`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, April 2, 2024

Mencari senyuman di masjid

 

Kita biasa dengar ungkapan ‘senyum itu sedekah’. Hadithnya, ‘senyummu di depan saudaramu adalah sedekah bagimu”, (HR Tirmidzi, 1956). Maka senyumlah, kata mereka walaupun kita ini sedang dilanda masalah kerana senyum itu tandanya redha. Kata cikgu saya dulu perkataan ‘senyum’ itu sendiri bila kita ucap lembut-lembut automatik bibir kita akan menguntum senyum. Cuba buat. Se-nyum! Automatik tersenyum, kan?

Kita akan berasa senang dengan orang yang suka senyum. Apabila berurusan di kaunter atau memesan makanan dengan pramusaji di kedai jika mereka tersenyum kita akan berasa amat dihargai. Senyuman seorang wanita apatah lagi, itulah senjata yang mampu melemahkan lelaki!

Senyum ada macam-macam. Senyum manis, senyum tawar, senyum simpul, senyum kambing, senyum pahit, dan lain lagi. Sebab senyum itu mengandungi pelbagai maksud tersirat. Nak sembang jenis-jenis senyum ini pun tak habis nanti. Lain masa sahajalah!

Saya pernah menetap di Beijing sekitar enam bulan pada 2012 ketika membawa anak kedua saya mendapatkan rawatan di sebuah hospital di sana. Ketika itu anak sulung baharu saja meninggal dunia. Di hospital yang menggabungkan rawatan moden dan tradisional itu ada ramai orang Rusia. Mereka seperti saya, membawa anak istimewa mereka untuk rawatan di situ. Kebanyakan anak mereka juga menghadapi masalah saraf otak (neurologi) seperti dua puteri saya.

Apa yang saya perhatikan, orang-orang Rusia ini sukar senyum. Muka ketat dan sentiasa serius. Berbanding warga China yang sering menyapa dengan ‘selamat pagi’ atau ‘apa khabar’ bersertakan senyuman, orang-orang Rusia tidak. Meskipun mereka membalas sapaan tetapi muka mereka tetap serius. Ini buat saya beranggapan mereka semua angkuh dan berasa diri besar. Saya belum tahu lagi bahawa senyuman mesra bukanlah satu budaya bagi orang Rusia terutamanya untuk diberikan kepada orang yang tidak mereka kenali. Malah, senyuman boleh membawa maksud mengejek pula.

Bagi mereka, sebelum boleh berkongsi senyuman harus dipecahkan dulu sebuah tembok yang menghalang perhubungan. Saya tidak tahu. Yang saya dan isteri tahu kami mahu bercampur dengan semua orang. Dengan orang China kami boleh bergaul. Mereka mudah menerima walaupun tidak tahu berbahasa Inggeris. Boleh berkawan walaupun bercakap macam ayam bertemu itik. Orang Rusia macam orang China juga, tidak ramai yang boleh berbahasa Inggeris. Dalam dua puluh orang itu hanya seorang sahaja yang pandai. Tak mengapalah itu, masalahnya mereka enggan mesra.

Di bilik senaman fisioterapi atau di bilik akupunktur saya bersama mereka menemani anak masing-masing menjalani sesi rawatan. Saya fikir bagaimanakah caranya untuk saya pecahkan ‘muka ketat’ mereka. Saya pun keluarkan kertas lukisan dan peralatan melukis dari dalam beg saya. Saya lukis muka kanak-kanak di situ. Apa yang berlaku ialah mereka tak kira orang China atau Rusia, baik doktor juga jururawat mengerumuni saya. Ketika itulah orang-orang Rusia ini senyum dan ketawa. Seorang ibu kepada seorang kanak-kanak perempuan istimewa, warga Rusia, langsung mencium pipi saya kerana saya melukis wajah anaknya. Bergegar jugalah kamera telefon bimbit isteri saya ketika merakamkan momen tersebut. Ha! Ha! Ha!

Tapi yang nyata saya dan isteri telah berjaya masuk ke dalam ‘kawasan mesra’ mereka selepas temboknya kami runtuhkan. Mereka semua berjaya kami senyumkan.

