`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, April 15, 2024

Rasionalisasi subsidi diesel noktah isu salah guna 15 tahun, kata pakar

 

Free Malaysia Today
Pakar ekonomi berkata wajar kerajaan mewujudkan kaedah subsidi diesel bersasar bagi mengawal aktiviti penyelewengan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pakar ekonomi berpendapat rasionalisasi subsidi diesel dijangka dilaksanakan tahun ini mampu menyelesaikan isu penyalahgunaannya yang melarat selama lebih 15 tahun.

Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak yakin kerajaan mampu memperoleh penjimatan lebih RM40 bilion terhadap subsidi petrol dan diesel yang diperuntukkan Belanjawan 2024 memandangkan kategori itu antara paling serius berlaku ketirisan.

“Kalau kita boleh menangani kedua-dua ketirisan ini, banyak sebenarnya kita boleh jimat. Kita hanya memberikan subsidi yang sangat minimal, misalnya RM30 untuk seorang pemandu kereta dan RM12 bagi penunggang motosikal,” katanya kepada FMT.

Free Malaysia Today
Barjoyai Bardai.

Beliau berkata, wajar bagi kerajaan mewujudkan kaedah subsidi diesel bersasar bagi mengawal aktiviti penyelewengan semakin berleluasa yang mana terdapat sindiket menjual bahan api bersubsidi itu dengan harga lebih dua kali ganda bagi mengaut keuntungan.

Katanya, pada masa sama kerajaan dicadang mengambil kira kesan jangka pendek dengan tidak tergesa-gesa menarik pemberian subsidi bahan api kepada kategori pendapatan M40 dan T20 sebagaimana dikekalkan kepada golongan B40.

“Jumlah subsidi dijimatkan masih besar dengan langkah itu. Tak perlu terlalu kedekut dalam pemberian subsidi, nanti jangka pertengahan dan panjang baru kita fikir bagaimana nak rasionalisasi semula supaya hanya kumpulan memerlukan mendapat subsidi,” katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2024 Oktober tahun lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan hasrat kerajaan merasionalkan subsidi diesel secara berfasa bagi mengelakkan ketirisan dan penyeludupan.

Katanya, wujud kemungkinan aktiviti penyeludupan yang serius akibat harga diesel terlalu murah.

Februari lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali, mendedahkan negara mengalami kerugian RM4.5 juta akibat ketirisan tiga juta liter diesel diseludup ke luar negara setiap hari.

Free Malaysia Today
Ahmed Razman Abdul Latiff.

Senada dengan Barjoyai, Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School, mencadangkan kerjasama dijalin antara kerajaan dan agensi penguatkuasaan termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan sebagainya bagi memperkukuh mekanisme rasionalisasi.

Katanya, ini dapat menjamin keberkesanan “langkah rasionalisasi” dalam mengelakkan ketirisan berterusan sekali gus benar-benar sampai kepada golongan memerlukan.

Free Malaysia Today
Shankaran Nambiar.

Sementara itu, Shankaran Nambiar dari Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia berkata sebaiknya subsidi diesel bagi penggunaan kenderaan dihapuskan segera memandangkan ia hanya “menggalakkan” ketirisan.

“Subsidi kita sebenarnya subsidi ‘dinikmati’ negara jiran akibat berlaku penyeludupan. Ia bukan sahaja membebankan kerajaan malah menimbulkan pembaziran kerana tidak menguntungkan golongan sasar.

“Beban kewangan kerajaan berat untuk membiayai subsidi diesel dan ini tidak termasuk subsidi RON95 yang akan dihapuskan sebaik sahaja rasionalisasi subsidi diesel dilaksana,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.