masuk generasi baharu seperti Jaclyn Victor yang menyanyikan lagu dalam bahasa kebangsaan. Kita juga pernah ada kumpulan muzik yang ahlinya melambangkan kemajmukan Malaysia seperti kumpulan Alleycats, Headwind, atau Freedom. Mendengar mereka membuatkan kita rasa inilah Malaysia. Sebab itu pada hari ini perlu ada lagi semangat sebegini demi untuk mengabulkan saranan yang diajukan oleh menteri KKD ini. Mungkin ada, saya yang tak perasan tetapi mereka tidak diangkat sewajarnya sehingga saya tak dapat merasakannya!
Kepada Fahmi Fadzil, keluarkanlah dasar atau arahan yang jelas jika benar-benar berhasrat agar idea ini dapat direalisasikan. Selongkarlah gedung khazanah kita dan carilah lagu-lagu yang mempunyai konsep sedemikian selain menggalakkan penggiat seni lagu menghasilkan lagu-lagu baharu. Biar ia menjadi lebih berbagai dan tidak monotonous. Biar khalayak kenal lagu patriotik itu ‘macam ini’ dan tidak hanya ‘macam itu’. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.