`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, July 24, 2023

Kemasyhuran dalam bola sepak bukan jaminan jadi wakil rakyat

 

Sebagai bekas pemain dan kapten pasukan bola sepak Kedah, Baddrol Bakhtiar harus sudah terbiasa berpandukan rekod masa lalu mengenai satu-satu pasukan lawan yang hendak dihadapi. Rekod kalah-menang dan statistik perlawanan sentiasa menjadi panduan dalam mempersiapkan diri agar tidak tersalah langkah dalam menyusun strategi demi memastikan kemenangan.

Kepada Baddrol, yang sudah bergelumang dalam bola sepak selama 18 tahun, banyak suka-duka dilaluinya, dengan antara momen terbaiknya termasuk memenangi Anugerah Pemain Tengah Terbaik 2010, 2017 dan 2021 di samping Anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) dan Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2017. Juga selaku anggota skuad legenda ‘double treble’ Kedah yang meraih tiga kejuaraan semusim – Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia – dua tahun berturut-turut pada 2007 dan 2008, tidak hairanlah nama Baddrol meniti dari bibir ke bibir. Piala Malaysia dimenanginya tiga kali bersama Kedah pada 2007, 2008, dan yang terakhir pada 2016.

Tambah-tambah lagi, Baddrol, 35, pemain kelahiran Sarawak pada 1988 kerana bapanya seorang anggota tentera yang sering berpindah, juga terpilih membarisi skuad B-20 tahun kebangsaan (2005-2006), skuad B-23 tahun kebangsaan (2009), dan Harimau Malaya (2009-2021).

Di sebalik pengalaman luasnya di lapangan bola sepak, kancah politik yang sarat dengan ketidaktentuan sesuatu yang baru. Bak kata orang, dia memilih untuk terjun ke satu bidang yang sama-sekali asing. Sedikit persamaan di antara kedua-duanya ialah sambil bola sepak memerlukan kerjasama 11 pemain dalam sesebuah pasukan, kancah politik juga menuntut kerjasama sebuah pasukan, cuma ia jauh lebih besar dan tidak terhad keanggotaannya. Juga seperti bola sepak di mana seorang pemain perlu terpilih dalam kesebelasan pasukan untuk menyumbang tenaga, seorang calon pilihan raya juga perlu diumumkan bertanding di atas tiket mana-mana parti bagi menawarkan diri menjadi wakil rakyat.

Baddrol sehingga ini belum diumumkan sebagai calon, namun ikrarnya untuk mempertahankan Menteri Besar Kedah Sanusi Nor dalam satu program beberapa hari lalu memberi bayangan dia sekurang-kurangnya sudah disenarai pendek untuk menjadi calon Perikatan Nasional (PN).

Kata sumber-sumber pula, dia sememangnya sudah berdaftar sebagai ahli PAS, justeru layak untuk diangkat menjadi calon Perikatan Nasional pada PRN 12 Ogos nanti. Senarai akhir calon PN dijangka diumumkan pada Rabu dan sehingga itu berlaku, ada pihak yang menggambarkan Baddrol sebagai calon tangkap muat PAS. Tak kisahlah atas apa alasan pun tetapi sesebuah parti hanya akan menamakan calon atas pertimbangan mampu menang. Maknanya, jika dia dicalonkan, Baddrol tentunya diyakini PN boleh memenangkan satu kerusi untuk mereka.

Penglibatan pemain bola sepak dalam politik bukan pun sesuatu yang baru. Pengkritik sukan tanah air, Dr Khoo Kay Kim, pernah mengatakan ahli sukan mampu menjadi ahli politik yang berjaya jika mereka memilih parti politik yang mempunyai kekuatan dan pengaruh besar. Tidak menolak kemungkinan lebih ramai atlet akan terbabit dalam politik pada masa depan, Khoo berkata pemain bola sepak antara yang paling sesuai kerana sukan itu mempunyai pengikut yang ramai.

Untuk menjadi ahli politik yang berjaya, tambahnya, mereka perlu menjadi seseorang yang dikenali serta mempunyai peminat; dan pemain bola sepak lazimnya memenuhi kriteria ini.

Ads by Kiosked

“Jika legenda bola sepak negara, Mokhtar Dahari dan Ghani Minhat, masuk bertanding pada zaman kegemilangan mereka, saya percaya mereka boleh menang sekiranya bertanding sebagai calon pilihan raya,” kata Khoo dalam satu laporan berita bertarikh 18 April 2013.

Bagaimanapun, rekod yang baik dan pengaruh kuat di atas padang tidak memberi jaminan pemain itu akan menempuh jalan mudah untuk menarik sokongan pengundi di kawasan yang mereka tanding. Baddrol tidak perlu melihat lebih jauh daripada pemain seniornya, Radhi Mat Din. Pemenang Piala Malaysia 1990 dan 1993 bersama Kedah, Radhi membuat debut dalam PRU14 pada 2018, namun ditewaskan Mahfuz Omar daripada Pakatan Harapan bagi kerusi Parlimen Pokok Sena dengan majoriti 5,558 undi. Radhi sekali lagi disebut-sebut sebagai calon PAS mewakili PN dengan dikhabarkan kemungkinan bertanding di DUN Alor Mengkudu atau Bukit Selambau pada PRN kali ini.

Bekas ketua pasukan kebangsaan, Soh Chin Ann, yang pertama mempelopori penglibatan sebagai calon pilihan raya dalam kalangan bekas pemain tewas di atas tiket MCA dengan majoriti besar 17,606 undi kepada Lim Guan Eng (DAP) bagi merebut Parlimen Kota Melaka pada PRU7 (1986).

Kemudian, sekurang-kurangnya tiga bekas pemain bertanding pada PRU15, dengan Ramlan Askolani (Parlimen Lembah Pantai) dan Jekerison Kilan (Parlimen Pensiangan) – kedua-duanya tonggak pasukan Kuala Lumpur dan Sabah – tewas. Ramlan (BN) tewas dalam saingan empat penjuru kepada Fahmi Fadzil (PH) dengan majoriti 13,912 undi manakala Jekerison (KDM) tewas dalam saingan lima penjuru yang dimenangi Arthur Joseph Kurup (BN) yang memperoleh 19,623 undi.

Cuma Ishsam Shahruddin, bekas pemain kebangsaan dan Perak pada tahun 80-an dan 90-an yang seangkatan dengan Azizul Abu Haniffah serta pemain seperti Nidzam Adzha Yusoff, Roafandi Yusoff, dan Zaidi Napiah, yang menang. Ishsam (BN) menang saingan lima penjuru dengan majoriti 2,213 dalam perebutan kerusi DUN Ayer Kuning dalam Kawasan Parlimen Tapah apabila memperoleh 9,088 undi.

Begitupun, berdasarkan rekod lalu, bukan mudah untuk bekas pemain menang biarpun cukup dikenali dan mempunyai pengaruh yang kuat dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan.

Ads by Kiosked

Dalam pada itu, di sebalik ramai bekas pemain yang kalah, sudah ada yang merintis kemenangan dan Baddrol harus terdorong untuk mencontohi Ishsam di sebalik kemasyhuran dalam bola sepak bukan jaminan untuk menjadi wakil rakyat. Harus sudah jenuh disapa kapten selama bertahun-tahun, siapa tahu kali ini rezekinya untuk membiasakan diri dipanggil Yang Berhormat pula.

Seperti dalam bola sepak, Baddrol tidak akan tahu keputusannya tapi dia harus berharap untuk menjaringkan gol kemenangan. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.