`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, April 15, 2024

Menanti ‘duit raya’ Anwar

 

Free Malaysia Today

Pada Rabu, dalam suasana masih berhari raya, Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan akan bermesyuarat bagi membincangkan isu peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang lebih 16 bulan selepas kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim mengambil alih pentadbiran di Putrajaya pasca PRU15.

Blok pembangkang yang diketuai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin tentunya ternanti-nantikan pengumuman ‘duit raya’ oleh perdana menteri walaupun ia tidak dijangka dibuat sejurus selesai mesyuarat berkenaan. Namun, sekurang-kurangnya mereka harus berasakan pengumuman peruntukan bagi Ahli Parlimen pembangkang yang sekian lama ditunggu tidak akan berlanjutan terlalu lama lagi.

Seperti dibayangkan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof kelmarin, mesyuarat lusa akan membincangkan apa yang dihasratkan pembangkang dan keputusan akan dibuat berkaitan jumlah peruntukan yang akan disalurkan. Pada tahap ini sudah ada perkembangan positif selepas isu itu kerap dibangkitkan dalam persidangan Dewan Rakyat yang menyaksikan perdebatan hangat tanpa sebarang bayangan ia hampir menuju kepada penyelesaian sehinggalah satu perjumpaan yang dipengerusikan oleh Fadillah di Parlimen pada 19 Mac lalu.

Dengan Fadillah di kerusi pengerusi bersama Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, Ketua Whip PN Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee, kemesraan yang dipertontonkan dalam sekeping foto yang tular nampak bukan dibuat-buat.

Berlatarbelakangkan pejabat timbalan perdana menteri di Parlimen dan topik perbincangan pula berkait peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang yang selama ini berbahang dan membara, mana mungkin Fadillah meleretkan senyuman, begitu juga Hamzah dan Kiandee, sambil Takiyuddin lebih tertumpu kepada kertas notanya jika tiada rasa hormat dan persefahaman sesama mereka.

Sebaliknya suasana yang menyusul di luar bilik perjumpaan itu pula jauh berlawanan apabila keadaannya gegak-gempita dengan pertelingkahan, cuma pelakunya sama-sekali berbeza hingga timbulnya tuduh-menuduh dan bermacam-macam sangkaan.
Ceritanya bermula begini. Pada 21 Mac, Hamzah yang juga setiausaha agung Bersatu memaklumkan di Dewan Rakyat yang pihaknya sudah menerima suatu draf dokumen yang memperincikan cadangan pemberian peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

Dalam menimbulkan saspens terhadap plot ceritanya, Ahli Parlimen Larut itu tidak memberi banyak huraian mengenai perkara itu kecuali timbul desas-desus konon perdana menteri menerusi “wakilnya yang berpangkat tinggi dalam negara” sudah menyerahkan draf dokumen perjanjian berkaitan agihan peruntukan untuk pembangkang kepada setiausaha agung Bersatu itu.

Menyangkalnya ketika itu, Fadillah dalam satu kenyataan pada 24 Mac menegaskan tidak timbul draf perjanjian baharu itu seperti yang didakwa. Pertemuan di Parlimen 19 Mac lalu, tambahnya, hanya mendengar permohonan PN dan apa yang mereka tawarkan. Tiada sebarang dokumen diberi atau pun diterima.

Paling lantang menyanggah Fadillah selepas itu ialah Wan Ahmad Fayhsal, seolah-olah timbalan perdana menteri tidak bercakap benar dan mahu menyembunyikan sesuatu. Pada pengetahuannya, pembangkang ada menerima draf perjanjian peruntukan Ahli Parlimen pembangkang daripada kerajaan.

“Kami tidak berbohong, ini fakta. Ketua whip boleh sahkan, beliau lebih terbabit secara langsung,” katanya pada sidang akhbar yang turut dihadiri Takiyuddin di Parlimen pada 25 Mac.

