PETALING JAYA: Seorang pemandu maut tercampak dari trelernya selepas hilang kawalan dan melanggar sebatang pokok di KM71.6 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, dekat Kluang, Johor semalam.
Ketua Polis Kluang, Bahrin Mohd Noh berkata kemalangan pada 9.44 malam itu menyebabkan lelaki dikenali Zulkifli, 54, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.
“Hasil siasatan mendapati treler dipandu mangsa datang dari arah Johor Bahru menghala Kuala Lumpur, sebelum hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan serta melanggar pokok di sebelah kiri jalan.
“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan keadaan treler remuk teruk pada bahagian hadapan,” katanya menurut Sinar Harian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Mohd Nizar Ma’mun berkata 12 anggota dari BBP Renggam dan Ayer Hitam dikejarkan ke tempat kejadian dengan dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT).
“Mangsa yang tercampak keluar dari treler disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di tempat kejadian. Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada 10.20 malam.” - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.