`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, July 19, 2023

Sanusi menteri besar Kedah

 

Seperti tertera di tajuknya artikel ini ialah mengenai seorang menteri besar Kedah bernama Sanusi. Bukan Sanusi Nor yang semalam didakwa di mahkamah atas tuduhan menghasut berkait pelantikan menteri besar Selangor dan penubuhan kerajaan perpaduan. Saya tahu beliau sedang glamour sekarang tetapi penulisan ini ialah mengenai Sanusi Junid yang memegang jawatan menteri besar Kedah dari 1996 hingga 1999.

Sanusi memulakan kerjayanya sebagai pegawai pelatih di Bank Standard Chartered Seremban pada 1963 dan menaiki tangga korporat dan juga perkhidmatan awam dengan cemerlang. Begitu juga kerjaya politik yang dimulakan sebagai ahli Umno di Seremban. Kebangkitannya dalam bidang politik pantas dan lacar tetapi ada onak ada duri.

Izinkan saya memetik sedikit daripada artikel yang ditulis Rozaid Rahman, seorang wartawan yang kini menjadi orang besar dalam tim komunikasi media perdana menteri. Artikel yang saya maksudkan siaran 10 Mac 2018. Kata Rozaid, sepanjang kerjaya sebagai wartawan, Sanusi dikenalinya sebagai seorang operator politik yang licik. Beliau memiliki character dan ego yang tinggi juga besar, kata Rozaid. Oleh kerana egonya sangat besar, Sanusi hanya boleh bekerja dan tunduk kepada seorang jeneral iaitu Dr Mahathir Mohamad yang merupakan bosnya selama lebih 50 tahun dalam politik.

Sanusi sentiasa melihat dirinya lebih bijak dan cerdik daripada orang lain. Ini sebab mengapa beliau tidak boleh bekerjasama atau sehaluan dengan ramai orang termasuk Anwar Ibrahim yang dibawa masuk Umno oleh Mahathir.

Cabaran politik yang dihadapi Sanusi boleh dikatakan sukar. Beliau hanya bertahan sepenggal sebagai naib presiden Umno dan cabaran politiknya yang paling besar ialah apabila hasrat Mahathir melantiknya sebagai menteri besar Kedah mendapat tentangan ramai pemimpin akar umbi di negeri jelapang padi itu.

Lalu Osman Aroff, menteri besar ketika itu enggan berundur untuk memberi laluan kepada Sanusi. Lantas timbul masalah besar kepada Mahathir untuk melantik Sanusi. Untuk pendekkan cerita yang panjang, krisis dapat diatasi dan Mahathir akhirnya berjaya melaksanakan apa yang beliau hajati. Sanusi jadi menteri besar namun beliau hanya bertahan tidak sampai satu penggal.

Apa pun Sanusi disifatkan ramai sebagai seorang bijak pandai. Intellect. Beliau gemar membaca. Kata Rozaid, banglo milik Sanusi – dari tingkat bawah hingga ke tangga dan tingkat atas dipenuhi beribu buku. “Ada dua lagi rumah yang dipenuhi koleksi buku saya,” kata Sanusi kepada Rozaid. Di samping itu Sanusi sendiri menghasilkan karya penulisannya.

Beliau menguasai pelbagai bahasa, antaranya fasih berbahasa Mandarin dan Jerman. Beliau amat gemar menggunakan petikan bahasa Jerman semasa menyampai syarahan dan ucapan dalam Bahasa Melayu. Kata Rozaid, bila Sanusi bercakap semua akan terdiam dan terpegun. Bukan kerana beliau orator yang sangat hebat tetapi kerana kemampuannya untuk bercerita dan menghiburkan pendengar dengan pelbagai kisah menarik. Benar.

Sanusi juga terkenal dengan idea ‘di luar kotak’ tetapi rata-rata orang sifatkan ideanya eccentric. Contoh semasa menjadi menteri pertanian beliau mencadangkan bumbung bangunan yang rata dijadikan sawah padi. Rooftop sawah. Beliau juga menganjurkan orang makan daging arnab untuk dapat protein. Beliau juga mempromosi kelapa muda untuk menyelesaikan masalah harga kelapa yang terlalu rendah. Tukun tiruan dari buluh, kayu, dan tayar terpakai juga idea Sanusi untuk membanyakkan tempat habitat bagi ikan bertelur.

Mungkin anda bertanya mengapa saya menulis kisah Sanusi Junid lima tahun setelah beliau meninggal dunia? Kerana teringatkan Allayarham ketika semua orang rancak bercakap mengenai Sanusi Md Nor. Cuma ingin beritahu ini bukan bertujuan untuk sesiapa membuat perbandingan – siapa lebih hebat? Sanusi sekarang atau Sanusi dulu? Tidak. Tetapi jika ada yang mahu berbuat demikian silakan. Saya tidak menghalang tidak juga menggalak.

Apa pun bagi saya yang pernah membuat liputan Sanusi semasa beliau memegang jawatan setiausaha agung dan naib presiden Umno, ada sebahagian daripada satu ucapannya yang saya tidak lupa.

Ia disampaikan pada perhimpunan agung Umno 1993 ketika beliau tewas jawatan naib presiden parti. Begini kata beliau, sedikit sebanyak yang saya ingat. Maklumlah ucapan itu dibuat 30 tahun lalu dan saya pun tidak lagi muda. Daya ingatan tidak sekuat dulu. Namun ini yang saya masih ingat.

Sanusi menggunakan analogi Ringgit Malaysia untuk menyampaikan mesej. Wang kertas digunakan untuk dipertonton di depan khalayak. Memegang wang kertas RM1 yang tertera gambar Tugu Negara, Sanusi berkata “inilah ‘nilai’ orang yang mati kerana berjuang untuk negara”.

Katanya lagi: “Pada wang lima ringgit tertera gambar istana. Itulah ‘nilai’ Raja-raja Malaysia. Di belakang 10 ringgit pula tertera gambar Stesen Kereta Api Kuala Lumpur. Itulah ‘harga’ infrastruktur di negara ini. Di belakang wang kertas 20 ringgit ada gambar Bank Negara Malaysia. Itulah ‘harga’ ekonomi Malaysia.

“Wang kertas 50 ringgit ada gambar Muzium Negara. Itu ‘harga’ sejarah dan warisan kita. Pada wang 100 ringgit ada gambar Masjid Negara. Itu ‘nilai’ agama Islam. Pada wang 500 ringgit ada gambar Mahkamah Tinggi. Itu ‘harga’ keadilan di negara ini.

“Dan pada wang kertas 1,000 ringgit ada gambar Parlimen. Itu ‘harga’ politik. Harganya cukup mahal,” kata sanusi. Tajam dan sinis. Al-Fatihah buat Sanusi. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.