`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, July 26, 2023

Sekolah boleh anjur Hari Sukan di SBNJ percuma, kata Hannah

 

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, berkata tawaran penggunaan percuma Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) kepada pihak sekolah sejajar konsep merakyatkan sukan. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang sebelum ini merupakan gelanggang rasmi Harimau Malaya dan venue bagi penganjuran konsert, bakal menjadi “padang baharu” buat pelajar sekolah, bermula Oktober.

Bersempena ulang tahun ke-25 Kuala Lumpur Sports City (KLSC), Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) memberi tawaran istimewa kepada semua sekolah menggunakan SNBJ secara percuma bagi tempoh dua tahun khusus untuk penganjuran hari sukan.

Katanya, pelaksanaan konsep merakyatkan sukan melalui penggunaan fasiliti sukan telah dipersetujui dalam mesyuarat PSM pada 17 Julai dan kegunaan secara percuma untuk sambutan hari sukan sekolah itu tertakluk kepada kekosongan jadual tempahan.

“Ini selaras dengan pengumuman sebelum ini bahawa kita nak fokus olahraga sebagai satu sukan pembangunan akar umbi di peringkat sekolah. Saya mahu murid rasai pengalaman berlari 100m di SNBJ kerana ia mungkin beri inspirasi kepada mereka untuk menjadi atlet,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media malam penghargaan dan sambutan ulang tahun ke-25 KLSC yang turut dihadiri Pengerusi PSM Hans Isaac dan Ketua Pegawai Eksekutif PSM Mohd Faidz Sanusi.

Hannah berkata, selain SNBJ, PSM turut memberi tawaran penggunaan secara percuma dua venue lain iaitu Kompleks Sukan Jalan Duta dan Kompleks Sukan Bukit Kiara kepada pihak sekolah.

“Sebelum ini, pihak sekolah perlu bayar (kos sewa) dengan kadar diskaun jika mahu gunakan stadium, jadi selepas ini mereka dijemput membuat tempahan dengan PSM yang dijangka dibuka bermula bulan depan,” katanya.

Beliau berkata, syarikat pengeluar makanan berkhasiat juga boleh mengiklankan produk mereka sekiranya terdapat hari sukan sekolah di tiga venue tersebut.

“Mereka boleh bincang dengan PSM mengenai kadar untuk pengiklanan, sekurang-kurangnya boleh tampung kos (tawaran percuma penggunaan venue),” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.