`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, March 8, 2024

‘Kami hanya tinggal 5’, penerima pingat Seri Pahlawan mohon naik elaun

 

Etin Bijam (kiri) dan Paul Kiong menunjukkan pingat diterima mereka sebelum ini ketika ditemui di Muzium Polis Diraja Malaysia, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Penerima Darjah Kebesaran Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) meminta kerajaan mengkaji semula elaun diterima mereka ketika ini susulan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Bekas anggota polis cawangan khas, Paul Kiong, yang juga salah seorang penerima pingat berkata anugerah itu adalah darjah kebesaran persekutuan mempunyai kedudukan paling tinggi dalam negara.

SP adalah pingat tertinggi daripada lima pingat dalam darjah Gagah Perkasa.

Mengambil kira hanya lima orang sahaja penerima SP masih hidup, beliau berkata wajar untuk kerajaan menaikkan elaun memandangkan kali terakhir kenaikan pada 2009 iaitu daripada RM400 kepada RM2,000.

“Kos sara hidup ketika ini semakin meningkat, jadi wajar untuk kerajaan mempertimbangkan kenaikan elaun ini memandangkan hanya tinggal lima orang sahaja (penerima SP),” katanya dalam wawancara khas di Muzium Polis Diraja Malaysia.

Seorang lagi penerima SP, pesara polis Etin Bijam dari Miri, Sarawak, yang kini berusia 83 tahun hadir ditemani keluarganya.

Paul berkata, apa yang golongan veteran sepertinya mahukan adalah kerajaan menghargai jasa dan pengorbanan pejuang terdahulu dalam membebaskan negara daripada cengkaman penjajah dan komunis.

“Kami sudah berusia, kalau anda (kerajaan) tidak menghormati kami yang berlima ini, bagaimana ingin jaga rakyat. Apa yang kami mahukan adalah sedikit keistimewaan sebagai contoh ketika mendapatkan perkhidmatan di hospital,” katanya.

Katanya, walaupun uzur dia amat berbesar hati dapat bertemu rakan seperjuangan yang turut bersama menentang komunis dahulu.

“Saya bangga dan cukup gembira dapat berjumpa (Etin) di Kuala Lumpur, saya harap beliau jaga diri dan kesihatan. Sebagai pejuang, kami berkongsi semangat dan ikatan yang sama sebagai pejuang negara…kami telah berkorban untuk rakyat dan negara,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.