`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, July 22, 2023

Jangan gadai nilai; agama, Saifuddin seru tapis lebih teliti artis luar

 

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, berkata perlakuan ditunjukkan The 1975 bentuk ‘kehancuran nilai’ yang sama sekali tiada tempat di Malaysia.

BALING: Menteri dalam negeri seru penapisan lebih teliti selain pemprofilan latar belakang perlu dilaksana terhadap penghibur luar sebelum dibenarkan membuat persembahan di negara ini.

Saifuddin Nasution Ismail berkata, walaupun kerajaan mengamalkan pendekatan mesra menerima mana-mana penghibur atau artis melakukan persembahan, namun ia tidak boleh sesekali menggadaikan “sistem nilai, budaya, dan pertimbangan agama”.

“Dari sudut tanggungjawab penganjur, ambil pengajaran daripada peristiwa ini sebab sesuatu yang dikatakan baik dan bebas di negara luar tidak semestinya baik dan bebas di negara kita.

“Jadi, tanggungjawab penganjur harus menilai sesuatu latar belakang sesebuah persembahan supaya bersesuaian dengan amalan budaya dan sensitiviti setempat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan bicara ilmu pada Program Malaysia Madani-Seminar Pembangunan Modal Insan dan Sahsiah Diri di Kuala Ketil.

Beliau diminta mengulas mengenai tindakan kumpulan The 1975 yang membuat aksi kurang sopan dalam konsertnya di Good Vibes Festival 2023 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, malam tadi.

Saifuddin berkata, walaupun hiburan sesuatu yang biasa di negara ini, perlakuan ditunjukkan kumpulan terbabit merupakan satu bentuk kehancuran nilai yang sama sekali tidak ada tempat di Malaysia.

Mengulas mengenai kata-kata vokalis kumpulan itu yang menyentuh mengenai undang-undang negara ini berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT), Saifuddin berkata, penghibur dari luar negara mempunyai tanggungjawab belajar dan mengetahui mengenai undang-undang negara lain.

“Peringatan kita adalah biarlah episod ini menjadi pengajaran semua. Saya tonton klip video itu yang dikirim kepada saya bertalu-talu, tak ada satu ayat yang dia sempurnakan melainkan dengan maki hamun dan mencarut. Kemudian secara terang-terangan menogok arak di khalayak dan melakukan perbuatan biadap yang langsung bercanggah dengan nilai dan budaya tempatan.

“Saya fikir mereka boleh menyampaikan atau menyuarakan mereka punya kekecewaan terhadap beberapa peraturan yang dianggap menyekat kebebasan dan sebagainya, tapi biar mereka tahu negara ini ada kedaulatan undang-undangnya,” katanya yang turut menambah tidak ada mana-mana agama dalam negara ini dapat menerima perbuatan itu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.