“Kau percaya tak tempat yang paling susah nak dapat senyuman ialah di masjid?” komen seorang kawan di Facebook saya. Saya tersentak. Alamak!

Seminggu yang lepas tular di medsos perihal isu dalam masjid. Berkenaan saf paling depan janganlah orang luar pandai-pandai ambil sebab ia dikhaskan kepada kariah kawasan situ. Silap-silap kena tegur disuruh ke belakang pula. Ditunjukkan juga tangkap layar komen ‘orang masjid’ yang menyatakan merekalah yang banyak berjasa kepada pentadbiran masjid maka mengapa orang luar sedap-sedap pula ambil saf depan. Itu belum lagi tempat khas parkir kenderaan, memang tak boleh ambil. Jemaah pendatang asing lagilah, jangan lebih-lebih tahu?

“Ewah! Sedap-sedap pulak mat indon dengan bangla ni duduk saf depan.”

Astaghfirullahal’adzim! Apa kena dengan orang kita hari ini? Duit tabung masjid kau letak supaya orang-orang yang masuk bersembahyang menyumbang. Pendatang tersebut pun derma juga tapi dalam hal saf, kau mencipta ‘kasta’ pula? Isu dalam masjid ini dipanaskan lagi dengan foto jemaah wanita yang safnya putus-putus dan tidak penuh dalam satu barisan. Mereka sembahyang berkelompok-kelompok. Biar betul?

“Memang macam tu, bang,” akui isteri saya yang mengalaminya sendiri. Aik? Takkanlah muslimah yang beriman lagi solehah pun berperangai begitu? Apa kena dengan masyarakat kita? Agamawan semakin ramai. Pempengaruh medsos yang beri nasihat dan tips pun banyak, kerajaan pun tegakkan konsep madani tapi mengapa kita jadi makin sombong dan besar diri?

Saya tahu tidak semua kita begitu. Ada masjid, ahli jawatankuasanya baik-baik dan prihatin. Itu kita patut puji. Saya yang dahulu gemar mengembara dengan van bersama isteri terutamanya ke Pantai Timur berasa selesa singgah berehat, melunjur badan menghilangkan lelah di surau-surau atau masjid tepi jalan. Meskipun surau dan masjidnya sederhana tidak nampak gah tetapi orangnya mesra. Yang kita bengang ni ialah dengan yang muka ketat dan menyombong.

Pernah saya terbawa kasut naik ke tempat yang sepatutnya ditanggalkan. Kerana kita tak biasa di situ dan tiada papan tanda, kita tersilap. Orang masjid dengan muka garang tanpa keluarkan suara, menunjuk-nunjuk bahagian kaki kita. Bengis betul mukanya. Tersinggung kita dibuatnya dengan layanan sebegitu, macamlah kita ini budak tak pergi sekolah. Macamlah kita masuk masjid memang sengaja nak buat kotor. Kecik hati ana!

Justeru, kerajaan harus menjalankan kempen menggalakkan kita semua senyum di masjid dan di surau. Khutbah Jumaat juga patut ada tajuk “senyum itu sedekah” dengan kupasan yang mendalam. Ini saya rasa amat penting memandangkan sikap sombong dan mementingkan diri sendiri semakin menebal dalam kalangan kita. Senyum suatu amalan ikhlas. Latihan keikhlasan bermula dengan memberikan senyuman. Senyuman manis dapat dilihat melalui sinar mata. Kalau bibir senyum tapi mata tidak bersinar, kita tahu senyuman itu hambar dan dibuat-buat.

Jika kita tak pandai senyum maka dikhuatiri akan berlarut-larutan menjadi sombong terhadap manusia. Kita hanya beribadat untuk Tuhan sahaja tetapi dengan manusia sombong tak memasal. Penyakit ini memang berbahaya dan boleh merosakkan usaha ke arah masyarakat madani. Ia harus dirawat segera terutamanya di masjid, tempat yang dianggap paling suci. Marilah bersihkan tempat ibadah dengan senyuman. Waktu bersalaman, pandanglah muka sesama kota dan senyumlah.

Mana mungkin masjid, tempat yang suci ini dipenuhi dengan orang-orang yang malas senyum, pemarah, dan sombong? Senyumlah akhi, bukankah kita bersaudara? - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.