`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, July 14, 2023

Mereka mahu ‘bunuh’ saya, Sanusi dakwa ucapan diputar belit

 

Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor mendakwa ucapannya dalam ceramah di Selayang Selasa lalu diputar belit pihak tertentu untuk mendapatkan laba politik. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Sanusi Md Nor mendakwa ucapannya diputar belit dan digunakan pihak tertentu untuk “membunuh” karakternya sebagai pemimpin politik pembangkang.

Menteri besar Kedah berkata, ucapannya dalam ceramah di Selayang Selasa lalu, tidak ada walau sepatah pun memberi maksud menghina Sultan Selangor seperti didakwa.

“Pemahaman mereka yang salah itu mahu dipaksakan ke atas orang lain semata-mata untuk raih laba politik daripada isu tersebut sambil ‘membunuh’ saya.

“Semua orang melompat masuk dalam satu isu yang mereka reka sendiri daripada plot 3R (agama, kaum, institusi raja),” katanya menurut Sinar Harian.

Pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN) itu dalam ceramah tersebut didakwa membuat perbandingan antara Sultan Kedah dan Sultan Selangor dalam melantik Amirudin Shari sebagai menteri besar Selangor yang dilabelnya “cokia” (tiada kualiti).

Susulan itu, Amirudin dilaporkan menempelak Sanusi yang disifatkannya “kurang ajar” terhadap Raja-raja Melayu, selain menyentuh isu 3R.

Beberapa individu termasuk ahli politik turut membuat laporan polis berhubung ucapan Sanusi.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata kertas siasatan terhadap Sanusi dibuka Rabu lalu dan keterangannya diambil polis hari ini. Setakat ini polis menerima 31 laporan terhadap pemimpin PAS tersebut.

Sementara itu, Sanusi berkata larangan menggunakan isu 3R ibarat tembok yang sengaja dibina untuk melindungi pemimpin politik lawan, bukan melindungi aspek sebenar 3R.

“Semua usaha kini ditumpukan untuk ‘bunuh’ beberapa pemimpin PN, kerana Pakatan Harapan dan Barisan Nasional tidak ada agenda pembangunan sendiri.

“Mereka tak ada modal baharu, yang ada senjata ‘membunuh’ lawan saja,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.