`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, February 5, 2024

Kes 1MDB: DAP perlu nyata semula pendirian, kata Ong

 

Bekas Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming berkata menegaskan pemimpin DAP tidak harus berdiam diri, malah perlu menyatakan semula pendirian mereka terhadap skandal itu.

PETALING JAYA: Bekas Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming dari DAP menggesa partinya menyatakan semula pendirian berhubung skandal 1MDB susulan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang mengurangkan hukuman Najib Razak berkait kes SRC International.

Ong berkata pengurangan hukuman terhadap bekas presiden Umno itu mungkin dilihat sebagai kompromi dibuat Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan (PH) untuk menenangkan penyokong ‘Bossku’, jolokan kepada Najib.

Susulan itu, Ong menegaskan pemimpin DAP tidak harus berdiam diri, malah perlu menyatakan semula pendirian mereka terhadap skandal itu yang turut dijadikan sebagai kempen pada PRU14 dan PRU15.

“Pendirian itu termasuk perbicaraan sedang berjalan membabitkan 1MDB dihadapi Najib ketika ini supaya tidak berdepan nasib sama seperti keputusan dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) dalam kes Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi,” katanya dalam kenyataan.

Minggu lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengumumkan keputusan mengurangkan hukuman penjara bekas perdana menteri itu daripada 12 tahun kepada enam tahun dan mengurangkan denda RM210 juta kepada RM50 juta.

Najib dijangka dibebaskan dari penjara pada 2028, atau setahun kemudian jika gagal membayar denda.

Ong juga mahu pimpinan DAP menyatakan pendirian berhubung siasatan terhadap bekas Ahli Parlimen Damansara Tony Pua yang didakwa menyindir keputusan Lembaga Pengampunan.

“DAP tidak harus lupa kesungguhan (Pua) membangkitkan skandal 1MDB ketika menjadi Ahli Parlimen. Tanpa sumbangannya mungkin tiada perubahan pentadbiran pada 2018 dan Najib tidak akan didakwa,” katanya yang menegaskan pendirian parti harus dibuat Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) bukan hanya Setiausaha Agung Loke Siew Fook.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain semalam mengesahkan Pua disiasat mengikut Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia.

Ketika menjadi Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Pua membangkitkan skandal 1MDB di Dewan Rakyat pada 2010. Beliau juga mengadakan banyak jerayawara mengenai isu itu pada 2017, sebelum kejatuhan kerajaan Barisan Nasional pada PRU14.

Ong turut menuntut DAP menyatakan semula pendirian berhubung reformasi institusi untuk mencegah rasuah, janji dalam manifesto PH PRU15 antaranya pelantikan ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus dipersetujui jawatankuasa khas Parlimen dianggotai pelbagai parti. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.