PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) perlu memutuskan calon perdana menterinya segera susulan wujud spekulasi hubungan antara pemimpin tertinggi komponen itu “dingin”, dikaitkan dengan isu berkenaan yang mungkin menjejaskan kelangsungannya, kata penganalisis.
Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, meskipun PRU16 dijangkakan empat tahun lagi, namun isu sama ada pengerusinya Muhyiddin Yassin kekal sebagai “poster boy” atau digantikan Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar perlu dinoktahkan.
Nama Samsuri yang juga menteri besar Terengganu dan Ahli Parlimen Kemaman diuar-uarkan berpotensi sebagai perdana menteri apabila PN membentuk kerajaan, yang turut diakui Muhyiddin.
“Pengundi akan memikirkan calon (PM) parti yang mereka pilih, dalam hal ini Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) jelas calonnya (Anwar Ibrahim) tetapi PN masih belum dinyatakan.
“Ramai melihat Bersatu dan PAS masih berbalah, keputusan calon PM dari PN perlu dicapai segera,” katanya mengulas laporan FMT memetik sumber mendakwa hubungan Muhyiddin dan Presiden PAS Hadi Awang “dingin”, antara lain berkait calon perdana menteri komponen itu.
Sumber berkata, Muhyiddin dan Hadi yang juga timbalan pengerusi PN lama tidak kelihatan bersama di mana-mana majlis, kali terakhir pada perasmian Muktamar PAS ke-69 20 Okt lepas.
Mazlan Ali daripada Universiti Teknologi Malaysia pula berpendapat, walaupun hanya khabar angin, namun PN mungkin perlu bertindak segera termasuk mengelakkan lebih ramai wakil rakyat Bersatu menyokong Anwar.
Menurutnya, ini bagi mengembalikan keyakinan PAS yang dikatakan bimbang dengan perkembangan melanda Bersatu diketuai Muhyiddin dalam berdepan PRU16 dan sidang Parlimen.
Beliau berpendapat, PAS mungkin tiada masalah bertanding solo jika mereka memutuskan keluar PN kerana parti itu mempunyai jentera kuat.
“PAS juga menikmati sokongan orang Melayu yang semakin memuncak,” katanya.
Bagaimanapun, Azmi pula berpandangan PAS masih memerlukan Bersatu untuk menawan Putrajaya atau hanya perlu berpuas hati menjadi pemerintah di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis.
“Mereka perlu kawan untuk menarik sokongan bukan Melayu, paling kuat sekarang DAP (tarik undi bukan Melayu) tetapi itu (bekerjasama) susah terjadi.
“Jadi perlu ada Bersatu yang sedikit sebanyak mungkin boleh menarik komuniti itu. Itu dilema PAS kini.” - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.