`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, July 21, 2023

Riuh-rendah final Piala FA dan stadium kerap lengang

 

Hanya beberapa hari lalu, pengumuman dibuat bahawa semua tiket untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala FA di antara Johor Darul Ta’azim (JDT) dan Kuala Lumpur City FC (KLCFC) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada Sabtu ini sudah habis terjual.

Apa pun kesudahan perlawanan itu nanti, ia akan menyaksikan stadium yang penuh selepas sekian lama kebanyakannya hampir lengang; barangkali hanya purata kehadiran di Iskandar Puteri, Johor itu yang terkecuali.

Angka rasmi selepas 17 pusingan Liga Super setakat ini menunjukkan kadar kehadiran terbesar dicatatkan di stadium yang sama ketika JDT berdepan Terengganu FC dalam perlawanan sumbangsih Piala Sultan Ahmad Shah – juga dikira sebagai perlawanan pertama liga – dengan 31,889 penonton pada 24 Februari lalu.

Namun, di sebalik juara Liga Super sembilan kali berturut-turut, JDT, kekal tanpa kalah sepanjang lima bulan liga berlangsung, purata kehadiran penonton dalam tujuh aksinya di tempat sendiri (tidak termasuk perlawanan sumbangsih) hanya 15,540 orang.

Dibandingkan dengan kapasiti SSI seramai 40,000 orang, purata itu bermakna cuma 38% ruang tempat duduk yang terpenuhi.

Kamera televisyen ketika siaran langsung perlawanan di SSI kerap mengelirukan, dengan purata 15,540 penonton itu sering dilihat penuh kerana mereka duduk berjarak di antara satu sama lain di samping sepanduk gergasi dan bendera besar pasukan yang menutupi ruang-ruang kosong. Tidak cukup dengan itu, asap daripada pembakaran suar yang kerap dilakukan di stadium tersebut juga mengelabui pandangan penonton televisyen.

Jika JDT sebagai barisan serba penakluk dan pasukan paling berjaya hanya mampu menarik penyokongnya untuk memenuhi 40% ruang tempat duduk, ia harus menakutkan untuk melihat purata kehadiran di stadium pasukan-pasukan lain.

Cuba bayangkan bagaimana rupanya kehadiran 297 atau 224 atau 275 penyokong Kelantan United FC (KUFC) di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu yang berkapasiti 22,000 tempat duduk. Seperti jagung yang berbutir jarang-jarang? Atau deretan 688 dan 651 penonton antara yang dicatatkan Kelantan FC yang menggunakan stadium yang sama secara bergilir-gilir.

Jelaslah papan tanda besar “This is Kota Bharu” di tengah-tengah Stadium Sultan Muhammad IV itu yang pernah menjadi kebanggaan pasukan tuan rumah di samping menggerunkan pasukan pelawat, tidak lagi bermakna apa-apa.

Kuching City FC (KCFC), antara pasukan dalam kelompok terbawah carta liga, turut memberi gambaran menyedihkan daripada segi kedatangan penyokong dalam perlawanan-perlawanannya di Stadium Negeri, Kuching. Daripada 18,000 penonton dalam perlawanan pertamanya di tempat sendiri ketika menentang jaguh Lembah Klang, Selangor FC, pada 2 Mac lalu, jumlah itu menjunam kepada hanya deretan 640, 325, dan 275 penonton selepas itu, dengan catatan terendah 188 penonton dalam perlawanan ketujuh mereka.

Ini bukan disebabkan sebarang faktor lain kecuali skuad The Cats itu ketara mengecewakan penyokongnya dengan kekalahan berturut-turut selepas kemenangan tunggal 2-1 mengatasi Kelantan FC di Kota Bharu pada 25 Februari lalu. Sebagai rekod, KCFC tewas 12 kali daripada 16 perlawanannya hingga penyokong hilang keyakinan untuk pasukan itu bangkit mengubah kedudukan.

Kaitan kehadiran penyokong di stadium dengan prestasi pasukan turut dicerminkan oleh PDRM FC yang diketahui berbajet kecil dibandingkan dengan kebanyakan pasukan lain. Pernah mendapat sorakan 2,250 penonton di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada awal musim, jumlah itu menjunam kepada hanya 202 orang dalam perlawanan kelima gara-gara rentetan kekalahan yang dialami.

Malah, pasukan itu menyaksikan bilangan penyokongnya merosot kepada hanya 153 orang ketika berdepan Negeri Sembilan FC dalam perlawanan ke-11 – jumlah paling kecil dalam kalangan penyokong semua pasukan sepanjang 17 perlawanan setakat ini.

Sebagai perbandingan, pasukan kelompok atasan liga tidak terlalu terkesan, dengan Sabah FC 9,688; Kedah FC 8,253; Selangor FC 7,725; dan Sri Pahang FC 5,514 masih mampu mengekalkan purata kehadiran yang sederhana.

Kemerosotan kehadiran di stadium-stadium satu fakta yang tidak dapat disangkal lagi. Cuma, sama ada itu boleh dijadikan kayu pengukur atau mencerminkan merosotnya tarikan liga bola sepak tempatan atau tidak, boleh dipertikaikan.

Mungkin juga peminat bola sepak hari ini memilih untuk menonton perlawanan menerusi siaran langsung televisyen daripada perlu berbelanja untuk pengangkutan, makan minum dan harga tiket untuk ke stadium.

Hanya perlawanan di luar kebiasaan seperti perlawanan sumbangsih dan final Piala FA, Sabtu ini dapat menepis tanggapan sedemikian. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.