`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, February 24, 2024

BN Johor mahu kekal status quo, PH diberitahu

 

Setiausaha Umno Johor Abdul Halim Suleiman mahu BN kekal status quo, menjawab Timbalan Pengerusi PH Johor Aminolhuda Hassan supaya pihaknya ditawarkan jawatan ahli majlis dan ketua kampung.

PETALING JAYA: Umno Johor kekal dengan pendirian mahu kestabilan kerajaan negeri bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) hingga PRU16.

Penegasan itu menyusul permintaan terbaharu rakan kerjasamanya daripada Pakatan Harapan (PH) supaya gabungan itu ditawarkan jawatan ahli majlis dan ketua kampung oleh BN selepas “diketepikan” dalam rombakan exco Johor 13 Feb lalu.

“Komen saya kekal status quo…kerajaan Johor ditadbir BN perlu kekal hingga PRU16 dan selepas itu baru kita cari mekanisme baharu bersama (BN-PH).

“Semua pihak perlu faham kerajaan Johor ditubuhkan sebelum wujudnya kerajaan perpaduan di peringkat pusat,” kata Setiausaha Umno Johor Abdul Halim Suleiman kepada FMT.

Beliau berkata, jika status quo kerajaan negeri sedia ada diubah akan wujud perkara tidak disenangi termasuk kestabilan negeri terganggu.

PH terdiri Amanah, DAP dan PKR yang memiliki 12 kerusi DUN tidak dilibatkan dalam rombakan exco Johor lalu.

Semua 11 exco Johor terdiri wakil BN walaupun ia membentuk kerajaan perpaduan dengan PH di peringkat pusat.

Semalam, Timbalan Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan, berkata langkah menawarkan jawatan ahli majlis dan ketua kampung kepada pihaknya dapat meningkatkan kerjasama dengan BN di peringkat negeri.

“Sekiranya PH dilibatkan dalam barisan exco, itu adalah semangat setia kawan terbaik. Sungguhpun begitu, apabila keputusan telah dibuat, kita terima, namun perkara tersebut menyebabkan cakap-cakap dalam kalangan ahli akar umbi.

“Jadi pandangan saya untuk memantapkan kerjasama PH dan BN Johor seperti di peringkat pusat, boleh ambil lantikan bagi jawatan ahli majlis dan juga ketua kampung,” kata Ahli Parlimen Sri Gading.

Pada PRN Johor lalu BN memperoleh kemenangan dua pertiga dengan menawan 40 daripada 56 kerusi. PH pula menang 12 kerusi dengan DAP memperoleh 10 manakala PKR dan Amanah masing-masing satu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.