Kritikan Ahli Parlimen Sungai Petani Mohammed Taufiq Johari yang mendakwa tiada apa-apa perjanjian atau perbincangan mendalam mengenai perjanjian dengan pembangkang, malah pembangkang didakwanya mula ‘menjual’ cerita yang tidak sahih dan menyifatkan mereka sinonim dengan berita palsu, Wan Ahmad Fayhsal bertambah berang.

“Bukan semua benda PMX nak cerita dengan kamu macam dia buat ‘deal’ dengan Bagan Datuk dulu. Memanglah timbalan perdana menteri dan kamu tak tahu. Bukan ‘fake news’,” katanya dalam satu hantaran di platform X.

Mahu mengeyakan hujah rakannya itu, Ahli Parlimen Hulu Terengganu Rosol Wahid menyatakan Ahli Parlimen PN menuntut peruntukan RM3.5 juta setahun dalam “draf tawaran perjanjian baharu” itu — jumlah sama pernah disalurkan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pasca PRU14. Jumlah itu, katanya, wajar dipersetujui bersama tambahan peruntukan RM300,000 setahun bagi perbelanjaan pengurusan pejabat pusat khidmat Ahli Parlimen.

Sekali lagi Fadillah tampil mempersoalkan kesahihannya. “Adakah Rosol sudah lihat ‘draf’ itu?” soal Fadillah. “Jika belum, mintalah ‘draf’ itu daripada ketua pembangkang. Cuba lihat ‘draf’ itu wujud atau tidak.”

Melanjutkan perdebatan mengenai perkara itu, jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil bukan sekadar menafikan wujudnya draf perjanjian seperti didakwa, malah turut menyindir Wan Ahmad Fayhsal sebagai mungkin mencetak draf perjanjiannya sendiri. Ini merujuk kepada Ahli Parlimen Machang itu ketika menganggotai pentadbiran PN pada November 2020 yang melontarkan ‘teori cetak duit’ dan pengampunan hutang bagi mengatasi isu ekonomi, yang dijelaskan beliau kemudian telah diputar-belitkan, namun terus dipersendakan.

Lama membisu dan membiarkan ramai berteka-teki mengenai “kekalutan” itu, Hamzah tampil memberi pencerahan dalam satu temu bual dengan FMT yang laporannya tersiar 6 Apr lalu. Ketua pembangkang mengesahkan menerima cadangan draf perjanjian berhubung isu peruntukan sama rata untuk Ahli Parlimen pembangkang melalui seorang yang mewakili individu “berpangkat tinggi” dalam negara.

“Draf ini pernah saya terima daripada individu yang diwakilkan oleh seseorang tetapi saya tidak mahu timbulkan polemik yang lebih besar kerana nanti membabitkan seseorang yang tinggi pangkatnya dalam negara kita,” katanya sambil menambah bahawa pihaknya kini menunggu kerajaan mengemukakan cadangan rasmi berhubung peruntukan sama rata untuk Ahli Parlimen pembangkang sebanyak kira-kira RM3.8 juta setahun.

Barangkali apa yang menimbulkan persoalan ialah kenyataan Fadillah Sabtu lalu yang mengulangi keraguannya mengenai kewujudan draf perjanjian berkenaan.

“Saya sendiri pun tidak tahu (mengenai perjanjian dikata dikemukakan wakil perdana menteri). Saya dapatkan pengesahan daripada perdana menteri dan beliau juga kata tidak ada,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Parlimen Petra Jaya di Kuching.

Dengan pencerahan yang dibuat Hamzah, kita tidak berniat untuk mempertikaikannya, tidak juga mahu menyoal siapa individu “berpangkat tinggi” dalam negara yang dimaksudkannya, tambahan ia sudah sampai ke peringkat mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang akan membuat ketetapan kesudahannya.

Dalam suasana masih berhari raya yang menuntut bermaaf-maafan, ini kesempatan terbaik untuk Anwar menghulurkan ‘duit raya’ kepada Ahli Parlimen pembangkang yang manfaatnya akan sampai kepada rakyat yang diwakili mereka. Ia bakal menjadi penamat terbaik kepada satu pertikaian yang sudah terlalu lama berlarutan untuk kerajaan perpaduan memfokus kepada isu-isu lain yang menuntut penyelesaian. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.