PETALING JAYA: Kerajaan sewajarnya bertindak segera sekiranya wujud ‘dekri tambahan’ yang menyatakan berkenaan Najib Razak boleh menjalani hukuman tahanan di rumah, kata bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim.
Zaid berkata perkara itu tidak harus disembunyikan dan sekiranya wujud, timbul persoalan mengapa kerajaan tidak bertindak di atas perintah terbabit.
“Jika tidak ada dekri seperti itu, maka mereka harus berkata demikian. Ini soal kepentingan awam.
“Sekiranya halangan undang-undang menjadi punca perkara itu tidak diambil, orang ramai harus dimaklumkan,” katanya di aplikasi X.
Menurut Zaid, ahli Umno sudah tentu ingin mengetahui sama ada Presiden Zahid Hamidi maklum mewujudkan dekri seperti itu kerana kedudukannya sebagai timbalan perdana menteri.
“Walaupun kita boleh bersabar menunggu pertimbangan dan keputusan mahkamah, tidak ada justifikasi untuk merahsiakan perkara ini, terutamanya daripada kerajaan yang telus dan bertanggungjawab,” kata Zaid.
Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 17 April untuk mendengar permohonan Najib supaya kerajaan mendedahkan “dekri tambahan” didakwa dibuat Yang di-Pertuan Agong terdahulu yang membenarkan bekas perdana menteri itu menjalani hukuman penjaranya menerusi tahanan di rumah.
Peguam Shafee Abdullah memaklumkan Hakim Amarjeet Singh bahawa Najib ingin mendapatkan afidavit tambahan bagi menyokong permohonannya.
Najib mendakwa bekas Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dari Pahang mengeluarkan “dekri tambahan” semasa mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada 29 Jan, sehari sebelum tamat pemerintahannya sebagai Agong.
Pada 2 Feb, lembaga itu mengumumkan hukuman penjara 12 tahun dalam kes SRC International Najib dikurangkan kepada enam tahun manakala dendanya RM210 juta diturunkan kepada RM50 juta.
Tidak ada mana-mana bahagian daripadanya yang menyebut ia ditukar kepada tahanan di rumah.
Najib, yang sedang menjalani hukuman di penjara Kajang, dijadualkan dibebaskan pada 23 Ogos 2028. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.