`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, March 9, 2024

Beri baucar kepada tadika swasta atasi kuota terhad, ahli akademik beritahu kerajaan

 

Laporan Bank Dunia menunjukkan kadar enrolmen ke prasekolah di Malaysia hanya 85% berbanding 98% di kalangan negara-negara Asia seperti Indonesia dan Thailand.

PETALING JAYA: Seorang ahli akademik berkata kuota terhad di sekolah Kementerian Pendidikan (KPM) menyebabkan masih ramai ibu bapa tidak dapat menghantar anak mereka ke prasekolah, selain yuran tinggi di tadika swasta.

Sehubungan itu, Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara Anuar Ahmad mencadangkan kerajaan menyediakan subsidi atau baucar untuk mengurangkan beban kewangan terutama bagi kelompok B40 seperti diamalkan negara lain.

“Tak semestinya semua (kelas prasekolah) mesti disediakan KPM. Kalau kita ambil pengalaman negara lain, kerajaan menyediakan baucar atau subsidi untuk bantu lebih ramai ibu bapa hantar anak mereka ke tadika swasta,” katanya kepada FMT.

Anuar Ahmad.

Jelas Anuar, langkah itu diyakini dapat meningkatkan kadar enrolmen murid di prasekolah yang mana laporan Bank Dunia Ogos lalu menunjukkan Malaysia hanya mencapai mencapai 85% berbanding 98% di kalangan negara-negara Asia seperti Indonesia dan Thailand.

“Kita patut mula ambil tindakan untuk mewajibkan pendidikan awal kanak-kanak sekurang-kurangnya pada umur enam tahun.

“Kajian mendapati anak-anak yang hadir prasekolah sudah menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) apabila masuk sekolah rendah. Kita tidak mahu ada ‘jurang pencapaian’ yang terlalu besar antara mereka dan ia berterusan sehingga ke peringkat sekolah menengah,” katanya.

Beliau mengulas gesaan Ahli Parlimen Gopeng Tan Kar Hing, Selasa lalu supaya kerajaan memperkenalkan undang-undang mewajibkan kanak-kanak dihantar ke prasekolah untuk mengelakkan keciciran.

Hazhari Ismail.

Pakar pendidikan awal kanak-kanak dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Hazhari Ismail pula berpendapat undang-undang itu dapat meningkatkan kesedaran masyarakat awam mengenai kepentingan mendedahkan anak kepada proses pembelajaran seawal enam tahun.

“Perlu ada kesungguhan dan komitmen kerajaan untuk memastikan kanak-kanak menerima permulaan yang penting ini,” katanya mengambil contoh Finland dan Sweden mewajibkan pendidikan prasekolah selama setahun.

Hasnah Toran.

Hasnah Toran dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata falsafah pendidikan prasekolah perlu diperbetulkan terlebih dahulu sebelum mewajibkan kanak-kanak mengikuti sistem pembelajaran itu.

“Manfaat pendidikan awal itu memang tidak boleh dinafikan dan telahpun terbukti ada kesannya dari segi menangani keciciran…cuma kita perlu pastikan implementasi itu betul,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.